Minat Yang Sama!
1- Sahabatku! Salam sejahtera buat anda yang sedang membaca blog #Kakicontenglukisan. Adakah minat kita sama! Jawapannya mungkin kebetulan sama dalam cara berpakaian, meminati lukisan, merakam gambar, membaca cerpen, menulis puisi, berbasikal atau sekali-sekala mengembara secara backpacker.
Cuba kita perhatikan, orang yang seleranya kearah seni seperti pelukis atau penulis misalnya, cara berpakaian mereka nampak lain dari kebiasaan. Mereka gemar tampil dengan fesyen yang boleh dikatakan sebagai melawan arus. Seperti lelaki misalnya, ada antara mereka yang bersanggol atau berambut panjang tetapi kemas. Mereka kekadang gemar memakai kemeja-T yang dipadankan jacket kulit serta jeans yang bertampal dipeha dan lutut. Ada juga pelukis atau penulis lelaki yang tidak mementingkan penampilan diri. Mereka kelihatan terlalu simple dengan hanya menyarung jeans lusuh, kemeja labuh, berseliper dan rambut pula berjuraian sepertinya macam tidak terurus.
Hobi dan gaya hidup mereka juga tidak sama dengan kebanyakan orang. Mereka gemar mengumpul barang-barang lama yang ada unsur sejarah seperti botol minuman, tin rokok, piring hitam, cawan, pinggan mangkuk, gambar, buku atau perabot yang direka oleh tukang yang ada nama misalnya. Begitu juga dengan tempat kediaman mereka, pasti ada laman atau ruang santai yang dihiasi dengan pelbagai spesis tanaman hijau atau berbunga.
Minat Yang Berbedza!
2- Kegemaran setiap orang ada juga yang tidak sama, malah bertukar ikut umur, pendidikan dan kemampuan. Dolu, masa aku masih dibangku sekolah, suka mengumpul stem. Bahan bacaan pulak Utusan Pelajar dan novel remaja. Kemudian bila masuk alam dewasa, bertukar hobi kepada pengumpul duit lama. Bahan bacaan juga beralih kepada majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat serta novel yang lebih berat.
Masa zaman remaja, aku udah mengenali dari jauh pengarang novel seperti Ishak Hj Muhammad [Pak Sako], Harun Aminurrashid, Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad, Khadijah Hashim, Abdul Samad Ahmad, Johan Jaaffar, Shahnon Ahmad, dan lain-lain. Sering membaca majalah, buat aku mengingati nama-nama penulis sajak dan cerita pendek ketika itu seperti Tongkat Warrant, Keris Mas, A Samad Said, Masuri SN, Salmi Manja, Rejab FI dan Pyanhabib misalnya.
Bertukar Minat!
3- Kini, aku tidak lagi membaca novel. Aku lebih berminat pada cerpen dan puisi. Mungkin cerpen ceritanya lebih ringkas dan dibaca sekali duduk. Kita boleh baca cerpen ketika sarapan pagi, menunggu tren atau sedang menaiki ferry. Aku juga baru mengenali penulis cerpen dan sajak [sekadar menyebut beberapa nama] seperti Ismas Saring, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Sutung Umar RS, Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi.
Minat boleh bertukar dan yang pasti, aku tidak lagi mengumpul stem dan duit lama. Aku juga hanya sesekali membaca majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat. Ini disebabkan aku sudah terjebak dengan facebook, blog dan foto telefon pintar. Walaupun aku seakan terperangkap dalam kepompong maya, aku tidak mahu terus terapung-apung kelemasan disitu. Sedaya upaya aku cuba keluar dari kepompong internet dengan sesekali mengembara, menikmati dunia luar secara backpacker.
4- Backpacker!
Tujuan mengembara cara backpacker pada setiap individu adalah berbedza. Ada yang gemar memilih jalan yang sukar semata-mata mahu menikmati kepuasan diri. Mereka ini biasanya memilih lokasi yang jarang dilalui kebanyakan orang dan memilih kemah sebagai tempat berehat dan tidur.
Sebahagian backpacker pula hanya memilih tempat bersejarah dengan mengambil gambar untuk dijadikan koleksi dan kenang-kenangan. Kembara seperti ini lebih dikenali sebagai 'backpacker town to town' dan kebanyakan mereka akan tinggal dihotel bajet atau asrama. Tujuan pengembaraan bukan sekadar untuk menguji ketahanan mental dan fizikal tetapi tentunya lebih dari itu. Yang pasti dapat sedikit pengajaran melalui pandangan mata hati dan berfikir diluar tempurung.
Nota Lutut : Jangan jadikan diri kita seperti bidalan 'Katak DiBawah Tempurung'. Keluarlah mengembara melihat dunia. Nanti dunia akan bagitahu, bahawa hidup kita tiada bayang-bayang tanpa kesetiaan bulan dan matahari. Ya Sahabat! Kekadang kita lupa untuk melihat - memikir tentang diri kita, makhluk dan alam, siapa pemilik dan penciptanya]. - Titek!
No comments:
Post a Comment