03 July 2016

RAHSIA SEORANG ULAMA TUA





                   KISAH BENAR

Hampir segenap penduduk Bashrah telah keluar dari rumah masing-masing. Padahal hari masih awal pagi. Mereka seolah-olah tidak peduli dengana angin yang bertiup semakin kencang ketika itu. Sebabnya, dihati mereka sedang bersemi
[1] kegumbiraan yang meluap-luap. Betapa tidak! Setelah sebulan penuh menjalankan ibadah puasa, hari itu tibalah saat yang dinanti-nantikan iaitu kebebasan dari dosa dan kembali kepada fitrah[2].

Dengan pakaian bersih serta baru, Hummad Abu Salamah [seorang ulama tua], seakan-akan terbawa arus menuju tempat yang sama, iaitu ke masjid di tengah kota untuk menunaikan solat Aidilfitri.

Waktu yang sama tetapi dari arah yang berbeza, Amir
[3] negeri Bashrah bersama para pengiringnya juga sedang berjalan dengan niat yang serupa. Sebab, hari raya Aidilfitri adalah milik semua orang. Milik orang besar juga milik orang kecil. Milik orang kaya dan milik orang miskin. Bahkan milik orang suci dan orang kotor, asalkan mereka rela bertaubat dari maksiat.

Tetapi kelihatan ganjil pulak apa yang dilakukan oleh Hummad Abu Salamah. Ia tidak bergegas melalui jalan raya yang lebih dekat ke tempat ibadah tetapi berbelok menuju sebuah tempat pembinaan lama. Gerangan apakah yang akan dilakukan oleh sang ulama terhormat di tempat yang buruk itu?

Didepan sebuah gedung tua yang temboknya kehijauan seakan berlumut gamaknya, Hummad berhenti lalu mengetuk pintu. Beberapa saat kemudian setelah sebelah pintu dibuka oleh seseorang dari dalam maka Hummad pun masuk ke gedung itu. Kerana pintu tadi tidak ditutup lagi, maka kedengaran suara ulama itu dari luar ketika bertanya:

"Mengapa kamu semua tidak ikut pergi ke masjid untuk mengerjakan solat hari raya?"

"Kami orang-orang yang berdosa" terdengar jawapan dari beberapa orang yang menghuni gedung lama itu.

"Tidakkah kalian berpuasa ketika bulan Ramadan?"

"Kami berpuasa sejak hari pertama"

"Jadi, kenapa mengutuk diri sendiri?"

"Amir Bashrah melarang kami bergabung dengan masyarakat terhormat"

Segera Hummad Abu Salamah memotong percakapan dan berkata dengan suara lantang
.

"Tidak ada satu manusia pun yang punya kuasa melarang orang lain memburu pahala di hari yang penuh berkat ini"

Lalu suasan hening sejejenak dan tiba-tiba sekumpulan wanita keluar berbondong-bondong
[4] didahuli sang ulama yang melangkah tersaruk-saruk dengan jubahnya berjuntai-juntai. Wanita-wanita itu lantas berkumpul di tempat kaum Muslimat di halaman masjid, melaksanakan solat dengan khusyuk[5] sampai khutbah dibacakan.

Selepas beberapa hari, Amir Bashrah mendatangi Hummad Abu Salamah di rumahnya. Dengan wajah merah padam Amir Bashrah bertanya:

"Tuan lancang
[6] sekali membawa para wanita penzina ke tempat ibadah"

"Mereka sudah bertaubat" tenang sahaja Hummad menjawab.

"Bukankah dosa mereka sudah jelas! Sekali berzina lenyaplah pahala ibadah 70 tahun".

"Itu urusan Allah. Manusia tidak berhak menghakimi masalah ibadah" kata  ulama Hummad Abu Salamah.


"Seharusnya mereka dihukum rejam!" ujar Amir.

"Itu tugas para hakim apabila dapat menangkap basah
[7] dengan empat orang saksi yang kuat.

"Tapi tuan seorang alim"

"Itulah maksud saya. Hummad bukan amir, bukan hakim dan bukan Tuhan. Hummad adalah seorang ulama yang berkewajipan membawa manusia ke jalan kebenaran. Tugas itulah yang saya laksanakan. Mereka berjanji tidak akan mengulangi perbuatan dosanya" sahut sang ulama tanpa gentar.

Maka dengan tidak membantah sepatah kata pun, Amir lantas berangakat pulang ke istananya yang dikawal oleh pengiringnya. Selang beberapa hari berikutnya, Amir datang semual. Kali ini sendirian tanpa pengawal.

Hummad Abu Salamah menyangka Amir akan lebih murka lagi dari sebelumnya. Tetapi, betapa takjubnya
[8] Hummad tatkala Amir berkata dengan bibir gementar:

"Saya hairan Tuan"

"Apa yang Tuan hairankan?" tanya sang ulama.

"Menghadapi musuh di medan perang saya tidak pernah takut tetapi setiap kali bertentang mata dengan Tuan, seorang ulama tua yang ringkih
[9], badan saya selalu menggigil. Apa rahsianya"

Hummad tersenyum. Dengan tenang ia berkata:

"Lantaran orang alim, jika dengan ilmunya semata-mata mengharap keredhaan Allah, maka orang alim tidak akan takut kepada sesiapa. Tetapi, bila sebaliknya, jika dengan ilmunya itu yang dicari hanyalah dengan kedudukan dunia dan harta kekayaan, maka orang alim itulah yang takut kepada orang lain".


[Maksudnya, seseorang yang bersifat angkuh
[10] dengan ilmu yang dimiliki, akan menghancurkan diri sendiri] - Wallahuaklam!

Keterangan:
[1]Bersemi: Kegumbiraan mula bertunas atau berputik.  [2]Fitrah: Sifat semulajadi [iaitu bersih dari dosa].[3]Amir: Gelaran khalifah atau Sultan [iaitu pemimpin bagi sekelian orang Islam]. [4]Berbondong-bondong: Berduyun-duyun [ramai] [5]Khusyuk: Menumpukan perhatian dengan penuh minat.  [6]Lancang: Perbuatan biadap atau kata-kata yang tidak senonoh. [7]Menangkap basah: Menahan orang yang melakukan sesuatu kejahatan [zina]. [8]Takjub: Hairan [9]Ringkih: [Maaf, tida dalam kamus] [10]Angkuh: Mempunyai sifat suka meninggi diri [sombong].


No comments:

Post a Comment