12 November 2016

PAGI NOVEMBER



Pagi November tidak sama seperti pagi Oktober. Hujan yang turun malam kemarin masih membekas apabila kelihatan lopak-lopak air yang bergenang disepanjang jalan menuju tanah kebun. Pagi November telah meninggalkan udara panas membahang lalu datang hujan di luar musim sehingga Disember yang kadang-kadang membawa musim banjir diluar jangka.

Aku sudah berdiri diatas tanah kebun yang tanahnya masih basah. Sekawan burung pipit memilih untuk bertengek di talian letrik, berdecit berulang-ulang, menunggu sinar matahari pertama keluar dari kamar tidurnyaAku masih tercegat, memijak tanah disini. Melihat sekeliling dan pernah mencatat peristiwa tentang pagi, tentang pohon-pohon nangka, kelapa, mangga, nenas dan limau kasturi.

Akulah pencatat waktu ketika petang bertandang, menantap dedaun buluh menari-nari. Ketika itu bersama isteri ada kopi dan goreng pisang diatas meja. Betapa runduknya kami tatkala berbicara tentang tanah yang kami pijak, tentang parit yang telah menjadi sungai. Di dalam sungai itulah anak-anak ikan talapia, patin dan keli bergaul mesra.

Aku juga pernah merakam tentang malam, tentang semilir angin yang menyangkut pada pohun dan daun-daun nangka. Tentang wap kering yang mengapung didalam pondok ketika kami makan nasi berlaukan ikan tongkol goreng dan sayur tumis jantung pisang. Pernah kucatatkan juga tentang malam yang datang, dimana panas malam terbawa kedalam mimpi. Sehingga aku termimpi dan terigau[1] bilamana terlalu mengharap datangnya angin dan hujan agar aku dapat tidur lena. Z-Z-Zzzz!


2-
Pagi November. Cuaca masih berjerebu di Kuala Lumpur ketika aku bersama rakan bersarapan disebuah restoran India Muslim. Kami berbual tentang bola sepak, tentang Facebook tersalah letak status Mark Zuckerberg mati, tentang Daesh, Donald Trump, tentang gaya hidup sihat, tentang penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Dari jauh kelihatan seorang lagi rakan datang berjalan terhenjut-henjut. Dia menarik sebuah kerusi lalu duduk mengadap kami. Dia bercerita tentang dirinya yang telah dijangkiti kencing manis. Kami terdiam sejenak.

Rakan aku seorang lagi mencadangkan untuk mengurangkan kadar gula secara semula jadi ialah dengan memakan 'superfood' iaitu peria katak[2]. Peria katak dikatakan berkhasiat dan boleh mengurangkan masalah obesiti dimana penyebab gula berlebihan dalam badan. Peria katak dikategorikan insulin[3] semula jadi. Diberitakan juga peria katak mengandungi bahan semual jadi 'phyto-insulin' yang berupaya mengurangkan paras gula dalam darah. Selain mempunyai sifat anti-diabetik, peria katak juga kaya dengan potassium[4] yang bertindak balas dengan sodium [garam] didalam badan.

Menggikut kata pakar, penyakit diabetis[5] tidak dapat disembuhkan, tetapi boleh dikawal. Sekiranya pengidap tidak bergantung kepada insulin ada baiknya pengidap menjalani kehidupan aktif. Sebenarnya menjadikan diri aktif adalah satu cara yang hebat untuk pengidap kencing manis atau diabetis.

Untuk menjalani gaya hidup sihat, disarankan berjalan seribu langkah sehari untuk kebaikan jantung atau berlari bagi membuat otak berfungsi dan menyimpan maklumat lebih baik. Ketika berlari, sejenis protin iaitu cathepsin B[5] akan dirembes keluar dan seterusnya membantu otot memulihkan diri dan mempercepatkan memori.


Kami bertiga mahu hidup sihat[6] tanpa penyakit kalau boleh lalu kami sepakat untuk melakukan aktiviti backpacker ke Taman Negara Endau-Rompin. Rancangan telah diatur. Kami akan bergerak pada pagi Ahad [25/12/16] iaitu bersempena cuit umum X'Mas. Bermula dari perhentian bas Jalan Pekeliling kami akan menaiki bas ke-terminal bas di Kuantan, Pahang. Dari Kuantan kami akan menaiki bas menuju Bandar Baru Rompin. Tiba di bandar Rompin nanti barulah kami bincangkan tentang aktiviti seterusnya. - Walahuaklam!




Nota Lutut:
[1]Igau [2]Peria Katak: Buah peria tidak digalakkan diambil oleh golongan ibu mengandung kerana boleh mengecutkan uterus dan menggalakan kelahiran bayi tidak cukup bulan. [3]Insulin [4]Potassium [5]Diabetis: Diabetis menyebabkan gula darah berlebihan terkumpul didalam darah dan tidak mampu pergi kedalam sel-sel anda. [6]Cathepsin B [7]Hidup Sihat: Bermaksud tanpa pnyakit keronik, dapat mengawal emosi dan hidup bermasyarakat [bersosial].

No comments:

Post a Comment