06 January 2018

Ke BATU FERINGGI [5]


Waktu pun berlalu. Senja telah menolak siang ke kaki langit. Malam menjelma. Kami hanya berehat di dalam bilik sambil berbicara tentang acara seterusnya. Pukul 1000 malam, perut mula terasa lapar. Kami berempat sepakat melepak di Restoran Line Clear yang lokasinya di Jalan Penang. Kami 'ngeteh' dan sekeping capati adalah makan malam kami kali ini. Kami juga sempat berbual dengan pelanggan sebelah meja kami tentang nasi kandar, kari mamak dan pesembur. Menghampiri pukul 1150 malam, pelanggan sudah berkurangan. Pekerja restoran mula memberi isyarat 'tutup kedai' dengan melipat meja dan menyusun kerusi yang sebelum ini diatur diatas siarkaki. Pukul 1155 malam kami beredar dari Restoran Line Clear setelah Idris melunaskan bayaran makan malam kami. - Ngeteh di Georgetown [3] 03 Jan 2018.



Geroge Town
Pukul 08.00 pagi kami keluar dari sarang di Red Inn Cabana untuk bersarapan. Berjalan beriring-iringan di sepanjang jalan, sambil bebola mata memerhatikan kalau-kalau ada orang menjual nasi lemak atau ruti bakar. Dari Lebuh Leith kami melangkah ke Jalan Penang dan terus ke Jalan Hutton. Kami melihat ramai orang sedang bersarapan di simpang Hutton lalu kami pun berlabuh di situ.

Kami berempat sarapan ruti bakar dan telur setengah masak[1]. Usai sarapan, Mahfol minta izin untuk balik ke bilik kerana sakit perut. Kami bertiga pula berjalan-jalan, melihat orang berjualan di sekitar pasar pagi yang terletak di Lebuh Keng. Kami terus berjalan melalui Lebuh Kangsar, Lebuh Campbell dan terus ke Lebuh Culia. Di Lebuh Culia itu ada lorong dan dinding bangunannya dipalit dengan beberapa ilustrasi kreatif.



2-
Pagi itu kami serahkan kunci bilik hotel di kauter Red Inn Cabana. Kami gerak keluar sambil mengendong backpack menuju stesen bas untuk ke Batu Feringgi. Menunggu bas rapid di station 7 sambil melihat jam yang jarumnya baru menunjukkan pukul 1005 pagi. Hampir 10 minit menunggu bas tidak juga muncul. Seorang lelaki Cina tempatan datang menghampiri kami lalu bertanya.

"Encik semua tunggu bas mahu ke mana?"

"Kami hendak ke Batu Feringgi". Segera di jawab oleh si Baha.

"Sampai malam pun encik tidak akan tiba di Batu Feringgi"

"Kenapa?" soal Baha pendek.

"Bas ke Batu Feringgi tidak lalu jalan ini. Encik kena tunggu di station 8, dekat dengan Seven Eleven".

"Ohhh! Ya ke! Terima kasih Encik" ujar si Baha.

Aku, Idris dan Mahfol juga mengucapkan terima kasih kepada lelaki Cina tersebut sambil bergerak ke arah station 8. Masih ada  orang yang baik hati di pulau ini, kalau tidak sampai besuk pun kita tak sampai ke Batu Feringgi ujar si Mahfol termengah-mengah kepenatan sebaik kami tiba di station 8.



Batu Feringgi
3- Di Station 8, ramai orang sedang menunggu. Tidak lama bas pun tiba. Kami bayar tiket rm2.70[2] setiap seorang. Bas itu melalui Bagan Jermal, Tanjung Tokong, Tanjung Bunga dan berhenti di hadapan Golden Sand Resort Batu Feringgi. Kami turun. Baha dan Mahfol bergegas ke Station Petronas, hendak ke tandas kata si Mahfol. Aku dan Idris duduk berehat disalah sebuah kerusi sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Di sebelah petrol pam itu aku lihat ada outlet Mc'D. Tidak jauh dari petrol pam itu ada deretan rumah kedai. terdapat juga outlet KFC. Malah, banyak gerai-gerai makan di-dirikan disepanjang Jalan Sungai Emas yang jalannya berakhir entah di mana.


Di simpang tiga, antara Jalan Batu Feringgi dan Jalan Sungai Emas, kami berehat di salah sebuah gerai, minum sambil berbincang untuk mendapatkan bilik harga murah. Kami bergerak dari satu hotel ke satu hotel badjet yang terdapat di deretan rumah kedai. Kami mengambil keputusan untuk tinggal di bilik yang harganya rm150.00[3] untuk empat orang. [Kami bayar rm200.00 termasuk deposit rm50.00 sahaja].


Tengahari itu kami turun makan nasi[4] di gerai kaki lima berhampiran Mutiara Apartment. Si Baha memang berselera jika makan tengahari itu dengan kari kapala ikan. Lalu di-mintanya seketul kari kepala ikan yang harganya cuma rm12.00 sahaja. Apa lagi, kami bertiga pun menumpang secubit dua kari kepala ikan tersebut. Memang terbaiklah. Perut pun sudah kenyang. Kami hanya mampu baring-baring di dalam bilik sebentar sebelum kami keluar semula ke Butterworth untuk membeli tiket tren Ets, Butterworth - KL Sentral.


Petang itu cuaca sekitar Batu Feringgi sedikit panas. Walaupun panas kami berempat tetap gumbira kerana telah sampai di perhentian bas di hadapan Golden Sand Resort. Kami menaiki bas rapid yang penuh sesak dengan penumpang. Bayar tambang rm2.70[5]. Bas itu bergerak menuju terminal bas Georgetown. Di dalam bas yang sesak itu kami hanya berdiri di-ruang Oku. Aku lihat seorang pemuda sedang duduk di kerusi yang di khaskan untuk orang kurang upaya, orang tua, orang buta dan perempuan mengandung. Pemuda yang sihat tubuh badan itu hanya memerhati seorang perempuan tua dengan enam buah beg  bergayut dihadapannya.



Bas yang kami tumpangi itu  berhenti di setiap perhentian bas. Penumpang bertambah ramai, bersesak-sesak berlaga bahu seperti menaiki bas mini era tahun 80'an di Kuala Lumpur. Akhirnya bas itu sampai juga di terminal Georgetown. Kami turun, berjalan di celah-celah orang ramai menuju ferry yang sedang menunggu penumpang. Di dalam ferry, aku tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar anatarnya gambar yang aku rakam ialah jambatan Pulau Pinang.

Di Ktm Butterworth, kami beli tiket Ets untuk esuk, dari Butterworth - KL Sentral dengan harga rm44.00[6] seorang. Tren akan berlepas pada pukul 8.00 malam dan dijangka tiba di KL Sentral pada pukul 0015 pagi esuknya. Usai urusan pembelian tiket kami bergegas semula ke Pengkalan Sultan Abdul Halim, bayar rm1.20[7], untuk menumpang ferry ke Georgetown. Ketika berada di dalam ferry, matahari telah menghilang. Sebaik sampai di seberang nanti kami bercadang ke Medan Selera Padang Kota, untuk merasai pesembur dan sotong kangkung. - Cut!

Nota Kaki : Perbelanjaan Hari ke-3
[1]Sarapan Pagi Rm4.50 [2]Tiket bas ke Batu Feringgi Rm2.70 [3]Bilik Rm37.50 seorang. [4]Makan Tengahari Rm5.00 [5]Tiket bas ke Georgetown Rm2.70 [6]Tiket Ets Butterworth-KL Sentral Rm44.00 [7] Tiket Ferry Rm1.20. Jumlah satakat ini ialah Rm99.60.



No comments:

Post a Comment