Hari ini, 5 Zulhijjah suasananya mungkin sama seperti hari-hari semalam. Yang membezakan hari ini dengan hari semalam ialah bebudak sekolah kerana hari ini bermulanya cuti sekolah. Ibu bapa tentunya udah merancang untuk membawa anak-anak mereka bercuti di kampong sambil menyambut Hari Raya Haji yang jatuh pada hari Khamis, 10 Zulhijjah 1436 bersamaan kelender kuda iaitu 24 September 2015.
I- Korban di Gombak!
Aku dan Bakar @Burn sudah sampai di restoran India Muslim yang lokasinya tidak jauh dari Taman Kamariah. Kami berdua memilih meja diluar restoran. Kemudian seorang pekerja datang menghampiri kami. Macam biasa, dah lali dah dengan cara pekerja direstoran India Muslim mengambil pesanan sambil menjerit.
"Satu teh panas, satu teh yo" jerit lelaki India tersebut kepada pembancuh air.
"Siap!" kedengaran dengan jelas jawapan sipembancuh air yang lokasinya nun jauh kat belakang iaitu berhampiran pintu masuk ke ruang dapur.
Seminit kemudian. Air udah terhidang diatas meja. Aku mengacau air teh yang dibawahnya terkumpul susu pekat lemak manis. Si Bakar menghirup sedikit teh O sambil membelek-belek I-pad, membaca pesanan-pesanan dari group WhatsApp!
"Arg! Macam-macamlah diaorang ne" Rungut si Bakar. Keningnya berkerut macamlah ternampak hantu jerangkong gamaknya. Aku pulak sedang menghantar pesanan ringkas, ajak Baha minum sekali. Baha setuju!
"Ialah, kalau nak buat korban pun buatlah kat tempat kita dulu, kat kejiranan kita, kat negara kita. Kan masih ramai fakir miskin yang memerlukan daging korban!"
"Ohh! Pasal ibadat korban. Ingatkan apa tadi. Betullah yang diaorang buat tu Burn. Bantu umat Islam lain yang dalam serba kekurangan seperti di Kemboja, Thailand, Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Filipina termasuk gah Nepal"
"Tapikan... kat negara kita masih ramai orang miskin, anak yatim yang miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya yang miskin terutama kat pendalaman. Sepatutnya golongan sasaran macam tulah yang patut kita agihkan daging korban"
"Kenapa? Selama ne golongan yang lu cakap tu tak dapat ke Burn? Mana lu tau diaorang tak dapat. Ada keluar kat lu punya group WhatsApp ke!"
"Tak adalah"
"Habis tu apasal lu macam tak puas hati je. Kalaulah benar ada sorang dua fakir miskin yang tak dapat agihan daging korban, macam kat kampong lu, Kampong Manggis misalnya...itu tanggung jawab Ketua Kampong. Dia lebih arif tentang anak-anak buahnya Burn"
Si Bakar memandang aku dengan dahi berkerut seribu. Mungkin sedang memikirkan akan kebenarannya atau dalam hatinya masih berbulu bila aku bagi pendapat sedikit panjang gitu. Agh! Positiflah sikit wahai Bakar, pujuk hatiku sambil aku menghirup teh yang berbaki tinggal separuh.
Perbulan kami terhenti apabila si Baha sampai dan memberi salam. Salam disabut, kami bersalaman.
"Tadi gua kat Jalan Ipoh masa lu sms" sambil Baha menarik kerusi disebelah Bakar lalu memesan secawan teh O dan secawan air suam. Aku juga turut memesan secawan ais kosong kerana tekak aku udah terasa haus mungkin kerana cuaca diluar sedikit panas. Pulaktu, teh yang dihirup rasa tidak sedap lagi kerana udah sejuk!
II- PELARIAN
Perbulan diteruskan. Kali ini perbulan lebih terbuka apabila si Baha yang bercerita tentang tragedi sebuah kren yang terletak di Masjidilharam tumbang pada 11 September lalu yang telah mengorbankan 107 jemaah haji manakala sekurang-kurangnya 2,380 lagi cedera. Kejadian itu dianggap sebagai runtuhan kren terburuk dalam sejarah dunia moden.
Kemudian cerita kedai kopi kami beralih pulak kepada kisah ribuan pelarian Syria yang cuba memasukki negara belah Balkan untuk terus ke barat Eropah melalui Turki, Greece, Georgia, Albania, Mecedonia, Croatia, Slovenia, Bulgaria, Romania, Hungary dan Austria.
"Lu orang tau tak apa pasal diaorang jadi pelarian dan kenapa tak lari saja kat negara Islam yang bersempadan dengan Syria seperti negara Iraq, Iran, Lebanon, Jordan atau jauh sedikit belah selatan seperti negara Kuwait, Bahrin, Qatar, UAE atau setidak-tidaknya lari ke Arab Saudi misalnya". Baha bersuara, tersengih melihat kami berdua.
"Fuhh! Ini macam soalan cepu emas Bro! Kalau dapat jawab hadiah apa lu nak bagi Baha?" Soal si Bakar, ketawa kemudian menggaru kepalanya.
"Cett! Hadiah apake bendanya Bro. Saja-saja nak menduga minda".
"Soalan tu kira bagus jugak Baha. Satu, kenapa diaorang jadi pelarian sebab kerajaan Syria tengah bergaduh dengan kumpulan penentang dan juga kumpulan militan IS. Untuk terus hidup diaorang terpaksa cari perlindungan dinegara lain".
"Okey! Jawapan yang kedua?".
"Diaorang taknak lari belah negara Islam pasal negara yang bersempadan dengan Syria pun bermasalah. Kalau masuk gak kira macam bunuh dirilah. Nak masuk ikut pintu mana? Hampir semua negera Arab bergolak, bermasalah, perang saudara tidak berkesudahan terutama sengketa antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan kumpulan Syiah. Bukan itu je Bro, rakyat tak puas hati dalam soal politik dan ekonomi".
"Setuju sangatlah gua Bro"
"Ehh! Belum habis lagi gua cakap".
"Dah panjang lebar tu Bro!"
"Agak-agak, siapa yang sedang ketawa terbahak-bahak melihat kacau-bilau dan kemusnahan negara-negara Islam sekarang?"
"Wah! Ada soalan gak. Kene jawab ne...tentulah musuh Islam seperti Yahudi Zionis".
"Tau takpe! Ini hanya sedikit permainan yang dilakukan oleh Zionis yang juga dikenali sebagai Konspirasi Yahudi. Tupasal kita kene hati-hati bila nak pilih warna, nak merah ke nak warna kuning?"
III- MERAH KUNING
"Ekeleh! Apa kene mengene warna merah kuning dengan pelarian Bro?"
"Memanglah takde kene mengene dengan pelarian Syria, tetapi kita mungkin juga boleh jadi pelarian kalu silap pilih warna".
"Maksud lu Bro!"
"Maksud gua, kita order secawan lagi teh. Barulah ada semangat sikit nak story pasal warna Bro. Lagipun gua tenguk muka korang monyok semacam. Orderlah, gua belanja".
"Takpelah Bro. Perut gua dah kembung kene teh O. Lu storylah pasal warna tu. Kita orang nak tau gak".
"Dalam bendera kita ada warna asas iaitu puith, kemudian dipalit dengan jalur warna merah, kemudian ada sedikit warna biru dan kuning"
"Arg! Itu paja hingusan pun tau tu. Jangan nak kelentong, nanti bau lan'tong" Si Bakar terus mencelah dalam te'lor Minang. Kami bertiga ketawa serentak pasal lama dah tak dengar istilah lan'tong. Aku dan Baha berhenti ketawa bilamana si Bakar menunjuk dengan jari telunjuknya ke arah langit. Matahari pagi tidak kelihatan lagi. Di dada langit, tompok-tompok hitam berarak perlahan tanda nak hujan.
Sebelum langit runtuh ada baiknya kami gerak untuk mengelak terkena titisan air hujan. Ini kerana dipercayai air hujan yang mula-mula turun membasahi bumi membawa sekali kekotoran yang terkumpul sekian lama di udara. - Wallahuaklam!
No comments:
Post a Comment