Asalamualaikum!
1- Dari sehari ke sehari aku cuba hendak meng-update blog tetapi petang ini barulah ada mood. Mood itu pun datang setelah hampir sejam melepak di Restoran AliMaju bersama Bob dan Baha. Lepastu melepak pulak di foodcourt EonMall kerana salah satu sebabnya EonMall menyediakan tempat solat [surau] serta tandas yang dikira bersih kalau hendak dibandingkan dengan Ali Maju.
Masa kami berbual di AliMaju tadi ada siBaha bagitahu aku mengenai kiosk kosong di UIA dengan student lebih 4,000 orang. Si Baha bagitahu aku, sebab dolu aku pernah bercerita tentang hasrat aku hendak memiliki sebuah cafe yang berkonsepkan cafe gallery.
Ahhh! Itu hanyalah angan-angan. Apapun, sekurang-kurangnya aku pernah memasang angan-angan kerana dari nafsu angan-angan itu lahir sedikit harapan. Walaupun ia tidak menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya aku pernah berangan. Lagipun, bukannya kena duit kalau setakat kita berangan-angan!
Kami bertiga berbual pula tentang 'Tragedi Helikopter Terhempas' di Batang Lupar, Sarawak yang membawa lima penumpang dan seorang juru terbang - ada kemungkinan akibat di panah petir. Ini kerana penerbangan itu dilakukan ketika cuaca kurang baik [hujan lebat gitu!]. Fakta itu disokong pula oleh Penganalisis Pertahanan [En Muhammad Fuad Mat Noor] dimana ketika berlakunya hujan lebat, awan akan menghasilkan cas negatif manakala Heli bertindak sebagai cas positif yang boleh menghasilkan suatu tenaga apabila kedua-duanya bertembung.
Dari cerita tentang Heli terhempas, beralih pula kisah kejuaraan penuh bergaya Leicester City menjulang trofi Liga Perdana England [EPL] setelah berangan-angan selama 132 tahun. Malah pengurus Leicester City, Claudio Ranieri meminta para penyokong pasukan itu terus memasang impian lebih besar. Ya! Penyokong boleh terus bermimpi kata Ranieri.
Pot! Pet! Potpet! Kisah insiden dua buah tren Keretapi Tanah Melayu Bhd. [KTMB] bergesel berhampiran stesen KTM Batang Kali dekat Kuala Kubu Bharu. Dengkil dilanda banjir, kisah air empangan kering dan berita Kembara Mahkota Johor [KMJ] 2016 dimana Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan memandu trak Mack paling mahal di dunia bernilai RM1.5 juta dan mengambil masa setahun untuk disiapkan di tenggara Brisbane, Australia. - [ABC News]
2- Sebelum aku mula menaip aku membancuh secawan teabag [Boh Gold Blend] dengan meletakan dua sudu kecil [sudu teh] gula tetapi air teh terasa seperti teh tanpa gula. Aku tambah satu sudu lagi. Aku hirup. Masih tidak manis. Aku tambah sesudu lagi gula. Ada sedikit rasa manis tetapi belum lagi menepati citarasa aku.
Hairan! Apasal pulak gula ne tak manis. Semalam, aku terpaksa top-up beberapa sudu garam ke dalam kari kepala ikan tetapi tidak juga terasa masinnya. Akhirnya aku terpaksa meletakan sedikit serbuk perasa barulah kari tersebut ada rasa sedikit masin! Begitulah sifat minda kita. Jika kita berkata berulang kali bahawa gula itu sifatnya manis maka hal itu dianggap benar. Minda kita telah memproses apa yang didengar dan apa yang dilihat lalu kita terpengaruh.
Meminjam beberapa ayat dari tulisan bersama Ainon & Abdullah iaitu orang yang sering menggunakan teknik pemikiran biasa sering kali dikongkong oleh apa yang dilihat oleh mata [persepi]. Sering kali tunduk kepada niat dan kepentingan peribadi. Apa-apa idea yang bertentangan dengan kepentingan itu akan diketepikan. Ciri-ciri lain dalam pemikiran biasa termasuklah berfikir tidak seimbang, dipengaruhi pengelaman peribadi serta melihat sesuatu secara terlalu sempurna atau secara ekstrim.
Ujar Ainon dan Abdullah lagi, sehingga hari ini ramai yang keliru antara kecerdasan dan kreativiti. Kanak-kanak yang mendapat markah tinggi dalam ujian IQ dianggap serupa dengan kanak-kanak yang kreatif. Melalui penyelidikan, mendapati IQ dan kreativiti adalah dua perkara yang tiada kaitan. Dalam erti kata lain, kreativiti bukan fungsi kecerdasan otak. - Dari buku Teknik Berfikir
3- Bila aku merujuk [bukan merajuk] kepada muka surat 22 & 23 tulisan Ainon dan Abdullah, teringat aku ketika berada di Sekolah Aminuddin Baki [SAB] awal tahun 70'an. Ketika itu hanya ada dua [2] kelas tingkatan 3 iaitu kelas A dan B. Selalunya kelas Tingkatan 3A terdiri pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan. Mereka telah disaring melalui ujian penilaian Tingkatan 2 dan kebanyakan pelajarnya memiliki daya ingatan yang kuat berbanding kelas B yang dianggap pelajar kureng cemerlang.
Dolu, aku pernah memandingkan antara pelajar 3A dan 3B. Ada sedikit perbezaan. Wajah pelajar 3A selalunya nampak baik mungkin terdiri dari keluarga yang baik dan berada. Pakaian mereka sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Apabila ditanya tentang cita-cita, mereka lebih berminat untuk menjadi peguam, doktur, akitek atau paling tidak pun menjadi guru. Pelajar 3A sering kelihatan berada di perpustakaan berbanding pelajar 3B.
Di kelas 3B, wajah-wajah pelajarnya kelihatan sedikit nakal. Jika tidak ada guru di dalam kelas, kelas mereka akan menjadi haru biru. Bising yang amat sangat. Tentang cita-cita mereka pula, kebanyakan mereka tidak ada nafsu untuk bercita-cita tinggi. Pernah ditanya oleh guru kelas [pompuan] kepada seorang murid tentang cita-cita, lalu pelajar itu dengan selamba menjawap mahu menjadi konduktor bas. Apalagi, satu kelas ketawa terbahak-bahak!
Waktu pagi, kekadang ada beberapa pelajar 3B dilihat berlari keliling padang kerana didenda. Kesalahan yang sering dilakukan ialah datang lewat, tidak memasukkan hujung kemeja kedalam seluar [tuck-in] tidak memakai stokin dan tidak memakai lencana. Walaupun pelajar 3B dianggap kureng cerdik tetapi sebahagian mereka mampu mengalahkan pelajar 3A terutama dalam aktiviti sukan bola sepak misalnya, seni kerja tangan dan selalunya hasil lukisan pelajar 3B tergantung didinding bilik lukisan berbanding pelajar 3A.
4- Ketika awal tahun 70'an, ibu bapa dan guru-guru masih lagi berfikir secara biasa. Pelajar yang memiliki nilai-nilai yang disukai oleh guru-guru pastinya pelajar 3A. Setelah lulus Tingkatan 5 pelajar-pelajar itu akan meneruskan pengajian di menara gading. Ketika itu sistem pendidikan masih lagi memihak kepada pelajar yang tinggi IQnya berbanding pelajar yang mempunyai daya kreativiti. Pelajar 3B yang memiliki kreativiti itu akan tercicir dan terpinggir kerana mereka gagal mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Seperti yang ditulis oleh Dr Azlena Zainal dan Dr Munir Shuib, iaitu keputusan peperiksaan tidak mengambarkan kebolehan pelajar menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Ia hanyalah suatu angka atau abjad di atas kertas yang menunjukkan sejauh mana kita pintar atau bodoh. Menurut kajian oleh penyelidik-penyelidik dari IPPTN [Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara] menunjukkan ramai siswazah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi gagal mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka. Antara puncanya, mereka lemah dalam aspek penyelesaian masalah dan penjanaan keputusan. - Dari buku Potensi Minda.
5- Dolu Ya! Gula itu manis dan garam itu masin tetapi hari ini adakah gula itu masih manis dan garam itu rasanya masih masin. Jika benar gula itu masih manis kenapa kita terpaksa menambah lagi beberapa sudu gula ke dalam minuman kita. Tidak mustahil, pakar-pakar kimia gula telah menambah bahan lain selain daripada gula tebu semulajadi untuk menghasilkan gula. Jika ada penambahan bahan lain hanya mereka yang bertugas di bilik makmal sahaja yang mengetahui rahsia itu. - Rahsia milik mereka!
Bila ada ruang dan peluang, mereka yang kreatif [itu pun jika boleh dipanggil kreatif] akan melahirkan idea-idea bodoh tetapi mengutungkan mereka. Contohnya, seperti seorang penoreh getah yang tidak mempunyai IQ tinggi tetapi telah memasukkan air kedalam susu getah untuk menambah berat susu getah tersebut. Peniaga tempoyak pula mencampurkan pisang bersama isi durian untuk dijadikan tempoyak. Peniaga ikan di pasar mungkin akan merenjiskan sirap merah agar ikan itu kelihatan segar.
Pernah terjadi, seorang penjual mee goreng mencampurkan daging beserta dengan daging palsu [kotak yang direndam] bagi menjimatkan kos pembelian daging. Barang tamat tempuh seperti beras misalnya akan dibungkus semula oleh pengedar dan meletakan tarikh tamat tempuh yang baru. Tidak terkecuali pada restoran makanan segera. Mereka akan mengoreng semula ayam semalam dan menjualnya melalui take away secara mencampurkan yang lama dan baru.
Begitu juga tentang penipuan Labu Peram, Love Scam, Gores dan Menang serta bermacam macam lagi idea gila yang dilahirkan oleh mereka. Adakah idea-idea penipuan itu boleh dianggap sebagai orang yang mempunyai tahap IQ yang tinggi atau individu yang mempunyai daya fikir yang kreatif. - Wallahuaklam!
Pssttt! Kreativiti ialah fungsi berfikir. Ia memerlukan teknik berfikir. Apabila digunakan ia dapat menerbitkan idea-idea baru atau melihat semula sesuatu dengan cara baru. Kreativiti ialah "Melihat apa yang semua orang sudah nampak dan memikirkan apa yang belum terfikir oleh orang lain". - Ainon & Abdullah [Teknik Berfikir]
|
No comments:
Post a Comment