30 May 2016

KETIKA JENDELA TERBUKA!



"Lihatlah bagaimana Tuhan mengatur kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Waktu pagi, burung-burung terbang dengan riang, bunga-bunga kembang dan para petani serta peladang keluar bekerja penuh bertenaga. Tiba waktu petang berlaku perubahan-tempo biologi, bilamana bunga gugur layu, burung pulang ke sarang dan petani serta peladang keletihan lalu berehat dan malamnya mereka terlena".



1- Tanah Kebun
!
Ketika jendela dibuka, pemandangan diluar sedikit berkabus. Kicauan burung mula kedengaran sahut menyahut di antara tekukur, merbok, kelicap, tempua dan pipit. Siulan burung-burung, sesekali bunyi anjing menyalak seakan bersatu seperti kumpulan okestera gamaknya.

Tanah basah. Hujan lebat malam tadi sudah cukup untuk akar-akar pokok bernafas dan menjalar dalam tanah. Embun masih melekat dihujung rumput tetapi si Fadzli Lombok sudah bersiap-siap untuk memulakan tugasan iaitu mengetam rumput. Aku segera ke bilik mandi. Usai mandi aku bersarapan dengan secawan teh uncang dan tiga keping biskut cream crackers jenama Hup Seng.

Di Tanah Kebun hanya aku dan Fadzli Lombok. Adek Ali balik bercuti seminggu. Mohamad Ridwan [volunteer] mungkin sudah berada dalam perut boat menuju Bali. Si Uwan pula buat kerja tukang kayu entah dimana, tidak pula aku bertanya. Kebiasaan, aku dan Fadzli Lombok hanya bersarapan ala kadar sahaja. Jika nak ikut buku, se-elok-eloknya sarapan pagi diambil  selepas tiga jam selepas kita bangun dari tidur. Tetapi jarang sekali dalam kehidupan kita ikut buku. Selalunya, celik sahaja mata, pasti kita akan memikirkan nak sarapan apa ya! 


 

2- Aku sedang menikmati teh uncang jenama Boh. Di luar, aku lihat si Fadzli Lombok sedang menuang minyak tuti berwarna pink ke dalam mesin rumput kemudian menyedut minyak petrol melalui saluran plastik lut sinar lalu minyak itu mengalir masuk ke dalam mesin rumput. Minyak sudah penuh. Mesin rumput dikendong lalu si Fadzli Lombok bergerak ke arah rumput dan lalang yang mula meninggi - mula menebal. Hanya sekali tarik, mesin rumput mula berbunyi peralahan, kuat dan bertambah bingit!

Teh sudah habis aku hirup.  Aku cuba menulis. Aku berfikir dan bermenung seketika. Cerita apa pulak yang hendak aku tulis kali ini. Beku kepala otak aku. Ketika inilah aku teringat akan saranan seorang rakan iaitu jika hendak memulakan penulisan 'jangan fikir' tetapi tulislah apa sahaja bermula dengan 'sepatah-dua perkataan'. Kemudian dikembangkan dengan sebaris ayat. Dari sebaris ayat, jadikan satu perenggan dan seterusnya hingga menjadi ayat sekurang-kurangnya 250 perkataan sebagai aktiviti minda diawal pagi.

Aku pejamkan mata. Cuba melakukan jelajah minda atau ayat lainnya ialah mahu melihat semula secara keseluruhan aktiviti yang aku lakukan seminggu yang lalu. Ahhh! Sukarnya untuk aku membuka pintu memory. Yang berlegar diingatan aku ialah aktiviti semalam yang bercampur-baur dengan bunyi cicak dan jeritan mesin rumput si Fadzli Lombok. Cuba pejamkan mata sekali lagi pujuk hatiku. Kosongkan minda. Cuba berimaginasi hal-hal yang menyeronokkan pasti pintu memory akan terbuka.


3- Pon! Poonnn! Aku berhenti berimaginasi. Retina aku terus ke pintu pagar yang masih tertutup rapat tetapi tidak bermangga. Aku lihat sebuah lori berkepala merah satu tan sedang berhenti dihadapan pintu pagar. Bunyi horn ditekan lagi. Fadzli Lombok berhenti mengetam rumput sebaik mendengar horn kedua kalinya dibunyikan. Selak pintu pagar ditarik. Daun pintu di kuak ke kiri dan ke kanan. Lori berkepala merah itu bergerak menuju pondok tempat aku cuba berimaginasi. Ishh! Ishhh! Potong stemlah lori ne!


Dua lelaki Melayu keluar dari lori. Mereka masuk dan memberi salam di ikuti si Fadzli Lombok dari belakang. Kami bersalaman sambil mereka memperkenalkan diri. Seorang lelaki bertubuh sederhana memperkenalkan dirinya sebagai En.Muhamad @Mat dan yang berbadan gepal-bulat pula di kenali sebagai En.Mukhlas dari syarikat Azal Jati Sdn Bhd. Mereka berhajat mahu membeli nangka muda secara borong [200 biji] pada harga rm1.00 sebiji. Wei! Murah sangat tu Bai, bisik hatiku.

Selang 15 minit kami berbual, masuk sebuah lagi lori satu tan berkepala merah. Aku sangkakan kawan si Muhamad @Mat yang juga hendak memborong nangka muda. Sangkaan aku meleset bilamana seorang lelaki India turun dari lori lalu memberitahu hajat hati hendak membeli besi buruk, tembaga, botol plastik, betri lama  dan tin minuman dengan harga yang murah juga. En Santheran nama di beri, katanya dari Mentakab. Entah e-ya' entah tidak, pasal pada kad perniagaan beliau tidak dicetak alamat hanya ada tertera nombor telepon.

Aku maklumkan pada En Santheran iaitu buat masa ini kami belum lagi mengumpul besi buruk dan botol minuman plastik. Nanti jika sudah terkumpul kami akan call. En Santheran mengganguk kepala tanda faham. Bangun, bersalaman lalu keluar. Kami berempat sambung berbincang tentang nangka muda.  Fadzli Lombok sanggup memetik nangka muda tetapi tidak dapat menjamin untuk mendaptkan 200 biji nangka muda dari jenis Mastura. En Muhamad @Mat dan bossnya En Mukhlas setuju. Ketiga-tiga mereka bergerak meninggalkan pondok menuju ladang nangka bersama dengan lori berkepala merah.


Aku tidak lagi mahu berimaginasi. Tanpa diarah, aku menyarung boot getah berwarna biru tua dan bertopi. Ya! Pagi ne aku nekad untuk menggumpulkan besi buruk, tin minuman dan botol-botol plastik yang mungkin tersorok dicelah-celah perdu senduduk, terlindung di sebalik pokok nangka atau sudah terbenam lama dalam timbunan sampah sarap. Bila sudah terkumpul nanti bolehlah aku call En Santheran. Harga yang di tawarkan bagi sekilo besi buruk hanya 40 sen. Murah tu! Murah pun tak kisahlah janji persekitran tanah kebun bersih dari 'tetamu maut' seperti  kala jengking, lipan, tikus atau setidak-tidaknya  kita dapat menghindari pembiakan jentik-jentik gitu. - Cut!



Pssttt!
Kata orang dolu-dolu "Berjagung-jagung dahulu sebelum padi masak". Aku pulak kata "Kalau tak dipecahkan telur mana mungkin dapat makan telur dadar". Orang kebun pun pernah berjenaka: "Berjualan botol plastik dan besi buruk dahulu sementara menunggu nangka berbuah". - Wallahuaklam!






No comments:

Post a Comment