"ia muncul ketika aku sedang berjalan menyusuri hari hariku. di lorong kota kenangan. kota kenangn yang hari-harinya telah lama ku tinggalkan. aku tersapa oleh keriangan ia yang ramah dan santun itu, bunga-bunga padanya tersenyum, rumput-rumput melambai. angin yang ramah mengelus rambutnya yang panjang. kusaksikan ia yang periang itu malu-malu meredupkan kelopak kolam mata beningnya, demikian, setelah bertahun-tahun aku terhukum oleh belenggu keresahan, saat itu tiba-tiba"[4 april 1984 clubmon, jalan ampang]
- Titiwangsa Sentral. Dia menutup buku puisi Balada Pyanhabib dan menyumbatnya ke dalam backpack berwarna hitam sebaik sahaja mendengar monorail mengampiri stesen. Berdiri bersama beberapa penumpang di platform, diluar garisan kuning.
Trott! Trott! Trott!
Bunyi pintu automatik serentak terbuka di semua gerabak. Dia bersama penumpang lainnya memasuki Monorail[1]. Penumpang tidak ramai. Terdapat dua buah kerusi masih kosong. Dia memilih untuk berdiri sahaja kerana tidak sanggup duduk mengadap penumpang. Pintu tertutup rapat. Monorail bergerak. Bunyinya lebih senyap jika hendak dibandingkan dengan komuter dan lrt. Ini barangkali disebabkan monorail menggunakan roda getah di atas landasan logam konkrit.
Monorail berhenti distesen Chow Kit. Ramai penumpang memasuki perut Monorail. Semua kerusi sudah dipenuh penumpang. Berbagai-bagai bangsa, wajah dan warna kulit. Penumpang yang duduk kelihatan itim melayan handpon. Monorail bergerak menuju stesen berikutnya. Lelaki yang menyandang backpack itu masih berdiri disitu. Bebola matanya dilepaskan bebas meneroka hutan batu bata. Dia juga seperti penyair Pyanhabib, punya kota, punya kenangan dan mahu dikenang. Kota kenangan itu baru sahaja dilepasi. Chow Kit!
******
Satu hari, ayahnya membawa dia bersiar-siar disekitar Chow Kit. Ketika itu dia masih budak sekolah rendah, masih hingusan. Rambutnya disisir rapi, berminyak dan berkilat. Itulah kali pertama dia mengikut ayahnya berbelanja dipasar Chow Kit. Kali pertama juga dia melihat ramainya orang, riuh rendah berjual beli. Riuh sangat!
Dia melihat orang yang berjual beli itu seperti disampok[2] hantu gamaknya, lagi-lagi bilamana ada peniaga yang melolong, menjerit-jerit menawarkan harga. Ayah tidak peduli jeritan peniaga. Ayah terus sahaja berjalan bergesel bahu, bergesel lengan, dari satu gerai ke-satu gerai, ayah jelajah. Dia ikut dibelakang ayahnya. Ayah tidak membeli ikan tidak membeli sayur, Tidak juga berhenti di gerai cendol. Hairan dia.
Akhirnya ayah berhenti digerai menjual pisang. Dia lihat banyak jenis pisang bergantungan tetapi dia hanya kenal beberapa jenis pisang sahaja, seperti pisang emas, raja dan pisang tanduk. Ayah tanya harga sesisir pisang emas. Tawar menawar. Ayah beli dua sisir pisang emas, yang kulitnya sudah lebam, warnanya lebih banyak yang hitam. Harga yang ayahnya bayar cuma lapan posen. Sedap kalau dibuat cekodok[3] pisang. Kata ayahnya!
Ayahnya sudah selesai berbelanja. Ayah berjalan melalui gerai-gerai tadi - gerai ikan, gerai ayam, gerai sayur, gerai buah-buahan, gerai rempah dan menghampiri gerai cendol, dia menarik tangan ayahnya. Dia hendak minum cendol.
"Ishhh! Tak boleh minum cendol. Dalam cendol tu ada cacing merah"
"Kenapa letak cacing dalam cendol"
"Entah! Kata orang cendol lambat basi"
"Ooooo"
Ayah keluar dari kawasan pasar dengan menjinjing beg plastik yang isinya dua sisir pisang emas. Dia ikut dibelakang ayah. Ayah memegang tangan kirinya, mahu melintas jalan. Dia lihat banyak kenderaan. Ada bas ada lori. Ada kereta ada motosikal. Paling banyak beca dan sedikit basikal. Suasana ketika itu dia nampak sangat kelam-kabut, berserabut dengan orang ramai yang berjurutan[4]. Ada yang ke hulu-ke hilir, berjalan disepanjang jalan. Terasa separuh nyawanya hilang ketika dia bersama ayahnya melintas jalan tadi.
Dia menggikut sahaja ke mana ayahnya hendak pergi. Dia tidak merasa letih. sedikit pun tidak, malah berasa seronok pula. Sesekali dia mendongak kelangit, melihat tingginya bangunan. Dia kagum akan kepesatan Kuala Lumpur. Dia tambah kagum bilamana ternampak sekeping poster tertampal di dinding kedai. Matanya, mata ayahnya terpaku menatap poster filem Raja Bersiung. Tangan kirinya ditarik!
Kali ini dia tidak kagum tetapi hairan. Ayahnya masuk ke dalam sebuah kedai kopi. Ramai orang sedang minum. Ada Cina, India, Banggali dan sedikit orang Melayu bersongkok dan berkopiah putih sedang minum sambil menghisap rokok. Tambah menghairankan, ayahnya hanya memesan secawan teh panas.
Apek berwajah kerepot[5], berseluar pendek nampak lutut, memakai singlet, mengahmpiri meja ayah dan meletakan secawan teh panas diatas meja mar-mar putih. Meja mar-mar itu dia lihat berkilat sungguh sehingga nampak bayang-bayang secawan teh panas sedang berasap. Ayah segera memegang cawan teh berbunga hijau lalu menuang separuh air teh kedalam piring. Ayahnya memberikan piring yang berisi air teh itu kepada dia. Air teh masih panas. Dia menghirup perlahan-lahan.
Dia lihat ayahnya juga turut menghirup air teh yang separuh itu sedikit demi sedikit. Kemudian ayahnya mengeluarkan kotak rokok jenama Gold Leaf dan sekotak macis Flyingman dari poket seluar. Ayahnya mengambil sebatang rokok, meletakan dicelah bibir, macis digores, api menyala, hujung rokok dibakar, disedut dan kelihatan asap berkepu-kepul terapung, menerewang diudara. Puas!
"Stesen berikutnya Bukit Nanas"Kenangan dia tiba-tiba hilang sebaik monorail berhenti di stesen Bukit Nanas. Tiada penumpang keluar. Ada beberapa penumpang masuk. Trott! Trott! Trott! Bunyi pintu automatik ditutup. Monorail bergerak kearah stesen seterusnya, stesen Raja Chulan. Di stesen ini ramai penumpang keluar.
Trott! Trott! Trott! Pintu ditutup. Monorail bergerak melalui hadapan bangunan Life Centre, di hadapan pusat beli-belah Lot 10 dan berhenti di stesen Air Asia Bukit Bintang. Sebaik semua pintu gerabak terbuka, ramai penumpang keluar dan sedikit sahaja yang masuk. Dia tidak berdiri lagi. Dia duduk dikerusi bahagian belakang sekali, mengeluarkan buku Belada Pyanhabib, menyelak muka surat 99 dan membaca baris-baris puisi yang belum habis dibacanya tadi - Kota Kenangan!
"saat itu tiba-tiba aku ingin berlari menyusupi bayangan di balik rimbun pohon-pohon di perkebunan kota kenangan bagai si anak kecil yang nakal".
Retinanya terus menatap muka surat 99. Dia merenung ke dalam kertas putih itu dan terus menerus merenung hingga menerobos ke kulit belakang. Di lihatnya wajah Pyanhabib yang kadang menyelit, kadang menyerangguh, kadang menyelinap, kadang menyelusup di antara kita. Lalu renungan dia keluar bersama kenangan lama, kota kenangan - Bukit Bintang.
******
Hujung minggu itu, dia bersama rakannya Idris dan Mahfol, sudah berada di perut kota kenangan, kota gelaran - segi tiga emas. Mereka bertiga sepakat berjalan ke panggung Cathay yang letaknya bersebelahan panggung Pavilion. Mereka mahu menonton filem AbbA. Ada juga sesekali mereka menonton filem Cina, itu pun jika panggung tersebut menayangkan filem Kung Fu lakonan Bruce Lee.
Yalah! Dia bukan lagi budak sekolah, malah sudah lama dia tidak lagi keluar ke kota kenangan bersama ayahnya. Dia sedang meniti zaman remaja yang dipaksa, hampir dia hilang arah. Semua panggung wayang di kota kenangan di terjahnya bersama rakan sebaya. Coliseum dan Oden di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Federal dan Capitol di Jalan Raja Laut, tidak ketinggalan juga dia menonton di panggung Rex dan Majestic. Dia dan rakan-rakan sudah kecanduan[6] menonton wayang.
Ada sekali, tengahari Senin, dia diajak rakan ke Hilton Corner[7], hendak mencuba makanan Cina - Yong tow Foo. Tidak pula dia bertanya makanan itu halal atau haram, semua mahu dibedalnya. Termasuk makan hotdog di stall Nazri [Nat], kuih bomiko dan sate paru digerai ManCo. Minum milo panas gelas besar yang di isi bersama dua biji telur setengah masak digerai Fared Pakistan. [Gerai Fared itu sedikit terlindung kerana berada dalam kawasan store pengarah filem Jamil Sulong].
Waktu dia pokai[8], dia akan melepak bersama rakan digerai teh tarik kepunyaan Aziz @Naina dan pembantunya Daud. Gerai tersebut tentunya tidak mempunyai lesen perniagaan kerana di dirikan diatas longkang, dilorong belakang. Biasanya dia ketika poket kosong - abuk pun tarak, hanya minum teh tarik dan makan seketul ban kelapa. Sesekali dicapainya juga agar-agar dalam gelas kaca sebagai dessert katanya.
Dia sering melepak di gerai Aziz bersama rakan-rakan. Dia tidak kisah, rakannya pun tidak ambil peduli tentang bau hanyir longkang yang meruap dan sesekali dibawa angin nakal sehingga menyengat hidungnya. Memang dia dan rakan-rakan tidak peduli itu semua asalkan dapat melepaskan dahaga dan mengisi perut ketika lapar sangat. Dia, waktu pokai, waktu kering, meminta Aziz atau Daud merekodkan makan minumnya ke dalam buku comel tiga lima [555] dan awal bulan barulah di bayarnya.
Trott! Trott! Trott!
Pintu gerabak monorail serentak terbuka. Dia terkejut giler. Dilihatnya papan tanda tercetak Stesen Tun Sambanthan. Dia mengaru kepalanya. Kepalanya tidak gatal sebenarnya. Dia hairan, bilamasa monorail melepasi stesen Imbi dan stesen Maharajalela. Kota Kenangannya hilang lagi. Pintu monorail tertutup. Bergerak meninggalkan stesen Tun Sambanthan menuju stesen terakhir - KL Sentral.
Dari kaca mata dia, monorail itu walaupun pembinaannya sedikit terlewat kerana kegawatan ekonomi tetapi dapat juga disiapkan dan mula beroperasi pada 31 Ogas 2003. Sehingga kini, perkhidmatan monorail itu telah mengangkut, membawa 25 juta penumpang sejak pelancarannya.
"Stesen berikutnya KL Sentral"Monorail berhenti. Pintu gerabak terbuka. Dia keluar, berjalan di celah-celah orang ramai, turun ke bawah melalui tangga escalator, melintas dihadapan Restoran Putri milik pelakon Rubiah Suparman. Dia ke seberang jalan, masuk ke Restoran Haji Shahol dan memesan secawan teh tarik. Dia mengeluarkan Kosmo! dari backpack. Sambil minum sambil membaca akhbar. Dia leka disitu. - Cut!Nota Kaki: Puisi Kota Kenangan ini aku kutip dari buku Balada Pyanhabib, muka surat 99. Dicetak pada kali pertama , April 2012 dan cetakan kedua , Mei 2012 dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
2- Jika anda berminat untuk meneruskan bacaan cerita pendek ini [yg ada kait-mengait gitu] sila selak entri 'Sengaja Aku Datang ke Kota Mu' - 24 August 2016. [Mj]
No comments:
Post a Comment