23 January 2014

DOLU DAN SEKARANG!



Assalamualaikum!

I - Dolu! Kehidupan generasi sebelum Merdeka amatlah sukar ketika itu kerana Darurat akibat percubaan oleh Parti Komunis Malaya hendak menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan. Begitu juga bagi kebanyakan generasi yang lahir 15 tahun selepas merdeka. Mereka hidup dalam serba kekurangan ditambah pula dengan harga barang yang agak mahal jika dibandingkan dengan pendapatan mereka.

Mereka
bekerja keras untuk terus hidup iaitu bekerja sebagai penoreh getah atau bertani disawah kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain. Harga getah dan padi pulak tidak menentu, maka mereka makan sahaja apa yang ada. Berkongsi makan nasi berlaukan ikan masin cekik leher atau setidak-tidaknya ikan tamban goreng. Rumah pula ketika itu tiada bekalan paip dan letrik, mandi kat perigi atau sungai, minum air tadahan hujan, lampu guna pelita minyak tanah atau lampu gaslin.

Makan!
Jika hendak makan ikan fresh, kene rajin memancing  kat sungai atau parit. Nanti dapatlah makan ikan goreng puyu, ikan keli atau merasa masak lemak ikan haruan. Sesekali kalau ada lebih duit, barulah dapat membeli ikan kembong atau ikan pari dari kedai runcit yang berdekatan. Masa tu mereka memang jarang dapat merasa makan udang, sotong atau ketam.

Sayur pula, mereka petik pucuk ubi dibelakang rumah, pucuk paku dipaya atau petik kangkung ditepi parit. Jika musim cendawan pula, dapatlah merasa cendawan telinga kera atau cendawan kukur (krikit) yang tumbuh di kebun getah. Selalunya  mereka lebih senang  untuk mendapat sayuran serta ulam seperti petai, jering, terung pipit, kacang botol, keladi, ubi kayu, ulam pegaga dan selom kerana harganya murah.

Sarapan Pagi!
Mereka bersarapan anak beranak dengan lemping, cekodok pisang, ubi rebus atau pulut bersama ikan masin. Jauh sekalilah mereka nak bersarapan dengan ruti Gardenia atau bijirin Cornflake. Masa tu kalau basuh baju pong guna sabun buku cap kapak, ubat nyamuk guna cap gajah, pening kepala sikit, sapu dengan minyak cap kapak gak dan kalau demam, telan serbuk cap kaki tiga. 


Untuk
menambah pendapatan ada antara mereka yang bercucuk tanam dibelakang rumah menanam sayur, membela ayam, itek atau kambing. Kalau tinggal dibandar pula mereka buat kojer 'part time' kat petrol pam, jual surat khabar, botol atau jual tembaga. Mereka yang pandai masak pulak akan jual nasi lemak bungkus dan kuih-muih dengan menghantar kat kedai kopi.

Selepas Merdeka!
Sekali lagi mereka yang tinggal dibandar macam Kelompo merasa 'darurat'. Kali ne disebabkan rusuhan kaum yang terjadi pada 13 May 1969. Masa darurat ne kalau ada duit pong tak guna pasal mereka tak boleh berbelanja. Barang-barang keperluan harian susah nak dapat, terutama  ikan dan sayuran.

Masa
darurat ramai yang makan ikan sardin dan ikan masin. Sayuran pulak beli pada penjual bermotosikal iaitu sayur pucuk paku, pucuk ubi, jantung pisang, pucuk betik, rebung, pisang muda, pucuk labu, petai dan jering.

Rumah
mereka
yang ada
bekalan letrik,
dapatlah beli televisyen hitam putih. Seronoknya ketika itu  apabila mereka dapat menuntun filem-filem Melayu terutam lakonan P Ramlee, Nordin Ahmad, Jins Shamsuddin, Sarif Dol, Siput Serawak, Saadiah, Sarimah dan lain-lain. Lupa seketika kesusahan, penderitaan dan keperitah hidup selepas Merdeka. Ada gak hiburan dari luar, seperti wayang pacak atau musim-musim tertentu di bandar terdekat diadakan 'fun fair' dan tentulah menjadi keseronokan luar biasa pulak kepada anak-anak muda ketika itu.

Waktu tu! Barang keperluan rumah tangga tidaklah semewah hari ini. Generasi dolu hanya pakai dapur minyak ketika memasak. Kekadang tak mampu beli ubat gigi jenama Colgate apatah lagi kalau nak beli Listerine. Bila nak bercukur jambang atau misai tak guna foamy hanya sekadar guna buih sabun dan air panas. Body spray atau deodorat kalau guna jenama Brut waktu dolu, kira udah mewahlah Bro!
                   
II- Sekarang!
Ramai udah generasi sebelum Merdeka berpindah ke pusara. Tinggal generasi selepas 15 tahun Merdeka melihat anak-anak mereka membesar dalam kesenangan dan kemewahan. Anak-anak muda mereka hari ini hidup dikelilingi dengan kemudahan  seperti kereta, motosikal, peti sejuk, televisyen LCD, penghawa dingin, maikrowave, oven, laptop dan telefon bimbit.

Hadiah!
Ibu bapa yang daholunya mengharungi kehidupan ala kadar, kini memastikan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Anak-anak yang lulus cemerlang dalam peperiksaan sekolah akan dijanjikan dengan hadiah dan wang ringgit. Begitu juga kalau ada anak yang sedikit degil - kene jentik telinga oleh guru kat sekolah, maka ibu papanya cepat-cepat buat report kat polis.

Hidup Mewah!
Apabila setengah permintaan anak-anak tidak dapat dipenuhi oleh ibu bapa, maka terjadilah kes-kes seperti 'Anak Ku Sazali' dimana berlakunya amukan anak terhadap ibu bapa, hanya kerana tidak membelikan telepon bimbit. Anak-anak jadi manja dan mengada-ngada, silap sikit akan memberontak atau lari dari rumah. Lebih teruk lagi, bila lari dari rumah dan tinggal dengan kenkawan dan mula berjinak-jinak dengan rokok atau dadah.

Cara Hidup!
Hari ini kehidupan golongan yang dahulunya miskin udah bertukar menjadi kumpulan yang dikatakan berpendapatan sederhana. Yang sederhana menjadi senang dan yang udah senang menjadikan pula mereka kaya-raya. Kita tidak terkejut kalau majlis perkahwinan anak-anak mereka dibuat kat hotel mewah siap pakai 'wedding planner' lagi.

Kos
sara hidup akan terus meningkat terutama pada golongan bergaya yang tinggal dibandar-bandar besar. Mereka ini sanggup dan sudah bersedia untuk merasai dan melalui kehidupan mereka tanpa risau sama ada harga barang naik atau turun. Berbeza pula pada mereka-mereka yang tidak mampu turut serta dalam kehidupan yang dianggap mewah dan bergaya.

Negara Maju!
Golongan yang tidak cukup bijak tentu tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak dalam hidup mereka. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa  kos sara hidup meningkat dan akan terus meningkat apabila nanti, Malaysia berada sama taraf dengan negara maju seperti Singapura, Hong Kong, Jepun dan Korea.

Biar Papa Asalkan Bergaya!
Jika tidak mampu janganlah berbelanja yang tidak perlu. Kurangkanlah nafsu hendak makan di KFC atau minum di Starbuck. Tidak perlu deodorat jenama Dolce Gabbana atau menyarung baju berjenama Calvin Klein. Ukurlah baju dibadan sendiri! - Wallahuaklam!








No comments:

Post a Comment