Hari ini Sabtu, 13 Jun 2015 adalah bersamaan dengan 26 Sya'ban 1436H. Sedar tak sedar hanya tinggal empat hari sahaja lagi kita akan bertemu awal Ramadhan pada Khamis, 18 Jun 2015. Ramadhan yang dinanti oleh umat Islam itu juga di tunggu-tunggu oleh peniaga pusat beli-belah, pasar raya, hotel, restoran serta peniaga pasar Ramadhan.
Jika di hotel, peniaga-peniaga akan mengambil kesempatan dengan iklan serta promosi tentang menu buffet dan meletakan sekali istilah 'halal' bagi menjemput orang ramai berbuka puasa. Begitu juga di gedung membeli belah, masing-masing memasang sepanduk, menghias lobi dengan pondok beratap rumbia, pelita, kuali dan buluh lemang.
Peniaga pasar Ramadhan pula udah siap sedia dengan menu, bahan mentah, tenaga kerja serta strategi jualan-kira macam hendak menghadapi perang gamaknya. Peniaga pasar Ramadhan ini bukan sahaja mahu berperang untuk merebut pelanggan tetapi sebelum ini pun ada diberitakan dalam media sosial pasal beberapa orang peniaga bergaduh kerana merebut tapak perniagaan. Begitulah sedikit senario ketika umat Islam di Malaysia menanti bulan Ramadhan!
I - Apartmen!
Usai solat zohur aku sedang berkira-kira mahu memenuhi masa petang aku dengan mengemas kini laman blog atau membaca [bahagian 1] buku 'Terima Kasih Si Babi Hutan' dari buah tangan Ismail Ariffin @Lepat atau lagi, bermalas-malas sambil layan Panggung Sabtu 'Doli Saja Ke Rakhna' di Tv3.
Tanpa jawapan, aku melangkah ke dapur. Perut lapar dan otak sedang memikir apa barang yang hendak dijadikan santapan tengahari. Sama, tiada jawapan. Tangan kanan aku membuka peti sejuk dan mengambil satu peket sausage black paper jenama Ramly. Yes! Makan tengahari yang ringkas dengan 2 ketoi sausage, dua keping ruti Wholemeal Gardenia, sedikit hirisan timun, tomato, bawang dan daun salad. Sedikit calitan planta dan mayonnaise kat ruti. Emmm! Sedap Bai!
Alhamdulillah, perut kenyang. Kini, tanpa di suruh aku udah berada di hadapan screen komputer bersama secawan full crem milk keluaran Dutch Lady. Niat hati nak bersantai didepan kaca tv atau menyelak buku Ismail Ariffin kira tak jadilah. Kali ne aku nak post entri Ramadhan Yang Di Nanti!
Sesuai dengan kedatangan Ramadhan, ada baiknya kita sama-sama buat ulangkaji berhubung dengan muskil dan serabut pasal puasa. Ne-ha! Kat sebelah kanan aku udah tersedia buku rujukan antaranya 'Kelebihan Amalan' dari tulisan Haji Johari Haji Alias, risalah 'Kemuskilan-Kemuskilan Ibadah Puasa dan Zakat Fitrah' serta risalah 'Pedoman Puasa' dari Ustaz Yazid Ja'afar.
Yalah! Manalah tau kekadang kita mudah lupa, tupasal aku ajak korang buat ulangkaji. Sebelum kita sama-sama buat ulangkaji ada baiknya aku pinjam tulisan 'muqaddimah' dari buku Kelebihan Amalan iaitu:
Allah SWT telah memberikan keistimewaan dan kelebihan ganjaran pahala bagi umat Islam yang mengerjakan amal ibadat dalam bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Rejab adalah bulan Allah SWT, Sya'ban adalah bulanku [Rasulullah] dan Ramadhan adalah bulan umatku".
Para ulama menafsirkan hadis Rasulullah SAW itu sebagai berikut: Dalam bulan rejab umat Islam seharusnya berusaha bercucuk tanam, dalam bulan Sya'ban pula hendaklah bekerja memberikan baja dan menyiram air pada tanaman itu, manakala dalam bulan Ramadhan pula umat Islam menuai hasil tanaman mereka. Tegasnya, banyakan ibadat dalam bulan Rejab, ditambah banyak lagi dalam bulan Sya'ban dan lebih banyak lagi dalam bulan Ramadhan. Inilah projek pembinaan untuk pemilikan syurga di akhirat kelak". - Haji Johari Haji Alias
II- Insaf!
Air susu Dutch Lady udah habis aku teguk. Tekak macam ada tak kena. Ohhh! Tekak aku ne patut dibasuh dengan manisan. Macam orang putih cakap, dessert gitu! Aku bangun dan membuka pintu peti sejuk. Di bahagian sejuk beku masih berbaki dua batang ais-crim potong durian jenama Sinwah. Aku berhenti ngadap screen komputer. Macam yang pernah aku sebut 'Nikmati hidup ini seperti kita menikmati ais-crim. Ya! Nikmatilah sebelum ais-crim cair'.
Tadi aku ada cakap pasal bulan Ramadhan. Udah kita ketahui bahawa bulan Ramadhan mempunyai kelebihan yang tidak didapati pada bulan-bulan lain. Tupasal, bulan Ramadhan di panggil bulan yang suci, bulan mubarak, bulan rahmat, bulan keampunan, bulan ibadat dan lain-lain lagi. Istimewa sangat bulan Ramadhan ne Bai! Selain melakukan ibadat puasa, terdapat juga solat tarawih, lailatur qadar, syaitan dirantai, di buka semua pintu-pintu syurga dan di tutup pintu-pintu neraka.
Dalam bulan Ramadhan yang kita nantikan ini juga nanti apabila korang berpuasa, kenalah menjaga dan memelihara pancaindra, yang zahir mahupun yang bathin. Pelihara mulut daripada berdusta, mengumpat iaitu menyebut keaiban orang lain. Di larang sama sekali mengadu domba, mengancam, bersumpah bohong atau mata melihat perempuan dengan keinginan melampau.
Ya! Sepatutnya kita berpuasa boleh menghalang keinginan nafsu, boleh merihatkan jentera perut, membiasakan diri menunaikan amanah, boleh baik dari penyakit, mendatangkan sifat-sifat terpuji dan boleh juga mendatangkan perasaan insaf, belas kasihan kepada orang miskin. Sepatutnya macam tulah!
Insaf. Bukan senang nak insaf Bai! Lihatlah suasana ketika diaorang membeli makanan di Pasar Ramadhan. Dari utara sampai ke selatan, habis dijelajahnya. Rasanya setiap gerai ada saja juadah yang hendak dibeli. Nampak itu nak, nampak ini pun nak! Penuh jari jemari dengan pelastik makanan. Akhirnya nanti ketika waktu berbuka hanya sedikit sahaja di jamahnya. Yang lain masuk tong sampah!
Cuba sesekali kita fikirkan tentang orang lain. Tentang ibu bapa atau adek beradik yang dalam kesusahan. Cuba jenguk jiran-jiran terdekat, adakah mereka mempunyai makanan untuk berbuka puasa? Bagaimana anak-anak yatim dan orang-orang tua di pusat jagaan. Begitu juga dengan rakyaat Palestine dan etnik Rohingya. Bagaimana agaknya mereka hendak meneruskan kehidupan pada bulan Ramadhan.
III- Etnik Rohingya!
Waktu melintas ke angka empat petang. Sementara menunggu waktu solat Asar, aku mencuri sedikit masa untuk menyelak akhbar UtusanMalaysia. Tajuk utama ialah Ahli Politik Jual Tender. Babitkan projek kecil hingga ratusan juta ringgit. Aku tak berminat untuk meneruskan bacaan kerana aku rasa berita macam ne udah basi. Bukannya kita tak tau, udah berpuloh tahun mungkin ahli politik terlibat menjual tender kerana mahu kaya cepat. Malah, Persatuan Kontraktor Melayu pun akui wujud kegitaan tersebut Bai!
Aku menyelak helaian demi helaian. Mata tertumpu pada tajuk Sudah masanya Myanmar iktraf Rohingya oleh Azman Ibrahim. Dalam tulisan beliau memberitahu bahawa Etnik Rohingya udah menetap di wilayah Arakan sejak abad ke-14 lagi dengan hampir kesemuanya beragama Islam.
Dolu, di wilayah Arakan Islam semakin berkembang dan menjadi pintu masuk kepada pelayar-pelayar, pedagang-pedagang Arab, Parsi, India, Bangladesh dan lain-lain lagi menyebabkan kerajaan Burma [Myanmar] pada masa itu bimbang dengan situasi itu. Malah, mereka lama kelamaan menganggap Islam sebagai ancaman kepada penganut agama Buddha, ujar Mohiyuddin Mohd. Sulaiman dari Institut Pengajian ASEAN dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi Mara.
Ikut sejarah, wilayah Arakan dipaksa masuk ke dalam Burma setelah penjajah Inggeris memberi kemerdekaan kepada Burma pada 1948. Malangnya pada 1982, Undang-Undang Kewarganegaraan Burma diwartakan namun masyarakat Rohingya tidak disenaraikan dalam kerayataan negara itu. Malah, Myanmar [Burma] menetapkan syarat kepada penduduk wilayah Arakan untuk membuktikan kewujudan keturunan etnik mereka sejak 1824 - perkara yang hampir mustahil dibuktikan secara hitam putih. - oleh Azman Ibrahim
Nota Lutut : Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap Rohingya di Myanmar adalah satu jenayah yang sepatutnya dunia tidak menutup sebelah mata. Etnik Rohingya dan wilayah Arakan tidak boleh dipertikaikan oleh Myanmar. Mereka bukan pendatang asing atau pelarian yang meminta perlindungan.
Jika benar Malaysia mahu membantu Rohingya, Malaysia serta anggota ASEAN kene ambil tindakan tegas dengan menghentikan pengambilan pekerja-pekerja dari Myanmar. Menolak kemasukkan pelacung dari negara tersebut dan membatalkan keahlian dalam kesatuan ASEAN. - Wallahuaklam!
No comments:
Post a Comment