Semalam adalah Awal Muharam. Semalam jugalah bermulanya tahun baru iaitu Hijrah 1437 dimana usia aku bertambah berpandukan angka dan aku mula merasakan masa silam yang panjang dan masa depan yang tinggal sedikit. Aku juga tidak dapat meneka dengan tepat berapa banyak lagi usia yang berbaki kerana ia menjadi rahsia Allah SWT.
Mungkin kita berpendapat bahawa usia hanyalah angka dan kehidupan mestilah diteruskan. Dari usia baby, kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya kita sampai ke usia tua. Yang di katakan tua itu pula berapakah usianya. Adakah kita nanti seperti ubi, makin tua makin berisi atau seperti keladi, makin tua miangnya makin menjadi. Macam dalam filem Musang Berjangut[1] gitu!
Ya! Yang dikatakan tua, baik lelaki atau perempuan itu mungkin pada usianya 50-an atau lebih apabila suatu hari anak-anak buah kita memanggil Uncle atau anak jiran kita memanggil isteri kita sebagai Mak Cik. Kita akhirnya mulai sedar yang kita ini semakin tua apabila mata mulai kabur, gigi pulak sebatang demi sebatang gugur, kulit dolu tegang udah menjadi kendur dan uban kat kepala banyak berterabur.
Kekadang tu, belum lagi usia kita melewati 40-an, ada juga diantara kawan kita yang telah terkena pelbagai penyakit. Ini mungkin berpunca dari perut, kerana perut dikatakan sebagai merkas, pusat gerakan segala anggota manusia. Oleh sebab itu, dalam memelihara perut, hendaklah dipastikan perut tidak diisi dengan makanan atau minuman yang haram, makanan yang halal tetapi diperolehi dari sumber yang haram dan juga makanan halal tetapi diambil secara berlebihan.
Jika diawal 50-an pulak, ada diantara kawan-kawan aku masih sihat dan jarang-jarang sakit tetapi lupa untuk menjaga perut dari sakit. Dari pagi, perut di isi dengan pelbagai inti[2] seperti ruti canai, nasi lemak dan teh tarik. Tengahari pulak makan nasi berlaukan kari kepala ikan dan minum sirap bandung. Petang, minum teh tarik lagi kekadang makan ruti canai. Salepas Magrib pulak, keluar makan digerai Tom Yam, pekena pulak nasi putih, ikan tiga rasa, telur dadar, kangkung belacan. Malah, setiap perbuatan untuk memadatkan perut, disertakan pula dengan pemanis mulut[3] [bagi lelaki] iaitu merokok!
Aku memang sudah mengetahui, lama dah! Bahawa merokok itu tidak baik untuk kesihatan tetapi aku tetap mahu merokok kerana sudah sebati dengan diri aku. Ada kalanya teringin juga hendak berhenti merokok kerana harga rokok naik dan terus naik, tetapi apakan daya, candu rokok itu lebih kuat magnetnya dari harga rokok atau dari bercita-cita hendak berhenti merokok.
Nak dijadikan sebab musabab agaknya, suatu hari aku menerima sms dari anak rakan aku yang memberitahu bahawa ayahnya ditahan kat pusat tibi. Ketika aku melawat di Hospital Tibi Jalan Pahang, aku lihat rakan aku tu dikira sudah teruk kerana dijangkiti kanser paru-paru akibat menghisap rokok. Satelah lebih kurang tiga bulan bertarung nyawa, akhirnya rakan aku tu meninggal dunia gak!
Bertarung nyawa kerana kanser rokok buat aku takut dan aku berniat untuk berhenti merokok tetapi bagaimana! Alih-alih, satu hari ketika berada di Kota Kinabalu, aku berjumpa Dr gigi, minta bersihkan gigi. Lepas bersihkan gigi aku ke kedai untuk perkena teh tarik tetapi tidak jadi. Aku hanya pesan ais kosong sahaja. Fuhhh! Sebaik ais kosong terkena gigi, punyalah ngilu[4].
Oleh kerana gigi baru dibersihkan, aku tidak merokok hari itu. Jika mulut tidak disumbat dengan rokok salepas minum, berjalan-jalan atau masuk ke tandas misalnya, terasa macam ada yang tak kena. Jadinya, mulut aku sentiasa aku sumbat dengan gula-gula Hacks.
Esuknya, ketika bangun pagi - aku nekad untuk berhenti merokok. Baki rokok Gudang Garam yang biasa aku hisap aku campak ke dalam tong sampah. Ketika di tempat kerja, aku tidak merokok saperti kebiasaannya. Kawan aku tetap hulurkan sebatang rokok dan aku ambil, aku selit kat bibir tanpa membakarnya. Begitulah seterusnya.
Akhirnya kawan aku tidak lagi menghulurkan rokok dan aku pula berjaya berhenti dari ketagih menghisap rokok. Salepas itu aku kurangkan aktiviti di kedai kopi kerana aku tidak boleh terhidu bau rokok. Sekiranya aku hendak minum kopi aku hanya memilih kedai atau cafe yang ada tanda Di Larang Merokok!
Hampir 15 tahun aku sudah berhenti merokok. Rupanya angka lima belas itu bukanlah jaminan untuk aku tidak menjamah rokok lagi kerana ketika aku bekerja di Kuala Belait, Negara Brunei, aku menghisap rokok semula. Aku tidak pasti apakah sebabnya tetapi sebaik rakan setugas aku yang baru aku kenali bernama Siswantoro [budak Jakarta] menghulurkan sebatang rokok keretek, aku ambil dan aku hisap. Walaupun awalnya terbatuk-batuk ketika menghisap rokok, aku teruskan hingga sampai kepuntung[5].
Esuk, lusa, tulat dan seterusnya, budak Jakarta itu bersama rokok kereteknya menjadi teman rapat aku. Aku sudah pandai membeli. Mula-mula sekotak sehari, lama-kelamaan aku hisap rokok keretek jenama Gudang Garam sebanyak dua kotak sehari. Jika ada rakan yang menghulurkan rokok dari jenama lain, aku tak ambil sebab rokok tersebut tidak ada rasa 'kick'[6] seperti rokok keretek.
Dua tahun aku di Kuala Belait. Dua tahun juga saluran kerongkong aku, paru-paru aku sudah ditar saperti siraman minyak tar di lebuh raya gamaknya! Hujung tahun aku pulang ke Kulompo untuk bercuti. Ketika bertemu rakan-rakan mereka ketawa, mungkin lucu atau kelakar sangatlah bila diaorang tenguk aku hisap rokok semula.
Di Kulompo aku terpaksa pergi ke Kampung Bahru untuk mendapatkan rokok keretek seludup kerana rokok yang sah dijual kat kedai tidak sama rasanya. Aku pun hairan juga kenapa rasanya tidak sama. Yang diseludup itu lebih kaw[7] lebih kick dan lebih memuaskan tekak. Mungkin rokok seludup tersebut diaorang taruk lebih candu, lebih itu dan ini. Kira tak ikut piawaian[8] antarabangsa gitu!
Aku tidak menyambung kontark di Brunei. Aku meneruskan kehidupan aku di Kulompo dengan berniga secara kecil-kecilan sambil ditemanai rokok keretek. Sehinggalah satu hari ketika bangun pagi aku mendapat batuk teruk. Batuk yang keluar bersama kahak[8] berwarna hijau pekat. Mual-mula aku sangka batuk biasa sahaja. Untuk meredakan batuk aku minum Breacol tetapi batuk tidak berhenti. Akhirnya aku kalah. Aku terpaksa pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat batuk yang lebih power!
Masa yang sama, jodoh untuk berumah tangga juga makin hampir. Tentunya nanti bakal isteri aku tidak suka bau dan asap rokok. Sejak itu aku sekali lagi berhasrat untuk terus berhenti merokok. Caranya, aku mesti berhenti membeli rokok. Jika terasa ingin merokok, aku hanya perlu minta sebatang dua dari kawan-kawan tetapi rasanya ngak enak seperti keretek!
Aku masih ingat, hari ketika aku hendak bernikah itulah aku mengakhiri zaman ketagihan menghisap rokok keretek. Kini, sudah hampir 18 tahun aku tidak merokok. Mungkin paru-paru aku tidak lagi hitam seperti dolu atau setidak-tidaknya tidak ada lagi lendir hijau pekat yang barbau busuk keluar dari kerongkong aku, dengan izin Allah SWT.
Nota Lutut: Benarkan aku memetik kata-kata dari Rasulullah SAW, iaitu "Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya. Seburuk-buruk [jelek] manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk perbuatannya". - Wallahuaklam!
No comments:
Post a Comment