13 August 2016

MATINYA SEORANG BENDAHARA


Apartmen.

Malam kian larut. Biskut kering dan secawan kopi pahit peneman aku ketika ini. Sudah beberapa kali aku selak, helai demi helai sabuah buku usang. Buku itu ditulis oleh Abdul Hadi Hj Hassan, seorang guru dari Sultan Idris Training College, Tanjong Malim. Dicetak oleh Macmillan & Co. Limited di ST. Martins Street, London. Dalam buku itu terdapat pelbagai chetera Melayu dan antaranya yang aku nak kongsikan dengan pembaca ialah cerita tentang hebatnya fitnah dan rasuah sehingga membawa kepada kematian Bendahara Seri Maharaja pada 1510.

             MATINYA SEORANG BEDAHARA

1- Maka pada suatu hari - dipagi hari raya, maka Bendahara dan segala orang besar-besar masok ke-dalam, dudok di-balairong[1] menantikan Raja keluar. Maka Raja Mendeliar pun datang hendak menyembah pada Bendahara Seri Maharaja, maka ditepis oleh Bendahara akan tangan Raja Mendeliar, seraya berkata:

"Cheh! Keling
[2], tiada tahu bahasa, patutkah tuan hamba menyembah hamba dibalai ini. Datang ke rumah hamba tidak-kah boleh? Lagipun pada Yang di-Pertuan belum lagi menjunjong duli, bagaimana kita akan berjabat tangan dahulu?"

Maka Raja Mendeliar pun malu rasanya, seraya
[3] ia undor.


Maka ada saorang biaperi
[4] terlalu kaya di-dalam negeri Melaka. Ali Manu Nayan namanya, apabila orang datang bermain ka-rumahnya, maka di-berinya kain atau emas atau barang benda yang gharib-gharib[5]. Maka segala orang besar-besar pun semuanya datang ka-rumahnya.


Pada suatu hari Tun Hassan Temenggong dudok di-balainya, dihadapan orang banyak.
Maka Ali Manu Nayan pun datang, maka katanya pada Tun Hassan Temengong:


"Orang kaya! Semua orang besar-besar di-dalam Melaka ini datang ka-rumah hamba, melainkan orang kaya juga yang tiada datang; jikalau dapat, marilah apa orang kaya bermain-main ka-rumah hamba, hingga berdiri-diri sahaja dihadapan kedai hamba, sa-puloh tahil emas ku persembahkan ".

"Nuni haram zadah! Aku engkau hendak beri makan sedekah! Jika pada bapa-bapa mu yang lain boleh demikan"
Kata Tun Hassan Temenggong marah.


2-
Adapun adat segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong, apabila ia hal tiada belanja, maka ia berkata pada Tun Hassan Temenggong:


"Tuan-ku, sekarang leboh
[6] kita tidak betul, banyak kedai yang anjor-menganjor[7]; baik juga tuanku membetuli; kalau-kalau duli Yang di-Pertuan berangkat di-lihat baginda leboh tiada betul, murka kelak akan tuanku."

"Baiklah, pergi kamu semua dengan pertanda rentangi tali leboh itu"
Kata Tun Hassan Temenggong.


Maka segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong pun pergilah dengan pertanda merentang tali, maka oleh segala orang muda-muda, pada tengah rumah saudagar yang kaya-kaya itu di-rentangi-nya tali, disuroh nya robohkan; maka segala saudagar itu menyorong
[8], ada yang se-ratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga puloh, empat puloh  kepada sa-orang. Maka di-ambinya oleh segala orang muda-muda Tun Hassan Temenggong , di-perbahaginya. Maka tali itu pun di-perbuatnya -lah saperti sa-benar-nya, dan segala kedai yang anjor-menganjor itu juga di-suroh-nya buang.


3-
Shahadan
[9] ada sa-orang saudagr, Nina Sura Dewana namanya, penghulu segala saudagar di-dalam negeri Melaka. Maka Nina Sura Dewana pun berda'wa[10] dengan Raja Mendeliar; keduanya itu pun pergi berbicara kepada Bendahara Seri Maharaja, hari itu hampir petang. Maka kata Bendahara Seri Maharaja pada Raja Mendeliar dan Nina Sura Diwana:


"Kembalilah tuan hamba dahulu, kerana hari pun petang, esok hari-lah tuan hamba datang."


Maka sembah Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana pun bermohon-lah pada Bendahara Seri Maharaja lalu kembali ka-rumahnya.

 


Telah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, "Ada pun bahawa Raja Mendeliar itu orang kaya; kalau ia menyorong pada Datok Bendahara neschaya alah aku. Jikalau demikian, baik-lah aku pada malam ini pergi pada Bendahara." Telah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana di-ambilnya emas sa-baharu, dibawanya kepada Bendahara Seri Maharaja. Telah datang ka-luar pagar Bendahara, kata Nina Sura Dewana pada penunggu pintu Bendahara:

"Beri tahu Datok Bendahara, katakan Nina Sura Dewana datang mengadap Datok Bendahara."


Maka penunggu pintu pun segera memberi tahu Datok Bendahara; maka Bendahara pun keluar, Maka Nina Sura Dewana pun masok mengadap Bendahara; maka emas yang sa-puloh kali itu pun di-persembahkan-nya pada Bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada bendahara:


"Tuanku, emas ini persembah sahaya akan pembeli-beli sireh pinang tuanku."


"Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil."
kata Bendahara, maka Nina Sura Dewana pun bermohon-lah kepada Datok Bendahara Seri Maharaja, lalu kembali ka-rumahnya.


4-
Maka ada sa-orang Keling, keluarga pada Nina Sura Dewana, Kitul[11] nama-nya; akan Kitul itu berhutang kapada Raja Mendeliar sa-katil emas. Telah Nina Sura Dewana kembali ka-rumanya daripada mengadap Bendahara, maka pada waktu tengah malam, ketika sunyi orang tidor, maka Kitul pun pergi ka-rumah Raja Mendeliar; maka di-tepoknya pintu Raja Mendeliar, maka Raja Mendeliar pun terkejut, katanya:

"Siapa diluar pintu itu?"

"Beta, Kitul"


Maka di-suroh Raja Mendeliar bukai pintu, maka Kitul pun masok; maka di-lihatnya Raja Mendeliar bersuka-sukaan dengan segala anak isterinya. Maka kata Kitul:


"Hai Raja Mendeliar, baik sa-kali tuan hamba bersuka-sukaan pada malam ini; chelaka akan datang, tiada tuan hamba tahu."


Maka oleh Raja Mendeliar di-pimpinya tangan Kitul, di-bawanya pada suatu penjuru tempat yang sunyi; maka kata Raja Mendeliar:



"Hai Kitul, apa juga ada khabar tuan hamba dengar?"


"Malam tadi Nina Sura Dewana datang mengadap Datok Bendahara persembahkan emas sa-puloh kati, hendak menyuroh bunoh tuan hamba; akan sekarang Datok Bendahara sa-bichara dengan Nina Sura Dewana, tuan hamba hendak dikerjakan-nya."
Demi Raja Mendeliar mendengar kata Kitul itu, maka Raja Mendeliar mengambil surat hutang Kitul, di-charek[12]-nya. Maka kata Raja Mendeliar pada Kitul:

"Yang hutang tuan hamba sa-kati emas itu halal-lah dunia akhirat; tuan hambalah saudara hamba; kembali-lah tuan hamba."


Maka Kitul pun kembali-lah ka-rumahnya. Maka pada malam itu juga, di-ambil Raja Mendeliar emas sa-baharu dan permata yang baik-baik dan pakaian yang indah-indah, dibawa-nya pada Laksamana Khoja Hasan; kerana Laksamana Khoja Hasan pada zaman itu dengan kaum-nya terlalu karib pada Sultan Mahmud.


Sa-telah datang ka-luar pintu Laksamana, ia minta bukai pintu. Maka Raja Mendeliar pun masok mengadap Laksamana; maka segala harta yang di-bawanya itu pun semuanya di persembahkan-nya pada Laksamana. Maka kata Raja Mendeliar pada Laksamana:



"Sahaya mengadap ini, sehaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya di-katakan orang sa-bichara dengan penghulu sehaya; kerana sehaya ketahui bahawa Datok Bendahara hendak derhaka. Hendaklah orang kaya persembahkan ka-bawah duli Yang di-Pertuan, sudah ia berbuat takhta kerajaan menempa cherek emas dan kaus emas, kasadnya hendak naik raja di-dalam negeri Melaka ini."


Telah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilang-lah budi akalnya, sebab di-samun harta dunia; ya'ani kata orang yang berilmu: 'Hai emas, Tuhan bukan-nya engkau, tetapi yang kehendak hati berlakulah oleh-mu.' Maka kata Laksamana kapada Raja Mendeliar:


"Baik-lah, hamba persembahkan ka-bawah duli yang di-Pertuan,"


Maka Laksamana pun masoklah mengadap sultan Mahamud Shah; maka segala kata Raja Mendeliar itu semuanya di-persembahkan-nya ka-bawah duli Sultan Mahamud[13]. - Cut





Nota Lutut:
Cerita ini dikutip dari buku 'The Malay School Series' yang di-published oleh Dept. of Education, Federation of Malaya. Buku yg dicetak pada 1958 ini dikhaskan untuk bacaan bagi Darjah Tinggi di-Sekolah Melayu Penggal [1]. Sila abaikan gambar di-atas. Ia hanyalah sebagai hiasan sahaja.





Keterangan:

[1] Balairong: Tempat menanti raja [diantara istana dan balai penghadapan. [2] Keling: Perkataan yang kurang halus bagi orang yg berasal dari selatan negera India.  [3[ Seraya: Sambil atau serta. [4] Biaperi: Saudagar atau Pedagang. [5] Gharib-gharib: [Tidak ada dlm kamus].[6] Lebuh: Jalan raya. [7] Anjor-Menganjor: Maju ke-depan [terkeluar dari kawasan]. [8] Menyorong: Memberikan atau menghulurkan. [9] Shahadan [10] Berda'wa: Berbicara atau berbincang. [11] Kitul [12] Di-Charik: Di-koyak atau di-robek. [13]Sultan Mahmud:

No comments:

Post a Comment