10 August 2016

HUJUNG MINGGU MASUK KEBUN



Sabtu, Kul 0745 pagi.

1- Kami baru sahaja melepasi Tol Gombak dan sedang dalam perjalanan menuju Lancang. Perjalanan yang biasanya memakan masa satu jam setengah ini akan melalui Genting Sempah, persimpangan Bukit Tinggi, Berjaya Hill Resort, Hentian Sebelah Lentang dan Tol Bentong. Dari Tol Gombak tadi keadaan lebuhraya agak tenang dan sesekali dikejutkan juga dengan kehadiran kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dengan laju dicelah-celah kenderaan.

Kami akan berhenti di pekan Karak[1]. Ketika melepasi Kampung Sungai Dua, pemandangan dikiri dan kanan lebuhraya masih berkabus. Kereta membeluk ke kiri sebaik melihat papan tanda arah ke pekan Karak. Menghampiri pekan Karak terdapat banyak gerai menjual durian. Kebanyakan durian yang dijual adalah jenis durian kampung, XO dan Musang King[2]. Kami mempakir kereta dihadapan sebuah restoran Melayu yang lokasinya mengadap Masjid.

Aku dan isteri sudah biasa singgah bersarapan disini. Restoran ini barangkali sudah dua tiga kali bertukar tangan. Asalnya, restoran ini terkenal kerana menjual lempeng[3] pisang dan lempeng kelapa disamping menjual nasi lemak dan kuih-muih. Kemudian diambil alih oleh orang lain. Masih lagi ada menjual lempeng pisang dan kelapa. Ditambah pulak dengan menu baru seperti nasi dagang dan mee rebus. Nasi dagangnya memang sedap. Alih-alih, bila kami singgah bulan lepas, taukehnya orang lain pulak. Menu lama seperti lempeng pisang dan nasi dagang udah tidak dijual lagi.

Kami melangkah masuk kedalam restoran. Dibahagian dalam restoran penuh dengan pelanggan. Aku dan isteri memesan dua cawan teh O' dan dua pinggan nasi lemak. Sambil menikmati sarapan, aku lihat dikaki lima restoran beberapa pelanggan China mengopi sambil menghisap rokok. Diatas sebuah meja pelastik, disebelah restoran ini,  kelihatanya ada longgokan durian. Teringin pulak hendak merasa durian Karak!

Pekan Karah ini memanglah kecil, barangkali keluasanya sama dengan pekan Kuala Lipis. Punbegitu, untuk bersarapan atau hendak makan tengahari tidaklah susah sangat. Di Karak ini terdapat dua buah restoran mamak [India Muslim]. Jika melintas kearah sebelah masjid pula, terdapat gerai-gerai menjual kuih-muih dan disebelahnya pula kelihatan medan selera yang salah satu gerainya menjual ruti canai. Jika rajin berjalan kehadapan sedikit iaitu arah ke Maybank, disebelah kiri-terdapat sebuah gerai Melayu menjual ruti canai. Kehadapan lagi, melepasi Balai Bomba, kita boleh menikmati nasi lemak berlauk. Janji poket penuh Bai!

Usai sarapan, kami tinggalkan pekan Karak, menyusur[4] jalan lama menuju Lancang. Kul 0935 pagi kami sampai di pekan Lancang setelah melepasi beberapa kampung antaranya Kampung Simpang Lengkong, Kampung Sempadan, Kampung Kuala Kaung, Kampung Jeragan, Kampung Dala dan Kampung Punjung. Singgah sebentar dikedai hardware membeli dawai dan getah paip. Cadangnya nanti bila tiba dikebun, isteri aku siMawar  akan tolong menyiapkan pagar dari botol minuman dan aku pulak hendak memebersihkan ruang antara bilik tido dan ruang dapur.

Kul 1105 minit kami tiba di tanah kebun. Kerja yang biasa dilakukan sebaik memasukki pondok ialah membersihkan taik cicak, berwarna hitam putih, yang bertaburan dimerata tempat. Tengahari itu kami hanya berehat didalam pondok sambil membaca akhbar. Matahari ketika itu betul-betul menegak diatas kepala. Bahang panasnya mengapong diudara dan sesekali angin mererjah masuk melalui pintu yang terbuka, terasa lega.

Waktu petang, langit yang tergantung itu dipenuhi awan-kemawan. Awan-awan itu sesekali melindungi terik sinar matahari. Kami keluar dari pondok. Anjing-anjing menyalak. Burung-burung berterbangan. Dua orang pekerja sedang mengetam lalang, senduduk, memali dan paku-pakis berhampiran parit. Adek Ali berada disekitar kabin melayan bonsai[5]. Aku dan Mawar memetik cili padi. Benih cili yang ditanam oleh siSaiful tiga bulan lepas memang menjadi. Lepastu kami petik pula beberapa biji mangga dan mencabut dua pokok ubi kayu. Ketika aku mencabut ubi kayu itu, aku lihat banyak kesan babi hutan  menyondol pokok ubi. Ada juga sebatang dua yang sudah tumbang.

Burung-burung pulang kesarang. Senja membawa waktu ke malam. Dalam hening malam, selesai solat dan makan malam yang ringan, lalu isteri aku beradu. Aku pula melayan mata yang masih buntang[6]. Dikaca tv9 bersiaran langsung perlawanan bolasepak antara Kedah bertemu Selangor yang berkesudahan Kedah menewaskan Selangor 1-0. Sebelum ini, aku memang berminat menyaksikan perlawanan  tiga pasukan kegemaran aku iaitu Johor[JDT], Selangor dan Kedah. Tidaklah aku menjangka, apabila Felda United hebat pada tahun ini dan telah melayakan diri ke-suku akhir Piala Malaysia. -Z-Z-zzz!


2-
Ahad. Matahari muncul dibalik bukit. Berkali-kali pagi seperti ini datang dan datangnya membawa sekali sinar pagi. Pagi itu aku mengajak isteri aku berjalan merentas sempadan, melalui rimbunan lalang dan semak samun. Meniti sebatang titi kayu. Pepohun menghijau. Disitu ada ranting, tersangkut dua sarang burung tempua. Aku tidak pernah tahu kemana menghilangnya burung-burung itu.

Berjalan kaki sepakat mendaki. Kali ini kami sudah sampai tempat yang dituju. Kami memetik berpuloh-puloh biji limau kasturi. Mencari beberapa biji buah ciku dan mematahkan sedikit pucuk kari. Sebelum bergerak kepondok, sempat lagi mengambil sebiji nangka muda untuk dibawa balik ke Kolompo nanti.

Tengahari, melintas angka duabelas. Kami bertiga - Aku, isteri dan adek Ali berpergian ke pekan Lancang. Di kiri kedai makan - di kanan kedai runcit. Perut bergetar lapar. Kami makan kemudian membeli sedikit barang di minimarket. Kami singgah semula dikedai makan, minum kopi sambil mengenang masa silam. Masa silam yang telah lumat ditelan waktu. Waktu yang telah berlalu. Sangat pantas!

Petang redup. Langit tidak selalu membiru. Aku lihat siFadli sedang mengetam lalang dihujung kebun dan adek Ali pula mengendong mesin rumput berwarna oren dan bergerak ke-belakang pondok kayu dua tingkat. Bring! Bringgg! Bunyi mesin rumput dihidupan.  Perlahan bunyinya. Kemudian kuat dan bertambah kuat. Isteri aku berlindung disebalik pintu, sedang memanaskan paku. Panas paku itu dicucuk pada buntut dan penutup botol minuman. Sebaik dicucuk buntut pelastik itu, lalu berlubang. Dari lubung itu pula dimasukkan dawai dan botol-botol pelastik itu diikat, dibuat pagar.

Malam. Seperti malam semalam, selesai solat dan makan malam yang ringkas, isteri aku masuk beradu. Seperti malam semalam juga, kamar tempat beradu dikepong bahang panas. Kipas ligat berpusing tetapi tidak memeberi sebarang kesan. Aku, keluar dari pondok. Berlengeng[7]. Aku duduk dikerusi sambil melihat dilangit jauh, bulan dan bintang-bintang setia keluar diwaktu malam dan pulang seusai Subuh menyapa.

Dikamar beradu, isteri aku mungkin mimpinya sudah separuh siap. Aku pula masih lagi membilang bintang dilangit. Alangkah nyamannya bila angin bertiup. Damai. Tidak seperti dikota besar yang kacau bilau. Manusia disana sentiasa dalam resah gelisah, terpinga-pinga, seakan-akan seperti hilang arah. Manusia disana bagai kelkatu, indah bila disilau cahaya. Cahaya itu panas membara, bila terkena, kelkatu akan rebah dan terus kaku disitu. - Cut!


 











Keterangan :


[1] Karak: Sebuah bandar kecil yg dikenali sebagai bandar persingahan [rest town]. Beberapa actors dan actress Malaysia pernah tinggal disini antaranya Mohd Farid Kamarudin, Daniel Razlan, Nona Bakar, Sariah Jeli dan Kalsom Kadir. [2]Musang King: Buah durian ini juga dikenali sebagai Mao Shan Wang dan Raja Kunyit. Buahnya berbentuk bujur seperti bola ragbi. Durinya berbentuk pyramid dan di bhg bawahnya punya lima garisan ala' Starfish. Isinya kuning diraja, baunya tidak kuat. Rasanya enak, berkerim dan sedikit pahit. Isinya mudah ditanggalkan. [3]Lempeng Pisang: Kuih Melayu yang berbentuk bulat dan nipis. Dibuat dari tepung, pisang, sedikit garam dan minyak. [4]Menyusuri : Lalu di sepanjang jalan. [5]Bongsoi: Tumbuhan kecil. [6] Buntang: Mata terbeliak atau terbuka luas.  [7]Berlengeng: Tidak berbaju.

No comments:

Post a Comment