23 November 2013

WAJAH MELAYU!



I - Wajah Melayu!

"Melayu itu pemalu dan sering keliru, antara tanah, lorong, jalan dan Bahasa Melayu. Melayu itu ada baju Melayu tanpa sepatu Melayu. Wajah Melayu itu kian celaru sepi memilu, antara sambal belacan, cencalok dan budu, ada terselit budaya Mc Donalds dan Starbucks. Cermin Melayu itu mula diseliputi debu, retak seribu dan jatuh satu demi satu. Melayu itu nantinya menangis terbuku dalam kalbu. Terhiris hati, bila sepatu Melayu tidak di jual di Jalan Melayu kerana Melayu itu malu"

II - Kuala Berlumpur! Kisahnya dolu, pada sekitar tahun 1857 ada sekumpulan pelombong timah tempatan dari Kelang bernama Raja Abdullah, telah berakit ke hulu sungai dan mendarat di sebuah perkampongan. Di kawasan yang berlumpur itu adalah pertemuan dua sungai iaitu Sungai Kelang dan Sungai Gombak.

III - Masa Berlalu!
Kuala yang berlumpur itu makin hari makin maju. Orang-orang Melayu di situ kerjanya berhuma di ladang dan ada yang melombong bijik timah. Orang-orang di situ menyebut kuala itu sebagai Kuala Lumpur. Menjadi ibu negeri Selangor dan pada 1895 menjadi ibu negeri kepada negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1948 pula, Kuala Lumpur dijadikan ibu negeri Persekutuan Tanah Melayu.

Merdeka! Setelah Malaya merdeka pada 31 Ogas 1957, Kuala Lumpur tetap dijadikan ibu negeri. Ketika itu antara tahun 1953 hingga 1958 penduduk di ibu kota Kuala Lumpur ialah seramai 330,000 orang. Akhirnya pada 1hb. Febuari 1972, Kuala Lumpur menerima taraf sebuah bandaraya yang sedang membangun.



IV - Malay Street! Ada sebatang lorong, pendek sahaja lorongnya, nama lorong itu di kenali sebagai Malay Street. Bermula dari Mountbatten Road berhampiran Masjid Jamek diseberang kiri jalan, memasuki Malay Street kelihatan  di sebelah kanan Sungai Gombak, di sebelah kiri pula deretan rumah kedai kaum India dan Malay Street itu berakhir di Batu Road. Adalah sedikit wajah Melayu disitu,  berniaga kain batik, ubat-ubatan dan tukang gunting rambut. Wajah Melayu itu hanya mampu menumpang berniaga di kaki lima, beratapkan langit dan berdindingkan pelastik.

Jalan Melayu! Malay Street itu di tukar kepada Jalan Melayu. Jalan Melayu itu tetap seperti dolu, pendek sahaja. Datuk Bandar ketika itu berusaha menjadikan Jalan Melayu sebagai impian orang Melayu untuk maju, maka terbinalah Wisma Yakin yang tidak dapat menyakinkan orang Melayu. Hanya sedikit sahaja orang Melayu yang yakin berniaga di situ. Wajah Melayu itu berniaga baju Melayu, songkok Melayu dan sepatu Melayu.

V - Datuk Bandar! Biasanya silih berganti. Ada badannya kurus tinggi ada yang gemuk pendek. Setiap kali duduk di kerusi pasti ada aspirasi, korek sini tutup sana, tolak sana tarik sini dan roboh sana, diri sini. Sehinggalah satu hari, iaitu pada 1hb Febuari 1974, Kuala Lumpur dijadikan sebuah wilayah terasing yang di gelar Wilayah Persekutuan.

Projek! Rangka kerja Dewan Bandaraya mengawasi setiap perkembangan serta tahap perlaksanaan projek. Setiap projek pembangunan perlu di-ilhamkan, kemudian di rancang olih perancang bandar, diselia hingga tamatnya projek tersebut. Maka, satu kertas cadangan tiba di atas meja, iaitu persekitaran Jalan Melayu dan Jalan Masjid India perlu bertukar wajah. Wajah yang dicadangkan ialah Wajah Melayu.

Wajah Melayu! Projek itu akan dilaksanakan atas alasan membantu orang Melayu membuka perniagaan dan mahu menjadikan Jalan Melayu terkenal seperti di Petaling Street. Gopoh gapahnya semua pegawai yang terbabit, kerana projek itu mesti segera dilaksanakan, lagipong Menteri Wilayah dan Datuk Bandar sudah bagi lampu hijau.

Pegawai-Pegawai! Berlari kesana kesini, terpaksa kerja lebih masa, badan yang gemuk jadi kurus, yang sihat mula sakit. Ada juga yang mencari tukang merebut peluang. Masa itu ramai wajah Melayu yang berbaju Melayu dan bercakap Melayu datang memohun ruang tempat berniaga. Wah! Ramainya orang Melayu yang mampu dan mahu berniga di Jalan Melayu.


Masyuk! Kerja-kerja pembinaan sedang giat  dijalankan dari pintu masuk ke Jalan Melayu sampailah menutup pintu masuk Wisma Yakin dan pintu masuk ke Masjid India. Seronoknya bukan kepalang kerana banyak ruang niaga boleh disewakan. Bantahan muncul dari peniaga Melayu di Wisma Yakin kemudian dari pemegang amanah Masjid India. Bantahan di terima dan sepuloh peratus ruang niaga yang siap dibena terpaksa di buka semula.

Hari Ini! Aku sengaja datang ke sini, melihat wajah Melayu berniaga di Jalan Melayu. Aku lihat tidak teratur dan ada ruang yang kotor. Lorong sempit, buat hati aku sakit. Wajah-wajah yang berniaga disitu tidak lagi sama seperti wajah-wajah mereka yang memohun dolu. Wajah mereka itu kelihatannya seperti wajah-wajah si Kitol dan wajah-wajah Ali Baba. - Wallahuaklam!


Nota Kaki : Aku menaip tanpa berfikir dulu apa yang perlu aku taip. Kekadang mugkin salah tafsir dan salah fakta. Yang paling aku gusar ialah munculnya dikepala, ayat yang tidak disangka-sangka yang akan menjadikan pembaca buruk sangka. Maaf di pinta, sekiranya anda memang salah sangka!





2 comments:

  1. Memang bang, zalim bang..ki rugi teruk pasal bazar moden ni

    ReplyDelete
  2. Memang bang, zalim bang..ki rugi teruk pasal bazar moden ni

    ReplyDelete