04 May 2014

Di Pesta Buku Antarabangsa KL


I- Selesai sudah 'Pesta Buku Antarabngsa KL' (PBAKL) yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Majlis Industri Buku Malaysia yang mewakili gabungan pemain industri buku di Malaysia. Seperti yang dilapurkan dalam 'bacabaca' iaitu penganjuran kali ini telah mencatatkan sejarah baru dengan jumlah penyertaan paling banyak dengan 241 pempamer dan 918 gerai.

Pesta Buku
atau PBAKL 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berakhir hari ini telah
mendapat sambutan apabila menerima lebih 2.4 juta pengunjung sejak diadakan pada 24 April 2014 lalu. Peningkatan kunjungan setiap tahun telah menunjukkan orang Malaysia semakin berminat membaca buku.

Statistik
pesta buku yang bermula pada tahun 1982 itu telah menunjukan kehadiran pengunjung seramai 50,000 orang. Tahun 1985 bertambah kepada 250,000 pengunjung. Tahun berikutnya pengunjung berkurangan dan grafnya turun naik hinggalah pada tahun 1992 jumlah pengunjung meningkat kepada 545,000 orang.

Angka itu pun tidak kekal lama apabila pada tahun 2008, pengunjung bertambah ramai datang ke pesta buku dengan kehadiran seramai 2.2 juta orang dan statistik selepas itu melihat angka yang turun-naik dengan jumlah pengunjung hanya seramai 1.6 juta orang pada tahun lepas. - Ada apa pada angka-angka tersebut!

II-
Kalender
mini aku yang terletak disisi meja tulis, telah aku tandakan petak nombor 24 dengan point liner warna hijau agar aku tidak lupa pada tarikh tersebut adalah hari pertama 'Pesta Buku Antarabangsa KL'.

Pagi Khamis (24 April) aku bersama Azahan singgah dahulu di pameran solo pelukis Maamor Jantan yang diadakan di University of Malaya Art Gallery. Selesai jenguk pameran lukisan barulah kami singgah di PWTC. Ketika kami sampai pada jam 1200 tengahari lebihkurang, sudah ramai pengunjung datang, terutama budak-budak sekolah yang datang dengan rombongan bas sekolah. - Rombongan Cik Kiah dah sampai!

Aku
dan Azahan bergerak dari satu gerai ke satu gerai hinggalah sampai di Dewan Tun Razak, Aras 3 dan singgah di gerai ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia). Di gerai ini kelihatannya ada sesi bersama penulis tentang 'Kaitan Sastera Dengan Masyarakat. Bagaimana Menghubungkan Malaysia dan Indonesia. Mereka yang berada di Sofa Putih ialah Naning Pranoto, Dr Salleh Rahmad, Dr Free Hernty dan Rahimdin Zahari.

Si Azahan
memang udah merancang  untuk membeli buku Balada Pyanhabib, Kontal Kantil dari Ismas Saring dan Di Dalam Dalam oleh Sani Sudin. Aku pulak membeli beberapa buah buku antaranya Pandirnya Si Pandir, Bijak Si Katak Bijak, Anak Mat Lela Gila, Cikgu Shahnon DiMata Kami, Negeri Kunang-Kunang dan Antologi Cerpen Indonesia-Malaysia. - Aha! Aku udah terjebak pulak dalam puisi!



Ketika
membayar harga buku dikauter ITBM, buku kami diberi diskaun, borang 'Peraduan Pakej Percutian ke Paris' dan akhbar Berita Harian percuma. ITBM juga menyediakan ruang wawancara Sofa Putih, sesi bersama penulis, peraduan ulas buku di facebook/blog dengan hadiah gajet terkini, Kemeja-T No 10 (30% untuk buku Mokhtar Dahari) dan diskaun 40% dari jam 1000 pagi hingga 1100 pagi. - Yang ne hanyalah sedikit gaya pemasaran di gerai ITBM!
                                

III-
Hari terakhir pesta buku, jam 0930 pagi kami udah memasuki PWTC. Kami mahu ambil peluang diskaun 50% kepada pengunjung yang pertama membeli dan membayar dikauter juruwang ITBM. Jika tawaran pertama itu gagal, kami ada lagi peluang kedua iaitu tawaran 40% dari jam 1000 pagi hingga 1200 tengahari.

Bila jarum jam ke angka 1000 pagi, barulah pengunjung dibenarkan masuk. Akulah orang pertama masuk ke gerai ITBM tetapi bukan orang pertama yang berada dikauter juruwang ITBM pasal sedikit rambang mata ketika aku hendak memilih buku. Akhirnya aku mintak bantuan pada crew
ITBM untuk memilih buku-buku kegemaran aku.

Buku
pilihan aku pada hari terakhir di gerai ITBM ialah Pak Samad Di Mata Kami, Budak Beca, Bidadari Burung, Di Negeri Kalbu, dan Budak Tin. Lepas tu singgah di gerai DBP, beli novel perang Serang Hendap Ulu Legong, beberapa buah buku lama yang harganya antara RM1.00 hingga RM4.00 sebuah, seperti buku tulisan Usman Awang
'yang bernama cinta', pemikir Syed Hussein AlAtas, Sejuk-sejuk Tokyo dan sebuah buku siri pendidikan 'Imam Al-Ghazali Pendidikan Berkesan'. Murah giler Beb!


IV- Di Aras 3!
Macam ada magnet pulak kat Dewan Tun Razak ne. Orang ramai berpusu-pusu, bergesel bahu mahu memebeli buku di gerai-gerai antaranya gerai Dewan Bahasa & Pustaka, gerai Utusan Publiction, ITBM, Creative Enterprise, Fajar Ulung, Islamic Book Republic, Kiddibird, Orbit Buku, Oxford Fajar, Pekan Ilmu, Penerbitan Fargoes, Pustaka Tok Kenali, Telaga Biru dan penerbit-penerbit dari Universiti tempatan.

Pesta
buku kali ini telah melibatkan sebanyak 241 syarikat penerbitan tempatan dan luar negara termasuk Brunei, Singapura, Iran, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ditambah pulak dengan pelbagai kelainan seperti mengadakan ruang hentian rehat dan baca (R&B), dunia novel, komik dan pelbagai lagi. - Nampaknya negara Indonesia, Bangladesh, India dan China tidak berminat menyertai pesta ne!

Aku
juga tertarik dengan fenomena penerbitan buku-buku indie (independent) yang pernah ditonjolkan oleh penulis-penulis indie antaranya Shaz Johar dan Syafiq Aizat serta penulis buku fixi iaitu Naufal Tarmizi dan Nami Cob Nobbler. - Sebenarnya aku sendiri belum khatam pasal istilah indie dan fixi ne. Nantilah aku selak kamus Dwibahasa DBP!

V- Meminjam prakata minda Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron iaitu "Malaysia kini sedang dalam fasa akhir memperlengkapkan cita-cita meletakkan diri sebagai negara maju pada 2020. Biarpun tempoh yang berbaki sudah tidak panjang, namun belum terlewat untuk kita mulakan usaha mengangkat sastera sebagai pembina jati diri, sekali gus membentuk generasi baharu yang boleh memahami makna serta isyarat sebenar dalam sebuah karya, khusus untuk pembentukan negara bangsa Malaysia akan datang".


Ujar Mohd Khir lagi,
"Dalam menggerakkan misi tersebut, ITBM mengambil inisiatif untuk 'menjenamakan' semula sastera menerusi pelbagai aktiviti yang diharap dapat memeberi imej baharu kepada sastera Malaysia, sekali gus membolehkan sastera dilihat sebagai relevan dengan gaya hidup semasa, khususnya kepada generasi selepas merdeka yang cenderung melabelkan sastera sebagai tidak lebih daripada wadah untuk memperjuangkan kemerdekaan".

Sambung sikit lagi, "Justeru, sastera di Malaysia perlu diberi imej lebih segar, dan inilah cabaran yang sedang ditangani ITBM dengan sokongan kerajaan serta kerjasama persatuan
dan rakan industri. Kami berusaha mencari peluang untuk menyediakan ruang bagi membolehkan sastera tempatan berkembang menjadi sebahagian cara hidup. Satu antaranya menerusi Sayembra Penulisan Puisi, Cerpen dan Novel anjuran bersama ITBM dan Persatuan Penulis Nasinol Malaysia (PENA) pada 2013, yang mencatat sejarah apabila menawarkan hadiah paling lumayan dalam rekod penganjuran sayembara negara".

"Hasilnya, sayembara tersebut berjaya menarik lebih 600 penyertaan penulis muda dari seluruh negara, juga angka paling tinggi pernah dicatat untuk aktiviti seumpamanya di Malaysia. Tidak berhenti disitu, penerbitan 30 judul buku pemenangnya juga laris dipasaran, malah sebahagian besar koleksi judul puisi telah diulang cetak dua kali dalam tempoh hanya tiga bulan.Ini adalah fenomena kerana jarang ia berlaku  begitu sebelumnya, sekali gus menafikan persepsi pihak tertentu yang cenderung melabelkan buku puisi sebagai tiada nilai dalam pasaran".




"Kesimpulannya,
sastera adalah pemangkin pembentukan negara maju dan untuk sampai kepada status sama, kita perlu segera belajar memahami isyarat serupa. Bagaimanapun, zaman berubah dan begitu juga kita, manusia. Justeru, sastera tidak boleh diperjuang menggunakan cara sama seperti 50 tahun dahulu. Jika ditanyakan kepada saya, sastera 50-an memperjuangkan kemerdekaan dan sastera milenium mencerdikkan akal budi bangsa". - Mohd Khair Ngadiron adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM.


Nota Kaki : Dalam kita rancak memperkatakan  Sayembra Penulisan novel, cerpen dan puisi, kita sering lupa kepada mereka yang menghasilkan konsep & rekabentuk serta sketsa kulit buku. Tidak salahnya jika 'Acara Sayembra' memasukkan sekali bagi pemenang
'rekabentuk kulit buku' yang mungkin boleh kerjasama dengan Balai Seni Lukis Visual (BSLV). - Wallahuaklam!


No comments:

Post a Comment