06 July 2014

BAZAR, TARAWIH & MOREH





8 Ramadan 1435H!
Ini bermakna kita telah memasuki fasa minggu kedua berpuasa. Seminggu udah berlalu, macam-macam berita dari akhbar dan juga cerita-cerita dari Ustaz yang memberi tazkirah atau ceramah sebelum solat Jumaat atau dipertengahan solat Tarawih.

Cerita-cerita dari Ustaz itu misalnya seperti kita sering menerima e-mel atau pesanan ringkas (SMS) yang ayatnya seakan-akan nasihat gitu. Perkongsian nasihat yang dihantar itu kekadang tanpa kita sedari terselit beberapa hadis yang kita sendiri tidak pasti akan kesahihannya.

Jika di laman sosial facebook pulak, kita berkongsi ayat-ayat yang macam nampak hebat tetapi sebenarnya daif, yang tersebar dikalangan masyarakat kita. Contohnya seperti ayat yang ditulis dan dikongsi seperti ini : 
   

"Ensiklopedia terbaik adalah al-Quran. Senaman terbaik adalah sembahyang dan diet  terbaik adalah puasa". - Kata Ustaz yang mengulas pasal ayat daif tersebut iaitu jangan sesekali samakan al-Quran dengan Ensiklopedia, begitu juga tentang solat dan puasa!
                
               

                  [I]  Bazar


Seingat
akulah, ketika kecil dolu tak ada istilah Bazar Ramadan kerana tradisi orang kampung dolu-dolu iaitu jiran-jiran akan menghantar juadah pintu ke pintu. Kita akan bertukar-tukar juadah yang dimasak sendiri tanpa perlu membeli diluar. Kalau nak merasa bubur lambuk pulak, ambik sahaja kat Masjid. Tradisi dan nilai-nilai perkongsian juadah orang dolu mungkin kerana ketika itu  orang Melayu berada pada zaman kemiskinan tegar!

Hari ini!
Orang Melayu tidak miskin lagi, tupasal lokasi atau destinasi tumpuan yang dikunjungi oleh umat Islam terutama orang Melayu adalah Bazar Ramadan. Setiap daerah atau kampung pasti ada bazar dengan pelbagai juadah berbuka yang disediakan oleh peniaga-peniaga.

Orang ramai yang pergi membeli juadah berbuka di bazar Ramadan itu mungkin kerana  tradisi orang berduit iaitu kalau nak berbuka puasa mesti diatas meja makan penuh dengan pelbagai makanan. Jika makanan dan minuman yang dibeli itu tidak habis, orang berduit itu akan membuangnya ke dalam tong sampah. - Kira membazirlah tu!

Bazar Ramadan
memang meriah, seakan-akan pesta makanan pulak. Disebalik kemeriahan tersebut, ada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan menjual juadah berbuka yang tidak bersih  dan tidak selamat untuk dimakan. Kekadang tu ada makanan yang dibeli udah basi ketika hendak dipanaskan. - Yalah! Mana tak basi Beb, kalau juadah tu udah dijual seawal jam 0200 petang!


Makanan
tidak bersih dan tidak selamat yang dijual di bazar Ramadan, bukanlah aku yang reka ceritanya. Kisah 36 orang keracunan makanan selepas berbuka puasa kerana memakan roti John yang dibeli dari sebuah gerai di bazar Ramadan, Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor, telah disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia, muka 18 [Dalam Negeri] Ahad 6 Julai 2014.

Daripada
jumlah pesakit tersebut, sebanyak 24 orang dimasukkan ke wad, manakala 12 orang sebagai pesakit luar. Ikut kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, keputusan awal ke atas lima spesimen klinikal didapati positif bakteria Salmonella spp.  Kata Dr lagi, ada yang mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah. Ada gak yang kejang otot, bermuka pucat selepas makan roti John tersebut. - Fuhhh! Memang powerlah ruti John kat bazar Ramadan Taman Sri Muda, Shah Alam tu, siap boleh kejangkan otot manusia. Udah macam kene penyakit gaout pulak. Huhuhu!



                
[II]  Tarawih


Dah
puas ke hulu ke hilir di bazar Ramadan dengan menjinjing juadah penuh dikiri kanan, maka bila sampai kat rumah baru terasa penat. Selepas berbuka, perut pong udah kenyang dan nafas pong naik semput, ditambah pulak dengan keletihan ketika buat bazar walk tadi. - Apa ceter solat sunat Tarawih, agak-agak mampu tak untuk ditunaikan Beb!

Seperti yang tercatit dalam buku Kelebihan Amalan susunan Haji Johari Haji Alias iaitu solat sunat Tarawih adalah ibadat yang paling besar pahalanya selain pahala puasa Ramadan. Terdapat berbagai fadhilat dan faedah termasuk diampunai dosa-dosa dirinya serta kedua ibu bapanya. Diberi pahala seumpama pahala tawaf  para malaikat di Baitul Ma'mur, bersih dari dosa seperti baru dilahirkan, dibinakan mahligai di syurga, dinaikkan kedudukannya seribu darjat diakhirat dan berbaga-bagai lagi.       


Hukum solat Tarawih pulak ialah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar sepertinya berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah rugi bagi mereka yang berpuasa Ramadan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih!



                 
                 
[III] Moreh!

Ini
pulak cerita pasal Moreh. Ketika zaman remaja aku, di Masjid Lama Batu 6 Gombak inilah tempat aku dengan beberapa rakan sebagai pekerja sukarela sepenuh masa, untuk menyediakan moreh. Setiap malam kami berlima akan membahagikan tugas iaitu memasak air panas menggunakan  kayu getah. - Masa tu pihak Masjid mungkin belum mampu lagi guna dapur gas. Budget tak ada!
 

Kawan yang lain pulak ada yang ditugaskan membacuh air teh O dan kopi O'kaw, membentang kain putih di beranda Masjid, ada yang menyusun kuih-muih, buah kurma gred tiga dan biskut crakers ke dalam piring.  Jauh sekalilah kat Masjid ini [ketika zaman aku] ada moreh seperti nasi ayam, nasi bryani, mee kari atau sate. - Zaman miskinlah katakan!

Apabila
Imam telah mula untuk solat sunat witir, maka kami berlima pong menyusun dulang-dulang yang telah di isi dengan juadah moreh dan air panas disepanjang beranda Masjid. Selesai jemaah menikmati moreh, kami berlima pulak sibuk mengemas dan membasuh pinggan mangkuk. Jika ada baki kuih, kami akan agih-agihkan untuk dibawa pulang sebagai upah gitu. - Tetapi jika tak ada balance kuih, kurma gred tiga jadi mangsalah. Kurma pong kurmalah, janji ada buah tangan!

Tradisi
moreh selepas solat tarawih telah diteruskan hingga kehari ini. Bezanya, hari ini jamauan makan selepas solat tarawih di Masid dan surau-surau memang mewah dan banyak. Sesuai sangat kalau nak tiru cogan kata Astro, macam-macam ada! Ada jemaah yang membawa juadah kerana niat hendak bersedekah, ada pulak persatuan yang hendak menaja moreh sate atau nasi bryani. - Bayangkan, ada orang bakar sate kat tepi Surau masa moreh. Aroma sate tersebut pulak dihidu oleh kanak-kanak yang sedang bermain. Apalagi, kecoh dan haru birulah kawasan Surau tersebut macam pesta Beb!



Pembaziran!
Baik di rumah ketika berbuka puasa dan di Masjid atau Surau ketika makan malam selepas solat Tarawih, sama sahaja iaitu pasti ada makanan dan minuman yang tidak dijamah, dibuang ke dalam tong sampah. Inilah sebahagian pembaziran yang dilakukan oleh Umat Islam ketika di bulan Ramadan. Tanyalah pekerja-pekerja hotel yang menawarkan pakej buffet Ramadan. Berapa banyak makanan yang tidak habis dibuang, itu tidak termasuk sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pelanggan didalam pinggan.

Mentang-mentanglah buffet, penuh juadah kat atas meja tetapi bila udah minum segelas air dan makan sepingan nasi, perut pong kenyang Beb.
- Bukan senang hendak melawan pembaziran dan menahan nafsu makan minum,  walaupong setiap kali tiba Ramadan, azam untuk berubah dan tidak mahu membazir ditanam dalam jiwa kita. Semuga Ramadan kita kali ini lebih baik dari tahun lepas. - Wallahuaklam!


No comments:

Post a Comment