02 March 2016

POT PET POTPET DI KEDAI MAMAK




1- Pagi masih muda ketika aku sampai kat restoran, dimana siBaha dengan santai menunggu aku di salah satu meja mengadap jalan besar. Lokasi restoran ini terletak di kawasan perumahan Gombak Setia. Sebaris dengan rumah si Baha, rumah lama Fauzi Tan Sri Ahmad Razali, rumah emak mertua Kak Diah [saudara Fauzi] rumah Dato' Sharif Ahamad dan dihujung sekali ialah showromm Bak' Tailor yang kini dijadikan outlet  ready to wear gitu!

Begitulah sedikit gambaran tentang kawasan perumahan golongan pertengahan atau istilah dolu-dolu [era 60'an] digelar orang kaya[1]. Sekarang, kawasan perumahan tersebut sedikit demi sedikit mengalami perubahan. Mungkin satu hari nanti  rumah-rumah banglo yang mengadap Jalan Gombak itu bertukar seperti rumah banglo dikawasan Bangsar. Jika kawasan di sekitar rumah Baha dikomersilkan, sudah tentu nilai harta tanah tersebut  melonjak naik. Wow! Masyuklah nanti si Baha!

Sambil aku menjamah ruti canai dan menghirup sedikit demi sedikit teh tarik, kami berbual tentang majlis reunion PajaBatu Enam yang akan diadakan pada hari Ahad, 6 Mac 2016. Lepastu, berbincang pulak perihal laluan backpacker kami yang dirancang pada hari Isnin, 7 Mac 2016. Aku bagitau pada si Baha, kali ini backpacker arah ke Ulu Legong tidak disertai oleh Mahfol dan Azahan kerana mereka berdua ada urusan keluarga. No hal! Pendek sahaja jawapan si Baha.

Selepas 45 minit bersarapan Baha cadangkan lepas ne lepak kat kedai Mamak berhampiran Taman Kamariah kerana si Baha hendak  membayar bil api dan aku pulak berhajat untuk bertemu kawan lama [Bakar Kg Manggis] sambil bertanya khabar sambil tu nak cuba pujuk-rayu si Bakar agar ikut serta backpacker ke Ulu Legong. Manalah tahu kalau-kalau si Bakar berminat!


2-
Aku masuk ke kedai Mamak. Meja empat segi tersusun sebaris mengadap pintu masuk dan kelihatan kelibat siBakar sedang berbual hal politik dengan dua rakannya. Aku memberi salam sambil berjabat tangan dengan mereka. Bakar mempersilakan aku duduk bersama mereka tetapi aku menolak dengan baik dengan alasan hendak menunggu si Baha. Aku bukannya pemalu atau sombong tetapi aku sudah letih[2] dengan politik. Yalah! Walaupun hanya sekadar berbual kosong hal politik, tetapi ada masa-masanya nanti kawan hilang sabar lalu menghentak meja hanya kerana hendak mempertahankan ideologi longkangnya[3]!

Aku memilih sebuah meja empat segi di kaki lima mengadap jalan raya. Sebelah kiri kedai Mamak ini ialah deretan gerai dan disebelah kanan kedai Mamak pula terdapat kedai runcit dan kedai hardware. Kira sibuk jugalah sekitar kawasan ini. Tidak sampai 15 minit menunggu, Baha pun tiba. Rakan-rakan si Bakar juga sudah keluar dari kedai Mamak. SiBakar pula menghampiri meja kami lalu menarik sebuah kerusi plastik hitam  dan berjabat tangan dengan si Baha.

Perjumpaan meja empat segi ini lebih banyak bercerita tentang isu-isu semasa terutama tentang nilai-nilai kemanusian yang semakin terhakis, bilamana seorang ejen harta tanah wanita tergamak mencampakkan bayi yang baru dilahirkan dari tingkat 18, Flat Danau Kota, Setapak, menyebabkan bayi tersebut maut akibat kecederaan parah. Ehhh! Kojer giler ne. Si Bakar bersuara sebaik Baha menamatkan cerita pasal campak bayi.

Aku menyampuk[4]. Memang kerja giler dan ramai manusia diluar sana sakit[5]. Lihat sahajalah berita yang dipaparkan dalam akhbar. Mayat seorang wanita warga emas berusia 68 tahun, udah reput tiga bulan dalam tandas rumah sewanya di Selayang Baru. Jirannya hanya datang menjenguk selepas diminta oleh pemilik rumah ekoran mangsa sudah tiga bulan tidak membayar duit sewa rumah.

Daripada maklumat awal, wanita tersebut dipercayai mendiami rumah itu seorang diri. Tidak pula dinyatakan bangsa dan agama wanita tersebut. Jika dinyatakan sekalipun bahawa wanita tua itu bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam kenapa boleh terjadi perkara ini dalam masyarakat yang kononnya dianggap maju. Adakah jiran-jiran sudah hilang rasa ingin tahu atau sudah malu untuk menjaga tepi kain orang lain. Atau adakah jiran-jiran itu hanya hidup untuk diri sendiri dan mengamalkan slogan[6] "Lu! Lu, Guwa gua".

Katakalah, wanita tua yang reput dalam tandas itu adalah Melayu dan beragama Islam. Jiran-jiran sekelilingnya pula terdiri pelbagai keturunan termasuk Melayu. Dimana nilai kemanusian dan rasa tanggungjawab jiran Melayu tersebut terhadap wanita tua itu. Pernahkah mereka [jiran Melayu] ziarah dan bertanya khabar tentang kesihatan, tentang makan minum, tentang hal-hal berkaitan dengan sewa rumah, bil api dan air. Pernahkah soal si Baha!

Walaupun wanita tua itu bukan kaum kerabat terdekat tetapi dalam Islam, wanita itu adalah saudara kita yang paling hampir, paling dekat. Dimana pula kelibat Ketua Kampung [jika ia sebuah kampung], dimana watak Pengerusi Persatuan Penduduk [jika ia sebuah taman perumahan], dimana hilangnya JKK, AJK ketika wanita tua itu terkial-kial untuk meneruskan hidup. Dimana batang hidung Imam Masjid [jika ada masjid] atau setidak-tidaknya Imam Surau serta AJKnya. Kemana gaibnya wakil rakyat yang sepatutunya [wajib] membantu warga tua dalam kawasan dan jajahannya ketika wanita tua itu memerlukan perhatian dan pertolongan.

"Eleh! Harapkan wakil rakyat. Rakyat yang tertiarap. Nanti dikatanya bukan dalam bidang kuasanya. Ini bidang kuasa Kementerian Kebajikan atau  Pusat Zakat".

"Betul tu Bakar. Wakil rakyat mesti bagi seribu satu alasan. Habis alasan nanti dia kata kes terpencilah".      


"Ini bukan pasal kes terpencil tetapi pasal hilangnya nilai-nilai kemanusian dalam masyarakat. Ini yang dikatakan masyarakat pincang"


"Ya! Ada beberapa kes masyarakat pincang seperti kes pokok betik kene tebang disebabkan bau busuk baja najis binatang. Maka terjadi pergaduhan antara jiran. Endingnya, salah sorang jiran mati dalam pergaduhan".

"Diaorang dah hilang akal Bro. Samalah lebih kurang kisah seorang lelaki menumbuk pemandu van sekolah sehingga mati hanya disebabkan pemandu van tersebut tidak mengambil anak buahnya disekolah. Walaupun tak ada niat untuk membunuh tetapi kene dakwa dengan niat menyebabkan kematian".


"Assalamualaikum
!"
Perbualan terhenti. Kami bertiga seretak menjawab salam yang diberi oleh Rizal Agro sambil duduk disebelah Bakar. Rizal memesan minuman kemudian terus bercakap pasal kasatuan penduduk Gombak yang mahu disatukan dari hulu Batu 11 hingga ke hilir Gombak termasuk kampung-kampung berhampiran Setapak. Ujar si Rizal lagi, kasatuan yang hendak dibentuk itu mestilah bebas[7] dari fahaman politik. Maksudnya, setiap anggota yang hendak disatukan adalah anggota masyarakat yang inginkan perpaduan. Seperti  lidi contohnya. Jika dikumpul banyak-banyak kemudian di-ikat, akan menjadikan lidi itu kuat.

Kali ini kami bertiga membiarkan sahaja Rizal bercakap. Ada gak sesekali siBakar mencelah dan bertanya tentang beberapa perkara yang tidak difahaminya. Tiba-tiba Amir muncul dan memberi salam. Kata siAmir, mungkin Reunion PajaBatu Enam pada hari Ahad nanti dibatalkan sebab ada majlis perkahwinan.

"Ah! Sudah. Mana boleh batal. Lagi pun dewan tersebut sudah ditempah lebih awal. Kau Amir, biar betul".

"Itu aku tak taulah Baha. Pasal  aku ada dengar sosek-sosek minggu kebelakangan ne. Tapi apapun lu kompom dengan Lan Sanjoy dululah. Ok! Aku nak beli ais batu ne".

"Apalah si Amir ne. Berita yang belum pasti lagi dia bagitau kat kita".


Rungut Si Baha, lalu bangun bersalaman dan minta diri untuk balik ke rumah. Aku juga mahu beredar. Aku bagi alasan pada Bakar dan Rizal, aku hendak ke kedai, beli ball untuk lampu meja tulis aku.   Bukan sekadar alasan tetapi memang  aku memerlukan sebuah lampu meja untuk aku membaca ketika berada kat kebun nanti. 



3- Tengahari.
Aku sedang mengadap screen komputer dengan hajat untuk menyambung entri Pot Pet PotPet Di Kedai Mamak. Ketika jari-jemari menekan papan kekunci, terbayang semula cerita pasal mayat  wanita warga emas reput dalam tandas. Kejadian seperti ini memang sekali sekala atau kadang-kadang tetapi jika Ketua Kampong atau Pengerusi Persatuan Penduduk ada sedikit ilmu dan cargas[7] pasti tidak terjadi perkara yang memalukan ini.

Sebagi Ketua Kampung misalnya, perlu ada rekod menyimpan nama-nama ketua keluarga, alamat dan jumlah ahli keluarga, pendapatan isi rumah setiap penduduk kampung. Dari data tersebut, dibahagikan pula kepada empat ketogeri berpandukan pendapatan isi rumah seperti A-Kaya, B-Pertengahan, c-Miskin D- Kurang Upaya.

Data tersebut memudahkan tugas Ketua Kampung membantu ketogeri C dan D. Seperti kes warga emas yang reput itu adalah termasuk ketogeri D yang wajib dibantu. Bantu pun hanya guna air liur[8] bukannya keluar duit dari poket sendiri. Tok Ketua [kalau dah tua] laporlah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Zakat misalnya. Tok Ketua berpakatlah dengan AJK atau anak-anak muda kat kampung, jenguk warga emas tu bergilir-gilir atau minta bantuan pekerja sukarela untuk memasak dan membasuh pakaian warga emas tersebut. Jika tiada jalan penyelesaian, Tok Ketua boleh hantar warga emas tersebut ke Rumah Perlindungan dan jika ajalnya udah sampai tentulah dapat ketahui lebih awal. Bukannya selepas tiga bulan Bai!

Bercakap pasal Ketua Kampung ne, ada baiknya kita belajar dengan Ketua-Ketua Kampung dari Negara Brunei Darulsalam. Mereka sentiasa menerima arahan dari masa kesemasa  melalui talipon atau melalui poster-poster yang ditampal kat peti iklan. Pernah aku terbaca memo pemberitahuan yang di tampal kat pokok mengarahkan kepada semua Ketua-Ketua Kampung sekiranya ternampak ada penduduk yang cuba membuka gerai untuk berniaga dihadapan rumah, hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Begitu juga dengan kehadiran pendatang tanpa izin [PATI]. Andainya, Ketua-Ketua Kampung mendapat berita atau mengetahui ada penduduk yang memberi perlindungan, hendaklah segera melaporkan kepada pihak berkuasa. Itu pasal, jika kita pergi melancong ke Negara Brunei, tidak ada istilah PATI atau tiada langsung gerai-gerai menjual makanan dihadapan rumah. Bila kedua-dua masalah ini dapat dikawal, kuranglah beban kerja Tok Ketua. - Cut!
 






No comments:

Post a Comment