15 Ramadan 1437 Hijrah
Hari ini Senin, 20 June 2016. Ini bermakna umat Islam sudah setengah bulan berpuasa dalam bulan yang diberkati ini dan semuga segala amal kita akan mendapat rahmat dari Allah SAW.
Dalam bulan yang mulia ini, walaupun kita berpuasa tetapi kita tetap meneruskan rutin harian kita iaitu bekerja. Ada antara kita yang bekerja 12 jam sehari, ada pula 8 hingga 6 jam sehari dan ada yang bekerja di waktu siang dan ada pula yang bekerja shif diwaktu malam bergantung kepada kerjaya seseorang.
1- Pada zaman sekarang kita kena bergerak sepantas yang boleh kerana kebanyakan orang mahu berlumba-lumba untuk maju seiring dengan dunia serba canggih ini. Kita suka atau tidak, terpaksa juga membuat sesuatu supaya kita tidak ketinggalan terutama dalam dunia pekerjan. Aku atau anda diluar sana, kekadang terpaksa melakukan lebih daripda satu pekerjaan untuk memperoleh pendapatan tambahan. Ada juga yang sanggup melakukan apa jua jenis pekerjaan demi sesuap nasi atau kerana ingin hidup cara bermewah-mewah gitu!
Dolu kat Kolompo, kalau kita bersiar-siar atau sekadar window shopping sekitar penghujung tahun 60an dan awal 70an, kita akan temui ramai yang bekerja tanpa memerlukan sijil kemahiran seperti kerja tukang gunting rambut misalnya. Di Jalan Melayu, ada beberapa orang tukang gunting rambut yang hanya berbekalkan peralatan mengunting dan sebuah kerusi sahaja. Jalan Melayu yang bersambung dengan penempatan India Muslim, berhampiran Masjid India itu juga terdapat tukang urut, penjual obat dan pengilat kasut.
Jika lalu di Melaka Street, terdapat warga India yang membuat pertunjukkan ular serta Tukang Tilik Nasib menggunakan burung nuri. Ada juga sesekali ternampak orang bermain silap mata. Di Lebuh Ampang pula, terdapat beberapa buah kedai yang menyediakan perkhidmatan pinjaman wang yang digelar ceti[1]. Kalau sesekali ke-Chow Kit Road, pasti terserempak beberapa orang sedang duduk menadah tangan dan mereka-mereka ini menjadikan kerjaya pengemis sebagai pekerjaan tetap.
[Begitu juga dengan kerjaya pelacuran, call girls[2] teksi sapu, pembeli surat khabar lama, runner kad pengenalan dan surat beranak, penjual tiket wayang black market[3], tukang isi borang, penyeluk saku, kaki pukul, penari kabaret[4], penjaga parking haram atau 'ulat' bas, misalnya, mereka-mereka ini tidak memerlukan sijil kemahiran atau lesen perniagaan].
2- Bila zaman beralih ke era 80an, kita dapati ada beberapa kerjaya baru muncul misalnya, seperti tukang nangis ketika kematian dalam masyarakat Cina, tonto[5], penjual tilam [tilam lama tukar baru], gores dan menang, lori tunda, tukang siang ikan, peragut, penjual pakaian terpakai, along[6], pembunuh upahan, gro[7], runner jpj dan lain-lain lagi.
Diluar negara lain ceritanya, banyak juga kerjaya yang dilakukan ditepi jalan seperti melukis, menyanyi, menari atau bermain muzik. Malah ada juga kerjaya pelik dari dolu hingga sekarang seperti di Amerika dan negara-negara Eropah misalnya, terdapat kilang pengeluar deodoran[8] yang menawarkan pekerjaan pelik iaitu sebagai penguji produk.
Khabarnya, mereka yang bekerja sebagai penguji deodoran itu perlu mencium ketiak atau mana-mana bahagian badan yang diletakan cecair pewangi itu. Mereka akan menentukan sama ada deodoran tersebut sesuai dengan orang tertentu dan mengeluarkan bau yang menyenangkan jika disapu pada bahagian badan. Menariknya, purata gaji bagi pekerja yang melakukan kerja tersebut mendapat gaji sekitar RM153,000 hingga RM395,000 setahun.
Lain-lain pekerjaan yang dianggap pelik ialah tukang cuci telinga yang hanya terdapat di India, China dan Jepun. Kerjaya mencuci telinga orang dianggap sebagai kerja seni dan diwarisi turun temurun itu dilakukan dikawasan terbuka tepi jalan. Kerjaya pelik lain termasuk sebagai penentu jantina ayam, tukang tidur profesional, food tester, tukang beratur, tukang tolak[9], pencuci muntah dan kerjaya sebagai penumpang yang diupah seperti yang berlaku di Jakarta, Indonesia.
3- Hari ini kerjaya seperti Gro, pelacur, tonto, along, penyeluk saku, peragut, perompak, pembunuh upahan, keldai dadah, pencuri motosikal & kereta, penyeludup barang, pecah rumah, jual orang, judi on line, love scam[10] dan bermacam lagi kerjaya terlarang yang aku tak mampu nak sebut, dilakukan oleh orang-orang yang memiliki penyakit hati mungkin!
Apabila seseorang telah memiliki hati yang sakit atau sakit hati, akan mudah tergiur[11] oleh hawa nafsu lalu merebak menjadi benih-benih maksiat sepanjang hidup mereka, sekiranya mereka tidak segera bertaubat dengan taubat nasuha[12]. Orang-orang yang tersesat kenalah kembali kepangkal jalan dan curilah sedikit masa untuk merenung dosa-dosa yang pernah dilakukan. - Titek!
[Sebagai penambah perasa dalam entri ini, aku selitkan sekali kisah yang tentunya pernah kita dengar mengenai seorang pelacur menolong seekor anjing].
SEORANG PELACUR
MENOLONG SEEKOR ANJING
Kisahnya:
Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang pelacur di zaman Bani Israil, yang kehabisan bekalan [makan-minum] ketika berada di tengah gurun. Bibirnya telah pecah-pecah, matanya berkunang-kunang kerana kehausan dibakar terik matahari. Sedang dia menyeret-nyeret kakinya tanpa tujuan lagi, tiba-tiba dia menjumpai sebuah sumur[13] lama yang lubangnya sempit, airnya sedikit dan jauh kedalam. Namun begitu, dengan susah payah dia turun lalu berhasil memuaskan dahaganya. Kemudian dengan lebih susah pula dia merangkak naik keatas.
Tatkala dia sudah merasa segar dan mula hendak meneruskan perjalanannya, pelacur yang dina[14] itu terlihat sesekor anjing kurus kering tengah menjilat-jilatkan lidahnya ke-pasir. Air liurnya sudah kering dan anjing itu hampir mati kehausan. Pelacur tadi membayangkan, barangkali begitulah keadaannya sebelum berhasil menghirup air.
Maka pelacur itu segera turun semula kedalam sumur yang sempit dan dalam itu. Hampir saja dia terjatuh kedalam dan binasa sebelum dia mendapat mengambil air dengan menggunakan sepatu[15]nya sebagai gayung. Lalu, dengan menggigit sepatu berisi air, dia merangkak keluar, naik keatas. Alangkah sangsaranya pekerjaan yang dilakukannya itu.
Setelah selamat, dengan terburu-buru dia menghampiri anjing tersebut. Diberikannya air yang diambilnya tadi untuk anjing tersebut. Lahap sekali anjing itu meminumnya sehingga segar bugar semula dan berlari dalam keadaan sihat walafiat.
Rasulullah SAW kemudian berkata kepada sahabat-sahabatnya iaitu kerana kasih sayang pelacur itu kepada anjing yang hampir mati kehausan, maka semua dosanya diampankan oleh Allah dan dijanjikan masuk syurga selama-lamanya. - Wallahuaklam!
Glosari & Info:
[1] Ceti: Peminjam wang keturunan India yang mengenakan bunga yang tinggi. [2] Call Girls: Ikut kamus Wikipedia iaitu Callgirls adalah pompuan peneman berjalan[street walker] dan peneman tido [sex worker]. Perkhidmatan mereka hanya melalui call dan terdapat iklan kecil di majalah atau internet.[3] Tiket Blckmarket: Tiket yang dijual menyalahi undang-undang. [4] Kabaret: Tempat minum dan tari menari. [5] Tonto: [Singkatan dari 'Tolong orang tipu orang']. Kumpulan pemerhati yang terdiri dari kalangan gengstar. Menyalurkan maklumat kepada 'Taukeh' sebaik mengetahui ada operasi dari Penguatkuasa. [6] Along: Peminjam wang keturunan China yang mengenakan bunga sangat tinggi. [7] Gro: Bermaksud Guest Relations Officer. Perempuan yang bekerja di club atau bar yang kebanyakannya terdiri dari prostitutes yang memberikan perkhidmatan sex [all night sex]. Selalunya Gro di lindingi oleh 'ibu ayam' dan dikawal oleh gengstar. [8] Deodoran: Sejenis wangian penyembur atau sapu untuk ketiak. [9] Tukang Tolak: Di Jepun memerlukan Tukang tolak profesional untuk memastikan semua penumpang dapat memasukki tren dan memastikan pintu tren boleh ditutup meskipun sudah terlalu ramai penumpang. [10] Love Scam: Sindiket penipuan cinta melalui laman sosial seperti Facebook.[11] Tergiur: Hati tertarik atau keinginan. [12] Nashua: Taubat yang sebenar-benar taubat dengan berjanji tidak akan mengulangi lagi segala perbutan yang salah. [13] Sumur: Perigi atau Telaga. [14] Dina: Hina.[15] Sepatu: Kasut.
No comments:
Post a Comment