Kolompo!
1- Hari ini Isnin, 8 Ramadan 1437 Hijrah. Awal pagi Sabtu lepas [28 Syaaban] aku dan isteri sudah pun berada di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman [TAR] hajat hati untuk buat pemeriksaan mata dan menempah cermin mata baru di Campbell Optometrist. Sewaktu menghampiri lorong untuk masuk ke padang parkir di belakang Balai Polis DangWangi, kelihatan beberapa kun merah-putih diletakan ditengah lorong dan seorang anggota Rela memberitahu kawasan parkir tersebut sudah ditutup sempena bulan Ramadan. [Sila selak entri 'Ke Alor Gajah' - 6 June 2016]
Jadinya, hari Sabtu lepas [6 Ramadan] aku dan isteri, sekali lagi keluar ke pusat bandar. Kali ini kami memparkir kereta dibawah salah satu bangunan berhampiran Jalan TAR. Kami berdua menyusuri lorong belakang menuju Campbell Shopping Complex. Walaupun jam ditangan aku baru menunjukkan kul 0945 pagi tetapi gerai gerai disepanjang lorong itu sudah sedia menerima kedatangan tetamu.
Kul 1100 pagi. Usai urusan di kedai cermin mata, kami singgah disebuah gerai menjual lemang disatu sudut menghala ke kawasan parkir. Diatas meja kelihatan lemang-lemang yang berbalut daun pisang, longgokan ketupat, rendang ayam dan rendang daging. Kami membeli dua ketul lemang dan terus segera beredar kerana ketika ini orang ramai mula membanjiri kawasan perniagaan bazar Ramadan. - Cut!
2- Inilah sedikit gambaran yang aku dapat kongsikan dengan pembaca bilamana tibanya bulan Ramadan, ramailah orang Melayu berniaga walaupun sewanya agak mahal. Dari cerita-cerita orang yang berniaga sebelum ini dilorong belakang Jalan TAR - khabarnya berniaga dibulan Ramadan, boleh mendapat keuntungan berlipat ganda daripada biasa.
Jika niat peniaga-peniaga bazar Ramadan hanya mementingkan keuntungan jangka pendek bagaimana pula keuntungan berkekalan iaitu 'pahala Ramadan' yang dilepaskan ketika berada di bazar atau dipasar malam. Sepatutnya kita, [termasuk akulah] - mengejar dan menambah pahala dengan bersedekah, bertadarus atau jika mampu memberi makan, pakai kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
Setiap tahun menjelang Ramadan, ramai orang Melayu mahu berniaga. Di Kolompo misalnya, dahulu bazar Ramadan hanya bermula dari lorong tepi Campbell Shopping Complex hingga ke Maiden. Sejak kebelakangan ini, ruang niaga terpakasa ditambah dan ruang parkir di belakang Cempbell Shopping pun sudah dijadikan tapak bazar Ramadan. Begitulah hebatnya Ramadan!
Mungkinkah tahun-tahun yang mendatang nanti [bulan Ramadan], orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan orang-orang Melayu yang sering berada di bazar dan pasar malam dan golongan kedua pula ialah orang-orang Melayu yang sentiasa berada disurau dan masjid-masjid. Golongan ketiga pula ialah orang Melayu yang berada diantara dua golongan tersebut. Mungkinkah nanti Allah murka lalu menurunkan bala kepada mereka-mereka yang durhaka. Wallahuaklam! [Seperti peristiwa 'Hari Sabtu' di pinggir laut merah pada zaman Nabi Musa].
3- PERISTIWA HARI SABTU!
Begini ceritanya: Di pinggir laut Merah terdapat sebuah kampung nelayan dikenali sebagai Ailah. Mereka menjadikan hari Sabtu sebagai hari untuk beribadah, seperti yang disyariatkan oleh Nabi Musa. Jadi pada hari tersebut tidak ada diantara mereka turun kelaut menangkap ikan. Tradisi ini menjadikan hari Sabtu adalah hari bagi ikan-ikan yang hidup dilaut datang bermain disekitar dua batu besar, kerana ketika itu tidak ada nelayan yang akan turun kelaut.
Dari musim ke musim kebiasaan itu berjalan lancar dan ikan pun bertambah, datang berkumpul dianatara dua batu besar tersebut. Apabila beberapa penduduk kampung nelayan itu mengetahui ikan sudah banyak lalu mereka bercadang untuk menangkap ikan tersebut memandangkan hari Sabtu adalah hari semua orang sedang beribadat.
Timbullah perasaan tamak haloba di hati mereka. Mereka memanggil penduduk-penduduk untuk berbincang lalu salah seorang berkata:
"Kenapa kita biarkan saja ikan-ikan besar sebanyak itu berkeliaran dihadapan kita, sedangkan itu adalah rezeki kita. Bagaimana kalau kita tangkap saja ikan-ikan itu, kerana dihari lain tentu kita sukar mendapat ikan-ikan yang begitu banyak dan besar-besar".
"Mengapa kita bodoh melepaskan peluang yang ada dihadapan kita". Ujar salah seorang dari kumpulan tersebut.
Pendapat lelaki itu terus diterima oleh orang-orang kampung, kecuali beberapa orang saja yang tetap beriman dan tidak mahu melanggar tradisi aturan agama. Lalu orang kampung pun beramai-ramai turun kelaut menangkap ikan. Hasilnya cukup banyak jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Oleh kerana mudahnya menangkap ikan, maka hari Sabtu mereka ubah bukan sebagai hari untuk beribadah kepada Allah sebaliknya hari menangkap ikan, kemudian mereka berpesta dengan jamuan besar-besaran.
Kumpulan orang-orang yang beriman cuba memberi nasihat, tetapi ditolak mentah-mentah. Kemudian mereka cuba menghalang pula dengan kekuatan senjata tetapi kumpulan yang ingkar lagi sesat itu juga menentang keras seraya berkata:
"Kampung ini bukan kepunyaan kamu sahaja, kami berhak kaatas kampung ini. Kenapa pula kamu melarang sedangkan kami berbuat demikan adalah kerana mahu mencari rezeki. Jika kamu tidak suka melihat perbuatan kami, eloklah kita bahagikan kampung ini kepada dua. Selepas itu kami bebas melakukan apa saja yang kami mahu, dan kamu juga bebas melakukan apa saja yang kamu mahu"
Untuk menghindarkan pergaduhan dan pertumpahan darah, maka kumpulan orang-orang beriman itu menurut sahaja cadangan mereka. Lalu kampung menjadi dua tetapi Nabi Daud tidak membiarkan mereka melanggar perintah Allah. Nabi Daud terus menerus menyeru mereka supaya kembali ke jalan Allah dan ajaran Nabi tetapi sebaliknya golongan yang sesat itu hanya mengejek-ngejek dan mempersendakan Nabi Daud.
Akhirnya Nabi Daud memohun doa kepada Allah untuk menurunkan bala kepada mereka yang durhaka. Pada masa yang sama kelakuan kumpulan orang-orang yang sesat itu semakin teruk malah telah menyamai kelakuan haiwan. Kemungkaran semakin menjadi-jadi!
Lalu, pada suatu hari terjadilah gempa bumi besar didesa itu. Semua kaum Muslimin keluar minta perlindungan dari Allah, adapun kumpulan orang-orang sesat itu masih tetap leka dengan pesta makan besar hasil tangkapan ikan pada hari Sabtu.
Akhirnya tiba pula gempa bumi yang kedua, ketiga dan keempat berturut-turut dengan lebih dahsyat sehingga batu-batu berterbangan, ombak laut membadai kampung, kampung itu hilang-hanyut dibawa arus. Lenyaplah orang-orang yang sesat lagi lupa daratan. Orang-orang yang beriman kepada Nabi Daud pula terselamat dari bala bencana Allah. Sesungguhnya orang-orang itu mendapat perlindungan! [Peristiwa ini aku ambil dari buku Kisah-Kisah Benar Siri 3, susunan Mohd Najib, HM Ridzwan dan Nur Ashiqa].
Nota Lutut: Berniaga di bulan Ramadan itu bagus, kerana boleh menambah rezeki. Orang ramai pula tidak salah mencari barang-barang untuk hari raya tetapi agak-agaklah. Ada baiknya peniaga bazar Ramadan mendisplinkan diri dengan membuka gerai seawal 0900 pagi dan berakhir sebelum waktu Magrib. Malam harinya eluklah beramai-ramai ke surau atau masjid mengerjakan solat Isya' dan solat Tarawih berjemaah.
Di cadangkan dalam bulan Ramadan, jadual perniagaan pasar malam, up town dan bazar Ramadan larut malam diubah waktu perniagaan dan namanya menjadi pasar pagi, bazar siang dan morning up town. Jadi, tidaklah perlu orang ramai keluar malam hanya semata-mata mahu mencuci mata! - Wallhuaklam!
No comments:
Post a Comment