- 12 Ramadan 1437 Hijrah
Setiap kali berada di bulan Ramadan pasti aku terkenang zaman dolu-dolu, terutama sewaktu bersekolah rendah. Aku, semasa kecil sememangnya aku degil. Di suruh puasa aku puasa tetapi aku hanya berlakon saja. Sejujurnya, zaman itu adalah zaman sukar untuk aku belajar berpuasa. Aku sering ponteng puasa!
Zaman dolu-dolu sekitar pertengahan 60an tidak ada istilah bazar Ramadan. Kebanyakan orang yang tinggal di pinggir bandar, pekan atau kampung akan menyediakan sendiri juadah berbuka. Waktu itu, kebanyakan rumah masih lagi menggunakan kayu api untuk memasak. Jika tidak ada kayu api, mereka menggunakan tempurung kelapa sebagai penganti kayu api.
Seminggu dua menjelang lebaran[1], kaum ibu sibuk merebus ketupat, memasak rendang, membuat kuih raya dan memasang langsir baru. Yang punya mesin jahit pula, sibuklah menjahit pakaian yang ditempah oleh orang-orang kampung. Kaum bapa rajin pulak mengecat rumah atau yang tak berduit sangat hanya menapal kertas minyak[2] atau surat khabar lama didinding rumah.
Masatu meriah! Sambil merebus ketupat, menjahit pakaian, mengecat dinding rumah, bunyi lagu kedengaran bersahutan dari corong-corong[3] radio disetiap rumah. Tentunya zaman itu lagu Pop Yeh!-Yeh! yang menjadi pujaan mereka. Seingat aku penyanyi yang mendapat tempat dihati mereka terutama muda-mudi [abang dan kakak akulah!] antaranya penyanyi Jefrydin [Kenangan Ku], A. Ramlee [Kenangan Mengusik Jiwa], M Amin [Dara Pujaan], L. Ramlee [Ayahku Kawin Lagi] S.Jibeng dan penyanyi A Rahman Hassan.
Zaman Pop Yeh!-Yeh! juga terkenal dengan kumpulan penceragam, atau dolu-dolu dipanggil band boy gitu. Antaranya The Rythman Boys [Adnan Othman], Orkes Nirwana [M.Osman], The Clans [Fatimah Amin], The Sangam Boys [A. Halim], The Wanderes [J. Sham] dan lain-lain. Masatu muda-mudinya sangat berfesyen dan kelihatan ranggi[4] dimana si-pemudanya memakai seluar ketat dan pemudinya memakai seluar sendat.
Berbeza pula bila sudah masuk ke zaman awal 70an. Kebanyakan orang tidak lagi menggunakan kayu api sebagai bahan untuk memasak. Mereka sudah ada dapur minyak tanah cap 'Butterfly'. Aku masih ingat ketika ibu hendak menyediakan kuih bahulu, banyak telur dipecahkan dalam tempayan[5] kecil. Kemudian dikacau agak lama juga. Proses seterusnya ialah memasukkan bahan yang dikacau tadi kedalam acuan tembaga dan dibakar atas dan bawah menggunakan arang.
Masatu, ibu bersama kakak dan adek-adek akan membantu menyediakan rendang ayam dan kuah kacang untuk dimakan bersama nasi himpit. Kuih dan biskut raya pula yang sering dilihat ketika di pagi raya antaranya kuih bahulu, wajek, agar-agar kering, kembang loyang, semperit dan kek warna-warni. Kebetulan pula dihadapan rumah banyak pokok betik, jadinya ibu selalu membuat halua betik[6] muda sebagai tambahan kuih raya.
Zaman era awal 70an, aku dengan kawan-kawan sudah pandai bertandang ke rumah-rumah jiran. Masa tulah aku dapat merasa juadah raya yang tidak terdapat dirumah aku seperti lemang, dodol, rendang daging, biskut batang buruk dan lain-lain. Tentulah zamantu tidak ada istilah biskut seperti Cheese Tart, Snow Almond, Coconut Cornflakes, Chocolate Almond, Nestum M&M atau Rainbow Cookies gitu.
[Jika adalah masatu nama-nama biskut yang aku sebutkan tadi tentu bergulung lidah aku nak menyebutnya. Hehehe!]
Bab muzik pulak, lagu-lagu PoP Yeh!-Yeh! terus menghilang sebaik sahaja lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Noorkumalasari dan Hussien Ismail berkumandang di corong radio. Malah lagu-lagu dari negara seberang seperti Indonesia juga mencuri hati peminat-peminat di Malaysia. Antara lagu yang menarik dari Indonesia yang aku masih ingat ialah Teluk Bayu [Ernie Djohan], Sepanjang Jalan Kenangan [Tety Kardi] dan KenanganKu [The Flybaits].
Era awal 70an telah menukar fesyen anak muda kepada fesyen gaya barat. Jika di Kolompo waktu itu, gedung beli-belah sudah pun menjual bluejeans jenama Rengler, Levis [Levi-Straurs], Lee, Texwood, Amco dan lain-lain. Masatu ada dua jenis potongan seluar iaitu stright-cut dan bell bottoms[7]. Kebanyakan anak muda masatu sangat berminat berpakaian blue jeans kerana mungkin jenis kainnya yang tahan lasak dan kelihatan rugged[8] gitu!
Bluejeans, makanan segera, dadah jenis ganja dan muzik dari barat mula menular dikalangan anak-anak muda ketika itu. Malah, 'Woodstock festival'[9] yang diadakan kat White Lake, New York pada 15-18 August 1969 yang di-hadiri oleh kebanyakan audience adalah mereka yang berpakain ala' hippie[10] dan trend tersebut menjadi ikutan anak muda di Kolompo.
Masatu, lagu-lagu Mat Salleh sudah menjadi kegilaan mereka malah tidak ketinggalan juga penuntut Universiti. Anak-anak muda, terutama yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kolompo, Ipoh, George Town, Kuantan dan Johor Baharu juga terbabit meminati muzik barat. Antara penyanyi dan kumpulan yang mereka suka ialah Rod Steward, Stevie Wonder, Elton John, David Bowie, Bob Marley, John Lennon, Abba, Bee Gees dan Angles [sekadar menyebut beberapa nama penyanyi dan kumpulan].
Jadinya, di pagi Sya'wal tidak hairanlah jika ramai orang muda yang berpakain baju Melayu, bersongkok dan berambut panjang datang ke Masjid untuk menunaikan solat sunnat Aidilfitri. Malah minggu pertama beraya, jarang sekali anak-anak muda mahu melayan lagu-lagu raya. Lagu-lagu Mat Salleh juga yang menjadi pilihan mereka. Masatu kalau bergambar pun, mesti nak tunjuk dua jari iaitu jari telunjuk dan jari hantu [bentuk V] sambil berkata "Peace not war!"[11]. - Wallahuaklam!
Glosari & Info:
[1]Lebaran: Berhari Raya. [2]Kertas Minyak: Sejenis kertas warna kuning untuk membalut kulit buku. [3]Corong-corong: Alat yang berbentuk kelongsong untuk menguatkan suara. [4]Ranggi: Muda mudi yang bergaya tetapi berlagak. [5] Tempayan: Tempat menyimpan air yang dibuat dari tanah liat. [6]Halua Betik: Sejenis manisan yang dibuat dari hirisan betik muda dan disira dengan gula. [7]Bell Bottoms: Potongan seluar yang bahagian kakinya kembang dibawah seperti loceng. [8]Rugged: Perangai nampak kasar. [9]'Woodstock festival': Pesta muzik ini diadakan pada tahun 1969, di White Lake, New York yang dihadiri kira-kira empat ratus ribu orang [400 ribu] yang kebanyakan audience berpakaian ala'hippie. [10]Hippie: Bermula sekitar tahun 1960'. Mempunyai ideologi kearah dadah-marijuana dan gaya hidup bebas. Kebanyakan mereka berambut panjang dan suka kepada cara hidup berkumpulan. Diasaskan oleh kumpulan yang berasal dari North America dan Western Europe. [11]"Peace Not War": Cogan kata kumpulan Hippie yang kononnya memperjuangkan hak kebebasan, cinta dan kebahagian hidup.
17 June 2016
TERKENANG ZAMAN DOLU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment