13 October 2013

BERJALAN, BERLARI & MENARI


Tasik Titiwangsa! Matahari pagi baru nak muncul. Masih ada petak letak kereta yang kosong. Kelihatan ditepi tasik sekumpulan wanita tua berbangsa Tionghua menari ikut rentak cha-cha. Ada yang berbadan gemuk ada yang kurus, masing-masing memakai sepatu yang sama berwarna hitam.

Aku berjalan dilaluan jogger, melihat ramainya orang mengambil kesempatan cuti hari minggu. Ada yang berjalan seorang diri, ada yang berlari bersama kumpulan. Di laluan jalan tar pula, remaja lelaki  berlari dengan sepatu beroda,  ada juga  yang berbasikal serta sesekali kelihatan pemuda Melayu dengan megahnya mengelilingi tasik dengan motosikal.



Aku seperti kebanyakan mereka yang berada di tasik ini. Kekadang aku berlari, kalau rasa berat kaki hanya berjalan sahaja. Aku berjalan sudah hampir separuh tasik, nun diatas bukit kelihatan kumpulan Tai-chi sedang meregangkan otot-otot, perlahan sahaja gerakan mereka, seakan-akan seperti berada diruang angkasa tanpa gravity.

Terus berjalan sambil memperhatikan seorang lelaki dan tiga perempuan Tionghua sedang duduk bersila diatas tikar, mata mereka pejam, seperti bertafakur gamaknya. Itulah agaknya yang dikatakan Yoga!

Selesai sudah aku berjalan, sedikit berlari tidak seperti kumpulan penari tadi yang masih menari. Dua gerai di bawah pohun besar, ditepi tasik adalah milik peniaga Melayu dan India Muslim. Penuh dengan pelanggan baik Melayu, Cina dan India. Tentulah si Mamak menjual sarapan popular iaitu ruti canai dan teh tarik, Melayu pula menjual pau dan nasi lemak bungkus.

Sambil menikmati secawan kopi O, aku melihat empat remaja Tionghua sedang sarapan, tetapi tidak berbual malah masing-masing leka menatap skrin telefon. Mereka ini adalah sebahagian genersi muda yang mampu membeli teknologi terkini seperti Iphone 5, kerana ayah-ayah mereka mungkin  peniaga yang kaya raya.



Inilah
gaya hidup masyarakat kota hari ini. Mereka memilih sendiri untuk berjalan, berlari atau menari. Jika mereka memilih cara ini sekalipun, bukan satu jaminan untuk mereka kekal sihat mental dan fizikal, jika tidak disertakan sekali dengan pilihan menu makanan sihat.

Untuk sihat, tidak semua warga kota mampu melakukannya. Lihatlah disebalik pohun rendang, disebalik rumah biru Istana Budaya, nun dicelah-celah hutan batu bata, ada banyak rumah usang. Kampung Baru namanya tetapi sudah lama, ramai orang tua-tua disana, malah ada yang tua buta.

Orang-orang tua-tua itu, tidak mampu lagi berjalan, berlari apatah lagi mahu menari. Mereka hanya menunggu masa disingkirkan olih anak-anak mereka yang derhaka. Anak-anak muda mereka hanya pandai meminta-minta itu dan ini, malas membaca, malas belajar, malas gak bekerja. Kalau mereka membaca pun hanyalah kerana minat giler kisah-kisah artis popular yang mereka suka.

Kelompok anak-anak muda itu tidak ada di Tasik Titiwangsa, mereka tidak pandai berjalan atau berlari seperti kebanyakan remaja sihat ditasik ini. Anak-anak muda itu hanyalah segelintir kelompok genarasi muda Y or Why yang akan tewas sedikit hari lagi.

 



         




No comments:

Post a Comment