03 September 2014

KONSERT & DI NEGERI PULAU


           I- Kuala Lumpur [29 Ogas]. 


Jumaat malam Sabtu, suasana Kolompo agak luar biasa. Jalan-jalan dilimpahi cahaya lampu yang berjuntai dari celah-celah ranting dari celah-celah dahan pokok ditepi jalan. Kenderaan pula bersimpang siur dan orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR). Suasana kelam kabut dan hiruk piruk itu adalah kerana malam itu akan diadakan Konsert Memori Chow Kit Road 2.0 sempena sambutan Hari Kemerdekaan  ke-57.

Walaupong ada kedengaran suara-suara  yang tidak puas hati tentang penganjuran kosert tersebut, Kementerian Komunikasi dan Multimedia tetap meneruskan, malah konsert tersebut akan diadakan selama tiga malam berturut-turut, bermula pada 29 Ogas 2014.
 

Tuudia! Malam Memori Chow Kit dengan kerjasama Astro malam itu, telah menampilkan seramai 36 artis popular antaranya Datuk Hattan, Jeffry Din, DJ Dave, Jaclyn Victor, Rohana Jalil dan Fynn Jamal. Antara pengisian lain ialah segmen cinta kepada ibu negara, mengenang nahas pesawat MH370 dan MH17 serta penampilan khas Atai iaitu anak saudara Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

[Kehangatan sambutan Hari Kemerdekaan memang terasa bagi orang Kolompo dan sekitarnya. Mana tidaknya, hampir ketiga-tiga tapak pameran udah dibanjiri orang ramai. Antaranya ialah Perkampungan Belia di Padang Merbuk, Aset Negara di Stadium Merdeka dan Perkampungan Memori 57 [Festival Vintaj KL] juga diadakan di Stadium Merdeka. Bagaimana pula  suasana di Pulau Pinang. Adakah bahang panasnya juga udah cukup panas. Jom kita ke negeri pulau!]
 

             II- Pagi di Negeri Pulau

Nun jauh arah ke Utara, melintasi Selat Melaka, sebuah negeri pulau yang terpisah dari tanah besar Semenanjung juga telah bersiap-sedia untuk menyambut hari Merdeka. Walaupong pulau itu telah bercerai talak tiga namun masih lagi dibawah pengawsan orang-orang besar di wilayah Putrajaya. "Itu gua tak peduli" kata Tok Ketua Negeri Pulau tersebut ketika diminta sedikit komen dari tukang tulis [pemberita] mengenai status pengawal khas [PPS] yang ditubuhkan empat tahun lalu.  

"Lu orang mesti ikut sama acara baris-baris di Padang Kota Lama. Kasi itu Putrajaya tenguk, kasi diorang hati panas. Apa diaorang boleh bikin?". Terpacul suara dari seorang lelaki berbadan kurus, mungkin pembantu kepada ketua negeri pulau, ketika ahli-ahli PPS [Pasukan Peronda Sukarelawan] sedang mendengar taklimat tentang atur-cara perbarisan yang akan diadakan di Padang Kota pada hari Ahad nanti.

"Mana ada salah. Kita bikin ini PPS pasal kita mau tolong kleja "community policing". Sini negeli pulau mayak lanun kacau, kita mau titon pun manyak susah. Ala hati sikit takut!". Sambung lelaki kurus yang menampakan barisan gigi yang tersusun tetapi warnanya sedikit kuning.
 

"Tapi ini negeri sudah ada mata-mata [PDRM], ada Rela, ada Bomba, ada Maritim dan ada macam-macam lagi. Kasi diaorang bikin kerjalah. Apa pasal mau bikin PPS?". Soal seorang tukang tulis berita yang memakai serban berwarna kuning dikenali dengan Encik Hurahara Singh.

"Lu apa tau Sing" [ejaannya tentulah Singh] pendek sahaja jawapan lelaki kurus tersebut, sambil meminta ahli-ahli PPS dan tukang tulis yang tidak diundang itu bersurai.

 

[Hari yang sama, dalam kesibukan menjelang Merdeka, sebuah bot milik empat lelaki rakyat Indonesia telah berlepas dari Pelabuhan Kontena Butterworth Utara dengan muatan 300 guni bawang merah serta 16.9 kilogram syabu, yang disembunyikan dalam petak kayu khas dan ditindih dengan guni berisi bawang.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga kumpulan penyeludup itu ketangan anggota Maritim Malaysia. Bot perdagangan tukar barang tersebut yang sedang belayar menuju Aceh, telah ditahan dalam operasi di perairan Barat Daya Tanjung Tokong].


         
 

              III- Sabtu [30 Ogas].

Kecoh pagi tu! Dikota dan juga didesa, orang pulau mula berbisik-bisik sesama mereka pasal  PPS yang dianggap oleh Wilayah Putrajaya sebagai satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan ROs.   Tok Ketua Pulau yang dikenali sebagai Lim Guan Eng pulak, terus mempertahankan PPS serta mencabar Ketua Mata-Mata Negara [KPN], Tan Sri Khalid Abu Bakar agar  mengambil tindakan terhadap PPS.  
[KPN telah memberi amaran akan menangkap ahli-ahli PPS sekiranya masih meneruskan aktiviti mereka].

"Mana ala PPS halam maa! Selupa juge itu JKKKP [Jawatankuasa Kemajuan  & Keselamatan Kampung Persekutuan Luar Bandar]. Talak daftar sama ROs!" Berulang kali Tok Ketua menjawab dengan nada geram apabila orang-orang kiri dan orang-orang kanannya asyik bertanya yang Tok Ketua anggap sebagai soalan bodoh!

[Ah! Lupakan kejap cerita orang pulau. Apa kata kita jenguk pulak kat Jalan TAR.  Happening sangat ker! Kalau cakap pasal letih, memanglah letih. Mana tidaknya, kejap ke Negeri Pulau lepas tu malamnya berkayuh ke Negeri Lumpur. Kalau naik perahu tentunya lima hari empat malam baru sampai diSungai Lumpur. Itupong terpaksa rehat di Pulau Pangkor, Pulau Sembilan dan Kuala Selangor].



Malam Ahad
di Kuala Lumpur.
Angin waktu terus berlalu membawa senja jadi malam. Malam itu sorak-sorai pong bergema, bergemuruh bunyinya hingga boleh didengari oleh penduduk di sekitar Kampung Baru. Konsert Memori Chow Kit Road sedang berlansung di Jalan TAR dengan meriah tanpa memperdulikan kesedihan dan kepiluan dari keluarga mangsa tragedi pesawat [MAS] MH17.


Dengan tema 'Ini Malaysia Kita', orang ramai bersesak-sesak dan pandangan mereka terarah keatas petas dimana mereka akan dihiburkan dengan  persembahan artis seperti Tomok, Suki, Asmidar, Black dan Rj. Menanti Detik 12 malam pula, penonton dihiburkan dengan Kul It' bersama RTM. Ada yang tercangak-cangak, ada yang melopong, ada bertepuk tangan dan ada yang melambai tangan. Apabila artis pujaan mereka membalas lambaian tangan itu, maka sorak-sorai pong semakin lantang, tegang dan hampir menjadi lintang pukang.

Selesai konsert, ada yang balik menaiki kereta, guna bas, lrt, momorel, teksi, motosikal dan bebudak yang tinggal sekitar Kg Baru, Keramat, Sentul dan Gombak pulak balik dengan mengayuh basikal sambil megimbarkan jalur gemilang. Ada juga remaja yang tidak pulang ke rumah. Mereka berkumpul dikedai kedai mamak hingga ke pagi dan kalau udah mengantuk sangat, bebudak tu menumpang tido dikerusi simen sekitar Dataran Merdeka dan Daya Bumi. Yang tinggal di Jalan Tar hanyalah longgokan sampah sarap yang ditinggalkan oleh orang ramai. Biasalah tu!


[Apapong, suasana malam itu terkawal dengan kehadiran mata-mata yang gagah perkasa dari Balai Polis Jalan Tun Perak dan anggota  lalu-lintas dari Balai Polis Trafik Jalan Bandar. Malam tu, tak ketingalan juga mata-mata [SB] yang menyamar macam orang awam.  Kekadang, kelihatannya seperti pekerja TNB, Jurugambar atau berlagak macam orang gelandangan gitu!].


                IV- Ahad [31 Ogas]. 

Pagi itu diDataran Merdeka, ribuan penonton telah menyaksikan 14,000 peserta daripada 23 kontijen yang menyertai perbarisan pada sambutan Hari Kemerdekaan dengan semangat patriotisme yang tinggi. Ketika itu juga, tentunya ramai rakyaat Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mengikuti siaran langsung melalui stesen televisyen. Hilang  sekejap cerita tentang   penderitaan rakyat Palestin, cerita boikot memboikot produk Isreal, kisah sembilan bulan MB Selangor atau cerita kesedihan waris MH17.

Diberitakan, kira-kira 400,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama telah bersatu membanjiri Sambutan Hari Kemerdekaan  Ke-57 diDataran Merdeka. Meskipong tahun ini disambut secara sederhana berikutan tragedi MH370 dan MH17, namun tidak menjadi penghalang untuk rakyat Malaysia menunjukkan rasa cinta dan semangat patriotik
kepada negara.

[Pada masa yang sama cobak kita lihat cermin ajaib yang kita bawak hari-hari. Maksud aku handpon atau Ipadlah! Klik kat vedio pasti kelihatan orang-orang pulau sedang berkumpul disepanjang Padang Kota].
 

Waktu angin pagi menerpa kearah orang ramai dan diikuti bunyi ombak menghempas air laut ke dinding batu-batu di Padang Kota, kelihatannya ada terselit kumpulan kontijen yang diharamkan iaitu Pasukan Pertubuhan Sukarela [PPS] sedang berkumpul disitu. Seramai kira-kira 200 ahli PPS [lebih kurang] akan menyertai acara perbarisan. Malangnya, kesemua mereka ditahan oleh anggota mata-mata berdekatan bulatan di Lebuh Pantai pada jam 10.15 pagi.

Jam 1145 pagi. Kesemua mereka yang kantoi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk proses dokumentasi dengan menaiki Black Maria, bas sekolah dan van. Selepas itu, pada jam 02.18 petang lebih kurang, Ketua Polis Daerah Timur Laut mengesahkan iaitu sebanyak 154 ahli PPS termasuk tujuh wanita ditahan untuk membantu siasatan.

[Yang aku muskil ialah kenapa lori yang membawa [orang akan kene tuduh] itu dipanggil 'Black Maria' sedangkan lori tersebut sifatnya berwarna biru tua dan mata-mata yang memandunya bukanlah seorang yang bersifat lemah lembut seperti Maria. Penin juga aku mencari jawapanya. Lepas ne, apa kata kita berperahu pulak ke Negeri Selangor. Hendak jenguk haru-biru dan kecohnya orang Melayu, Java, Banjar, Minang, Bugis, Cina dan India ketika menghadapi masalah Tok Ketua yang digantung tak bertali]. - Wallahu'alam!


 

No comments:

Post a Comment