11 September 2013

MARAH HARGA MINYAK NAIK




@Rencana dari Fauziah Arof!
Minggu lalu saya ada menulis betapa perlunya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa turun padang memantau harga barangan kerana kemungkinan besar peniaga-peniaga akan menaikan harga barangan dan makanan sesuka hati ekoran pengumuman kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen seliter.

Dan kita pun memang menjangkakan perkara itu pasti berlaku. Sehingga kini kementerian berkenaan telah menerima beberapa aduan berlakunya kenaikan harga di sana sini.

Seorang teman bercerita kepada saya, berkutkuasa saja kenaikan harga itu pada pukul 12 malam Isnin baru-baru  pada pukul 8 pagi di sebuah warung nasi lemak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, seorang mak cik biasanya menjual nasi lemak berharga RM2.50 sebungkus, mulai hari itu menaikkannya sebanyak 50 sen.

Apabila ditanya kenapa naik sehingga 50 sen, mak cik itu menjawab: "Kan minyak petrol sudah naik malam tadi? Tak tengok berita kah? Barang-barang pun naiklah."

Teman saya itu memberitahu, pelanggan dibelakang yang beratur untuk membeli nasi lemak menempelak: "Hai, ayam goreng itu goreng dengan minyak petrol ke mak cik?" Begitulah antara dialog-dailog yang selalu kita dengar daripada mulut seorang peniaga bila harga minyak petrol naik dan begitulah mentaliti sesetengah peniaga kita dalam menghadapi situasi naik harga ini.

Asal dengar saja harga petrol naik, semua barang pun hendak dinaikkan. Yang peliknya, tidak sampai beberapa jam harga petrol baru dikuatkuasakan, dia sudah menaikan harga makanan dan yang dinaikan pula melebihi kenaikan harga petrol.


Maka kita pun tidak hairan bila harga teh tarik di sesetengah tempat naik 20 sen juga. Harga chicken chop RM7 dinaikkan RM8, mi goreng yang biasanya RM4 dinaikkan RM4.50 dan buah potong berharga RM1 dinaikan kepada RM1.50.

Jika benar pengurangan subsidi minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen itu dikatakan tidak memberi kesan kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja, kenapa naik sebanyak itu?


Itu cerita peniaga. Pengguna pula sudah tentu dengan keluh kesahnya. Kenaikan 20 sen itu menjadi perbualan disana sini hingga ke hari ini. Ada yang bertekat untuk menunggang motosikal atau naik pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Ada yang memberi idea yang menarik, mahu bawa basikal di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini. Macam-macam cerita boleh didengar dan dibaca terutamanya di laman-laman sosial.

Pun begitu dalam kita bising-bising, merungut mengenai kenaikan harga minyak dan mengadu berasa begitu terbeban dan tersika dengan kenaikan sebanyak 20 sen itu, dengan kos sara hidup semakin meningkat, mereka ini jugalah terus menekan minyak kenderaan  seperti hendak tercabut pedal minyak tersebut dan menjadikan jalan raya macamlitar lumba.

Bila kita memandu dengan kelajuan yang biasa-biasa saja, bunyi hon dan lampu tinggi diberikan, kononnya hendak cepat sangat, entah apa yang hendak dikejarkan tetapi bila tiba di tol dia beratur di belakang juga kerana tidak menggunakan kemudahan Smart tag atau Touch n Go.

Di mana-mana pun, tidak kira kereta mewah atau kenderaan kecil seperti Perodua Kancil dan Kelisa, apabila harga petrol naik, keadaan macam biasa juga, tidak pun memberikan sedikit rasa kesedaran untuk memandu mengikut kelajuan biasa bagi menjimatkan penggunaan petrol. Lori dan bas masih begitu juga, berlumba-lumba. Mat rempit pun menjalankan kegiatannya dimalam minggu macam biasa.

Dan jalan-jalan menghala pusat membeli-belah terutamanya setiap kali hujung minggu pun tetap sesak dan beratur panjang untuk ke tempat letak kereta sama seperti sebelum harga petrol diumumkan naik.

Ada juga antara kita bising minyak petrol naik 20 sen itu menjadikan hidup semakin terhimpit tetapi pada masa yang sama masih boleh berbelanja besar walaupun gaji tidak banyak mana. Berbelanja besar untuk pakaian, makanan, gajet, hiburan dan macam-macam lagi yang sudah jadi perkara biasa setiap bulan. Mereka ini juga boleh membayar bil telefon bimbit sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Tetapi itulah, bila minyak petrol naik 20 sen seliter, marahnya bukan kepalang.
 

Memanglah menjadi hak masing-masing untuk membelanjakan wang gaji setiap bulan, tetapi apabila setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan, kita mengeluh, marah dan memaki hamun, sedangkan sebenarnya ia tidak memberi kesan langsung pada cara kita berbelanja. Maknanya naik atau tidak harga petrol sama saja. Jika keadaan inilah takrifan bebanan itu, terbeban sangat kah?  - fauziaharof@yahoo.com


No comments:

Post a Comment