|
I- Assalamualaikum! Pagi Rabu [15 Oktober 2014] aku terima tiga panggilan telepon dari rakan aku Idris Baba, Mahfol dan Zainal Baharuddin yang mengatakan bahawa Mat Zain udah meninggal dunia. Idris Baba ajak aku ziarah dan minta aku datang awal ke Kampung Pandan jam 1030 pagi.
Aku tiba di Kampung Pandan. Lepas tu kereta yang dipandu Idris gerak ikut short-cut dilaluan menara tinjau Ampang dan singgah sarapan disebuah gerai sekitar Hulu Langat. Jam 1115 lebihkurang kami tiba dikawasan kejiranan Taman Koperasi Uda, Batu 12, Hulu Langat Selangor.
Dihadapan rumah arwah Mat Zain udah ramai sahabat serta rakan taulan berkumpul. Sementara menantikan sembahyang jenazah [sebelum waktu Zohur] kami bertemu rakan-rakan lama sambil berbual mengenai amalan sunat yang sangat dituntut iaitu menziarahi pesakit dan mentakziahkan kematian. |
|
II- Menziarahi pesakit dan kematian merupakan suatu kebaikan didalam hidup bermasyarakat. Malah, ianya telah menjadi suatu nilai hidup berjiran dan nilai murni kemasyarakatan yang terkandung didalam ajaran Islam. Namun begitu, makruh kita menziarahi pesakit yang gemar melakukan kemungkaran, serta menzahirkan kemungkaran dihadapan khalayak ramai. [Tegahan itu supaya ianya menjadi pengajaran kepada penderhaka tersebut].
Kematian itu tidak dapat dielak sama sekali. Namun, sewaktu [masa] kematian makhluk-makhluk itu tidak sama. Semuanya udah ditentukan oleh Allah Swt. Pada hakikatnya, [kita yakin] seluruh makhluk yang berjiwa, mestilah merasai mati dan mengelami mati.
Firman Allah :
"Di-mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. [Maksud Al-Quran surah An-Nissa' ayat 78].
Bila agaknya datangnya maut itu? Maut akan datang secara tiba-tiba [tak ada warning Bro!]. Kekadang, maut datang ketika kita sedang melayan facebook, sedang menonton Tv, sedang menggengam tiket wayang, sedang bermain bola, sedang kayuh basikal, sedang memandu kenderaan atau sedang sembahyang [alhamdulillah kalu sedang sembahyang!].
Maut datang tanpa memberitahu kita. Sebab itu kita mesti sentiasa berjaga-jaga. Malah diceritakan tentang seorang yang sangat berhati-hati sehinggakan tidak mahu melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah, misalnya tidak melunjurkan kaki kearah kiblat.
Apa salahnya melunjurkan kaki ke arah kiblat. Tidak ada apa salahnya, tetapi orang itu tidak mahu. Sebabnya, disana ada Baitullah. Malah, orang itu juga tidak meludah ke arah kiblat kerana dikuatiri akan menjadi satu tabiat yang boleh menghina Baitullah. [Walaupong tidak berniat menghina [meludah], perbuatan tersebut menunjukkan kita tidak berhati-hati!]. |
|
|
Amaran Kematian! Beruntunglah orang yang diberi amaran, diberi notis peringatan oleh Allah tentang kematiannya. Ada lima notis amaran iaitu apabila ubannya sudah banyak bertabur[1], matanya mulai kabur[2]. Apabila gigi mula udah gugur[3], kulit pula banyak yang kendur[4] dan apabila rumah kata "pergi" dan kubur kata "mari sini"[5]!
Kita memang patut mengingati mati. Tetapi jangalah sampai termenung panjang sampai tak buat kojer Yop! [kata orang Perak]. Asyik ingatkan mati, langsung kita tidak bergaul dengan masyarakat. Masjid dan surau kita tak pergi, kenduri tahlil dan arwah tak join, majlis kahwin tak datang malah udah tak nampak batang hidung pasal berkurung dalam rumah. [Jangan buat macam tu Bro! Itu namanya buang tabiat!]. |
|
|
Jika sudah sampai ajal, jatuh satu anak tangga pun boleh mati. Sebaliknya, ada gak orang yang jatuh dari kapal terbang tak mati, kerana belum sampai ajalnya. Apa yang berlaku, [bukan tentang mati sahaja] semuanya telah ditentukan Allah. Jika inilah yang menjadi pegangan kita, maka tenanglah kita di dunia. [maksudnya Yop! Idaklah kita gelisah dan gundah gelana memikirkan tentang kematian].
III- Barang Yang Hilang! Perkatan 'kalau' tidak ada dalam kamus Islam. Bila ada istilah kalau dalam hidup kita, kita jadi kelang-kabut dan haru biru. Termenung sana, termenung sini memikirkan pasal barang yang hilang. Contohnya seperti yang diceritakan oleh Dato' Ustaz Yazid Jaafar [DMM] dalam satu ceramahnya iaitu : |
[Kisah seorang jemaah Surau yang ada 'kalau' dalam hidupnya].
"Selama ini saya datang ke Surau tidak pernah bawa jam tangan" lelaki itu memulakan bicara.
"Tetapi, tiga hari lepas saya bawa jam. Saya ambil air sembahyang, saya letak jam tangan itu di situ. Bila saya selesai dan beralih tempat, jam itu hilang. Kalau saya tak bawa jam tersebut, tentu tak hilang" ujar jemaah tersebut.
Macam mana boleh becakap 'kalau tak bawa'. Jam tangan itu sudah ditentukan akan hilang, tupasal anda bawa ke Surau! Biasanya jam itu tidak dibawa kerana belum ditetapkan akan hilang pada ketika itu. Lantas hari itu dia bawa kerana sudah sampai masanya jam itu hendak hilang. Begitu jugalah tentang ajal, bila sudah sampai masa kematian itu tidak dapat diundur atau dipercepatkan [dimajukan].
Sebab itu Bro, sementara kita belum mati, bersyukurlah kepada Allah kerana Allah belum mematikan kita. Kita ne, apabila diberi nikmat oleh Allah, kita lupa akan nikmatnya itu. Apabila nikmat itu luput dari kita, barulah kita ingat! - Wallhuaklam!
Sedikit Info : Beberapa baris ayat dan perengan diatas aku rujuk dari siri syarahan Dato' Ustaz Yazid Jaafar [DMM] 'Mengingati Mati' yang dicetak oleh Pustaka Al-Mizan, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Dicetak pertama kali pada tahun 1986 dan cetakan ketiga pada tahun 1990.
No comments:
Post a Comment