02 January 2015

MENCARI BILIK DI GEORGETOWN [1]



[27 Disember 2014]

Pagi Sabtu!
Aku, Baha, Mahfol & Saiful aka Thor udah berkumpul di KL Sentral pada jam 0830 pagi. Cadangnya backpacker kami kali ini hendak terjah[1] belah Utara menggunakan perkhidmatan KTM atau ETS [Express Rail Link] KL - Ipoh. Sayangnya, tiket ekpress KL - Ipoh udah habis ditempah dan kami berempat terpaksa gerak arah ke Pudu Sentral [UTC] guna perkhidmatan LRT.


Dari
KL Sentral kami perlu menukar LRT di Station Masjid Jamek untuk meneruskan perjalanan ke Station Plaza Rakyat tetapi kami terus keluar dari Station Masjid Jamek. Kami menapak[2] arah ke Pudu Sentral sambil mencari gerai atau restoran untuk bersarapan. Nak sarapan apa laginya kalau bukan ruti canai dan teh tarik! [Sarapan RM3.00 seorang].

Jam 1000 pagi.
Setibanya di Pudu Sentral, kami disapa oleh beberapa orang tengah [ulat tiket][3] yang menawarkan perkhidmatan dari syarikat masing-masing. Kami cuba sedaya-upaya mengelak ulat tiket, manalah tau nanti kami yang terkena. Macam cerita-cerita sebelum nelah, ada penumpang membeli tiket melalui orang tengah, alih-alih bas yang ditunggu tak kunjung tiba, kira kene kencinglah[4]! [Tiket KL-Butterworth RM35.00 seorang].



Bus
bergerak dari Pudu Sentral jam 1030 pagi dan dijangka sampai di Station Butterworth pukul 1530 petang. Kami berempat menempah tiket singgle seat ditingkat atas belah kiri. Sepanjang perjalanan menuju ke Butterworth, hanya sekali sahaja bas berhenti iaitu di restoran tidak jauh dari R&R Tapah. Kat sinilah kalu korang nak melepas hajat[5] atau nak mengisi perut. [Makan tengahari RM5.00 seorang].


Jam 1530
petang lebih kurang, bas yang kami tumpangi menghampiri Station Butterworth. Ramai gak penumpang turun di Butterworth. Ada yang bergegas mencari tandas kerana masing-masing udah tidak sabar untuk melepaskan hajat kecil. Sebelum gerak arah ke ferry terminal sempat lagi tu siSaiful beli sedikit asam madu Pak Ali.

Kami gerak melalui jejantas. Masuk lorong dan beli tiket dengan harga RM1.20 seorang. Tidak lama kami menunggu, ferry pun tiba. Ferry mula bergerak meninggalkan Jetty Sultan Abdul Halim. Penumpang ambil kesempatan merakam gambar diatas ferry. Kebanyakan mereka menggunakan kamera handpon yang gambarnya boleh dikongsi terus dengan ahli keluarga serta rakan-rakan menerusi Instagram, WhatsApp atau Facebook. [Tiket ferry RM1.20 seorang].

Ferry
tiba di Terminal Raja Tun Uda. Aku, macam bisalah akan mengendong beg berwarna hijau pucuk pisang jenama Jean-Francois Adventure yang bersize 80L dan sebuah 'day pack bag' jenama deuter. Isinya tentulah dua helai seluar, sweater, beberapa helai T-Shirt, kain palikat, sejadah, tuala, ponco, slipper, kamera, hand lamp, personal toiletries, ubat-ubat, sebotol drinking water dan sedikit buah kurma.

Kalau ikut rancangan asal [atas kertas] seperti yang aku catit kat entri bertarikh 12 December 2014 'Backpacker Belah Utara' iaitu kami akan mendapatkan bilik hotel badget sekitar Lebuh Pantai, Lebuh Culia atau sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling[6] kerana lokasinya berhampiran  City Bus Station. Setelah dapat bilik, kami rancang nak ronda-ronda dengan basikal kat Padang Kota dan Fort Cornwallis sambil pekene pesembor[7], kerang rebus atau sotong kangkung.

Apapun tanpa diarah, kami berempat melintas Jalan Pengkalan Weld, melalui lorong demi lorong di celah-celah orang ramai kat kawasan Little India. Sambil menapak, mata meliar memerhati kiri dan kanan rumah kedai, kalau-kalau ada papan tanda hotel atau hostel yang boleh kami tumpangi. Peluh jantan mula mengalir Bai!


Bermula
dengan menyusuri Lebuh Pasar, Lebuh Culia, masuk ke-Lebuh Stewart, lepas tu masuk ke Lebuh Love dan Lebuh Muntri. Memang terdapat banyak hotel badget kat sini tetapi semuanya udah penuh. Kalau ada bilik kosong pun tidak menepati citarasa kami [terutama si Saifulah] kerana  bilik yang kosong tu kelihatan cadarnya kotor [belum ditukar] dan bilik lain pulak, nampak malap dan menyeramkan!

Jalan terus jalan. T-shirt yang kami pakai mulai lembab dek peluh jantan. Suara azan kedengaran, menandakan waktu solat Asar udah tiba. Mahfol yang nampak sedikit keletihan mencadangkan sembahyang dahulu di surau berhampiran. Kami segera gerak kearah suara azan. Akhirnya kami menemui sebuah Masjid Banggali[8] yang terletak diantara Lebuh Culia dan Lebuh Leith. Nama saja Masjid Banggali tetapi kebanyakan jemaah yang sembahyang kat sini adalah dari India Muslim.


Usai solat,
Saiful bersama Baha meneruskan pencarian bilik dan aku pulak menemani Mahfol berehat disebuah kerusi kayu sambil memerhatikan kenderaan yang bertali arus disepanjang Jalan Penang.  Tidak lama kemudian kami diberitau melalui sms iaitu Saiful dan Baha udah mendapatkan sebuah bilik di Red Inn Cabana yang terletak di Lebuh Leith.



Rasa Lega!
Hati kami berbunga gumbira bila menerima sms dari si Saiful. Inilah agaknya salah satu cabaran backpacker iaitu letih berjalan bersama bebanan dibelakang dan sukar pulak untuk mendapatkan bilik murah, ujar siMahfol sambil segera berjalan memasuki Lebuh Leith yang sekali pandang ejaannya macam Lebuh Letih! Si Saiful udah membayar harga bilik RM105.00 dan RM100.00 sebagai wang cagaran. [Setiap seorang membayar harga katil RM30.00 sahaja].

*
Jumlah perbelanjaan setakat ini RM74.20.


Nota Kaki:
Ikutilah story bergambar aktiviti kami seterusnya ketika senja menjelang dan waktu malam dalam entri 'DINGIN MALAM DI GEORGETOWN'. Salam sayang dari Mj!




No comments:

Post a Comment