18 January 2015

PONDOK SANI & Tanah Kebun!




Pukul sebelas pagi.


I- Langit Cerah. Sewaktu menyusuri Kampung  Paya Pelantar, terasa udaranya dingin dengan kehijauan pohon-pohon kelapa sawit dan pohon-pohon getah. Perlahan-lahan kereta Wira putih yang dipandu Abang Hj.Omar memasuki kawasan kebun Sani melalui pintu pagar yang terbuka. Aku dan Hj.Omar akan menumpang tido malam ini dipondok Sani.

Dihadapan
pondok. Si-Sani baru sahaja selesai menghidupkan unggun api menggunakan dahan dan ranting kering. Abang Hj Omar memberi salam kemudian berkenalan. Si-Sani mempersilakan kami duduk dikerusi kayu dihadapan pondok. Kami berbual. Sani memberitahu Hj.Omar iaitu pernah sekali melihat Hj Omar ketika datang berhari raya di Kampung Nakhoda satu ketika dahulu.


Pukul dua petang.

II- Usai
solat zohur kami bertiga gerak keluar dari pondok menggunakan kereta Hj.Omar menuju Mempateh untuk makan tengahari. Beginilah rutin harian aku ketika berada pada ambang tahun baru 2015. Aku akan turun ke-kebun bersama Sani, dua tiga hari dalam seminggu. Buat masa ne aku terpaksa berulang-alik dari Kolompo ke-kebun di-Lancang kerana cabin[1] dalam kebun, belum ada api dan air.

Kereta wira meluncur laju. Melalui Kg. Sempadan, Kg. Kuala Kaung, Kg.Jeragan, Kg. Dala, Kg.Punjung dan masuk ke simpang Lancang dan terus ke Mempateh. Disimpang Mempateh ini kereta berhenti. Kedai makan nasi berlauk baru sahaja ditutup. Terpaksalah kami minum teh panas dan pekene goreng pisang sebagai alas perut disebuah gerai, sebelum ke tanah kebun.

Pukul tiga petang.

III- Cuaca panas.
Kami sampai ditanah kebun. Satu daerah yang asing bagi Hj.Omar apabila melihat bukit-bukit dengan teres-teres yang menghijau dengan tanaman nangka. Dikaki bukit, berhampiran anak sungai pula ada pohon-pohon pisang yang  telah diselaputi pohon menjalar seakan terbiar. [Kebanyakan pemilik kebun disini mengusahakan tanaman kekal seperi nangka, kelapa dan pisang].

Dua buah cabin dikebun ini yang menyerupai kontena serta sebuah bilik air dan sebuah tandas adalah tempat tinggal pekerja. Berhampiran bilik air, ketika ini Sani sedang membancuh racun rumpai dan memasukkannya kedalam tong penyembur racun berwarna kuning. Sementara Hj. Omar meninjau-ninjau kawasan tanah kebun yang masih lagi kontang dengan tanaman, aku pula membersihkan bilik mandi dan bilik tandas.

Si Sani
sedang meracun saki baki lalang yang baru tumbuh. Mulut dan hidungnya dililit dengan kemeja-T. Lalang ini selepas diracun, daunnya akan kering dan kaku disitu tetapi akar-akarnya yang berada didalam tanah akan  menjalar dan terus menjalar untuk hidup. [Lalang ini ada dikaitkan dengan kehidupan manusia seperti 'Jangan jadi seperti Lalang' kerana lalang ne, apabila angin bertiup kekiri  ia akan lentuk kekiri, apabila angin bertiup kekanan ia akan kekanan juga].

Cuaca
tambah panas. Aku berada ditengah-tengah tanah kebun, memakai topi bagi melindungi kulit muka dari sinaran matahari. Ditengah tanah kebun ini aku berdiri, melihat hijaunya lalang dan sesekali bunga lalang itu terbang melayang bersama angin petang. Tumbuh-tumbahan seperti lalang, pokok senduduk dan paku-pakis masih lagi tumbuh meliar terutama berhampiran anak sungai.

Bunga
lalang itu bila dirakam memang cantik. Begitu juga dengan bunga pokok senduduk. Bunganya berwarna bijik kundang, saling tak tumpah seperti bunga anggerik[2] tetapi takda pulak yang berminat untuk menanamnya dihalaman rumah. Berrrrrr! Bunyi seekor burung tekukur terbang keluar dari semak-samun apabila aku menghampiri kawasan tersebut. Kemudin sepasang burung puyuh juga seakan terkejut, berlari dan terus terbang menuju kawasan yang lebih selamat. [Tak ada pic burung pasal tak sempat nak rakam Bai!].


Sesekali
angin bertiup. Bunga lalang dan debunga senduduk terbang melayang-layang di-udara dan jatuh entah dimana. Sayup-sayup kedengaran bunyi enjin jentolak yang dibawa angin melalui celah-celah bukit. Jentolak itu bukannya menumbangkan pokok atau meratakan bukit tetapi sekadar menolak dan melenyek-lenyek pokok senduduk, lalang dan paku-pakis sehingga luyai[3].

Jika
jentolak itu bekerja ikut cara SoP[4] yang disediakan oleh orang-orang Cameron Highlands yang rakus, mungkin satu hari nanti tanah kebun ini juga murka. Masatu, kalau hujan turun, airnya akan membawa lumpur, lagi barbau serta kotor. Maka bermulalah protes alam yang tidak dijangka. 

Keliru!
Mulalah salah menyalahkan diantara satu dengan yang lain apabila melihat air yang menitis itu membawa sekali duka. Dimana gerangan pancurannya, sehingga kuyup satu daerah. Tiba-tiba jembatan dan jalan di-daerah itu hilang dalam sekelip mata. Air lumpur berwarna kuning itu bukan sekadar mencalit lumpur pada dinding dan lantai rumah tetapi mengheret sekali jiwa resah gelisah manusia apabila di timpa bencana. [Hargailah alam, bersimpati dan beriktibarlah!]

Pukul lima petang.

IV- Kami bertiga tinggalkan tanah kebun. Perut lapar. Kami singgah di Kampung Semantan, Lancang untuk mengisi perut. Abang Hj.Omar dan Sani memesan nasi goreng dan aku pulak meminta 15 cucuk sate ayam berserta tiga ketul nasi impit. Selesai makan kami gerak kearah Paya Pelantar. Aku menghela nafas lega sebaik sahaja kami sampai dihalaman pondok Sani.

Malam mula berputik. Mandi, solat dan berehat. Diluar, unggas mula berteriak, bersiul dan menyanyi. Cengkerik, burung wak-wak, burung murai batu sahut-menyahut. Jauh diseberang sungai, disebalik belukar, disebalik bukit bukau kedengaran ayam berkokok. Malam bertambah larut. Cut!

No comments:

Post a Comment