30 January 2013

DI ATAS RUNTUHAN MASJID










Dalam buku Kenang-kenangan Abdullah Munsyi (2008), penulisnya Datuk Zahari A.Rashid ada menulis seperti berikut:

"Penulis pernah melihat sendiri sebuah lukisan yang dipamerkan di Military Museum, Lisbon dalam lawatan pada tahun 1970'an. Lukisan itu menggambarkan adegan pertempuran askar Portugis dengan hulubalang Melayu di kaki bukit Melaka. Pada latar belakang lukisan tersebut jelas kelihatan sebuah masjid yang dibina daripada batu. Rombongan kami telah ditunjukan juga sepucuk meriam yang luar biasa panjangnya yang telah diangkut balik oleh Portugis dari Melaka."

Jadi sesiapa yang berpeluang pergi ke Lisbon,  Portugal-cubalah cari muzium ini.

Justeru dapat dibayangkan bahawa sekurang- kurangnya masjid diMelaka pada zaman Kesultanan Melayu mempunyai bangunan batu yang kalau tidak dihancurkan, berkemungkinan ia dapat terus wujud dan menjadi bangunan bersejarah. 

Tetapi Portugis telah menghancurkan habis semua kesan-kesan kekal Kesultanan Melayu Melaka. Bayangkan betapa jika dalam pertempuran dangan Portugis itu, Melaka berjaya mempertahankan diri, maka Kesultanan Melayu Melaka akan terus wujud hingga ke hari ini seperti mana yang dinikmati oleh Raja-raja Siam dan Maharaja-maharaja Jepun.

Maka Melaka yang dapat dipertahankan itu menjadi negara besar Melayu Raya meliputi wilayah-wilayah yang kini menjadi Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian daripada Thailand dan Indonesia.

Jika Melayu Raya ini berjaya masuk ke zaman moden dalam bentuk sebuah negara bangsa, ia mampu menjadi tapak temadun gemilang lebih-lebih lagi apabila khazanah keilmuan silam dapat dikekalkan dan dikembangkan.

Lihatlah Jepun. Apabila Commodore Perry dari Amerika Syarikat sampai ke nagara itu, Jepun berjaya bukan saja mengelakkan diri daripada  dijajah tetapi sebaliknya membangunkan negara dan bangsa hingga mampu menandingi dunia Eropah. Maharaja Mejji telah mengubah Jepun daripada temadun tradisional kepada kuasa moden. Begitu juga yang boleh berlaku pada Melaka jika dapat mematahkan serangan Portugis pada tahun 1511. 

Sebenarnya kesedaran mengenai keunggulan Barat bukan saja berlaku diJepun. Ia juga berlaku di Asia Tenggara, iaitu Siam dan diTanah Melayu sendiri. Raja Mongkut dan kemudiannya Chulalongkorn berjaya memodenkan negara mereka. Bukan saja mereka dapat mengelak daripada dijajah tetapi juga menjenamakan semula Siam untuk menjadi Thailand. 

Keetika Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) ditubuhkan, terdapat lima negeri lain yang masih merdeka iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor. Johor pula sebelum itu adalah negeri yang mewarisi Kesultanan Melaka.

Apabila Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sudah menerima penasihat Inggeris, Johor masih bebas. Maka pada masa mula pemerintahan Sultan Abu Bakar, kesedaran untuk memajukan tanah air ini timbul. Johor telah mengalami pembaharuan besar untuk mengukuhkan jadi dirinya sebagai negara moden.

Bendera dan lagu negeri dicipta. Istana dan msajid batu yang tersergam dibina dengan reka bentuk untuk mengukuhkan jati diri Johor sebagai sebuah negera yang merdeka dan berdaulat. Ibu negeri Johor berpindah ke Tanjung Puteri yang dinamakan Johor Bharu. Maka sekurang-kurangnya Johor berusaha untuk setanding dengan Britain sebagai negara Merdeka.

Maka tidak hairanlah Sultan Abu Bakar dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Baginda adalah seangkatan dengan kesedaran yang turut berlaku di Jepun dan Siam pada zaman Maharaja Mejji dan Raja Mongkut. 

Walaupun kemudian Johor turut menerima penasihat Inggeris, tetapi dari pentadbiran tersusun inilah muncul Datuk Onn Jaafar yang mengorak langkah yang akhirnya membawa negara kepada kemerdekaan Tanah Melayu, dan kemudian penubuhan Malaysia.-Zin Mahmud. 


Nota: Koleksi keratan akbar ini adalah hasil tulisan Zin Mahmud (Untung Sabut Timbul)pada ruangan Rencana Mingguan Malaysia 9 September 2012.


No comments:

Post a Comment